Secara umumnya 75% penagih dadah adalah orang Melayu dan beragama Islam. Pada setiap hari kira-kira 17 orang penagih baru dikesan.
Selain daripada itu pada tahun 2008 terdapat 29 buah Pusat Serenti di seluruh negara yang menampung kira-kira 10,000 orang penagih dadah sebagai tempat rawatan dan pemulihan.
Menurut sumber agensi itu lagi, hanya kira-kira antara 20-25% penagih dadah yang menghuni di Pusat Serenti berjaya dipulihkan manakala yang lainnya gagal untuk dipulihkan, hidup terumbang-ambing, lemah serta terjebak menghidap HIV dan AIDS.
Apa yang membimbangkan, sebahagian besar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah daripada golongan belia. Golongan belia merupakan pewaris untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan keluarga, masyarakat dan negara.
Sebilangan orang Islam yang hidup bergelumang dengan dadah, HIV dan AIDS ini dari segi jangka panjangnya akan melemahkan kedaulatan bangsa dan menghapuskan hak ketuanan Islam di negara ini.
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Penglibatan besar orang Islam dalam menagih dadah, terjerumus dalam HIV/AIDS dan gejala sosial lain memberi amaran awal bahawa dalam jangka masa panjang ketuanan Islam akan menjadi bangsa yang hina dan merempat di negara sendiri.
Bagi mengelak ancaman kelemahan orang Islam, maka insaflah dan renunglah peringatan Rasulullah SAW yang Sabdanya:
"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya ( nasihatnya ). Sekiranya ia tiada mampu juga, maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai perbuatan tersebut ). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman". - (Hadis Riwayat Muslim)
Sejajar dengan peringatan Rasulullah SAW ini, maka marilah kita sama-sama bertindak iaitu:
- Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid/Surau, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan pemimpin masyarakat akar umbi di seluruh negara perlu memperhebatkan peranan dan sanggup turun padang membantu, membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup kepada keluarga yang menghadapi krisis akhlak ini. Sedarlah bahawa perbuatan mencerca dan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah SWT adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan menambahkan lagi penderitaan mereka.
- Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti bertanggungjawab memastikan agar diri dan ahli keluarga sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT dengan sempurna dan istiqamah. Ketahuilah bahawa beristiqamah dalam ibadah mampu menghindarkan anak-anak dari ancaman dadah dan gejala sosial lain.
- Semua anggota masyarakat bertanggungjawab untuk sama-sama memburu pengedar-pengedar dadah dan mereka yang bersubahat. Adalah sangat menyedihkan terdapat segelintir mereka yang mengaku beriman namun menjadi pengikut syaitan menghancurkan kaumnya sendiri.
Marilah kita sama-sama menginsafi tentang kedudukan dan penglibatan umat Islam dalam gejala sosial yang mengaibkan maruah ummah masa kini.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment