Pengikut dan Ex-smgrian
Monday, September 12, 2011
Kemerdekaan bersama roh Ramadhan
Setiap tahun pada tanggal 31 bulan Ogos negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan. Setiap kali sambutan ini diadakan maka akan terbayang di fikiran kita bagaimana penjajah yang silih berganti menjajah negara kita selama lebih kurang 500 tahun.
Kita amat bersyukur kerana dalam tempoh tersebut kita dapat mempertahankan akidah dan mengekalkan agama Islam sehingga diletakkan sebagai agama Persekutuan.
Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tetapi diusahakan oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan yang tiada ternilai harganya.
Kerana itulah menjadi kewajipan setiap kita sebagai rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada negara yang antara lainnya ialah mentaati pemerintah dengan penuh ikhlas dan rasa bangga serta menjauhi diri dari perbuatan-perbuatan mungkar seperti mengganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara dan mengancam keselamatan dan negara.
Imam Syihabuddin al-Absyihi dalam kitabnya al-Mustatraf menyatakan: "Ketahuilah bahawa tingkatan kebahagian yang tertinggi ialah taat kepada pemerintah di samping ianya menjadi penyelamat daripada segala kekacauan."
Allah SWT juga berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
Persoalan besar pada hari ini adakah kita sebenarnya sudah merdeka? Adakah sekadar kita lepas bebas ataupun tidak lagi dijajah oleh kuasa Barat seperti sebelum ini ataupun kerana kita telah mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang kita dikatakan sudah merdeka?
Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita merupakan suatu proses untuk mencari erti kemerdekaan ynag sebenar. Sedar ataupun tidak bahawa selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajahan.
Penjajahan pertama adalah Syaitan. Ia adalah seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah SWT seperti mana janjinya kepada Allah.
Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada cengkaman Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh daripada Allah SWT sehingga hatinya menjadi keras dan tidak dapat melihat kebenaran.
Ramadhan datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajahan Syaitan ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.
Kedua ialah penjajahan oleh hawa nafsu dan diri sendiri sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Jaatsiyah ayat 23 yang bermaksud:
"Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?"
Mereka yang dijajah oleh Syaitan dan hawa nafsu dirinya sendiri tidak mampu membuat pilihan dalam hidup. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsu semuanya dipatuhi.
Mereka ini buta biar pun celik, pekak biar pun boleh mendengar, bodoh biar pun mempunyai ilmu. Lihatlah betapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan Tuhan tetapi berkiblatkan hawa nafsu.
Lihatlah berapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan Tuhan tetapi berkiblatkan hawa nafsu. Yakinlah bahawa Ramadhan datang mendidik kita untuk memerangi nafsu.
Betapa ketika kita ada makanan dan minuman, namun kita tidak memilihnya kerana patuh kepada perintah Allah SWT. Ini adalah pengajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu.
Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu, adalah mereka yang benar-benar merdeka sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan yang soleh lagi bertaqwa.
Firman Allah SWT dalam surah al-Syams ayat 7 - 9 yang bermaksud:
"Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih."
Tarbiah Madrasah Ramadhan sebenarnya dapat membentuk sebuah masyarakat dan negara rabbani yang penuh keberkatan dan diredhai oleh Allah SWT. Rakyat yang dididik dengan roh Ramadhan tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan mengikut perasaan dan hawa nafsu, menzahirkan penghambaan yang sebenar dan sempurna kepada Allah SWT serta juga tidak diperhambakan oleh kekayaan, pengaruh harta benda, tidak dilenakan dengan kesenangan sementara.
Jiwa mereka sentiasa tenang, jauh dari keluh kesah serta tidak dikuasai ooleh perasaan takut. Amalan-amalan sepanjang bulan Ramadhan seperti puasa, solat berjemaah, bersedekah dapat memupuk cintakan persaudaraan dan merapatkan perpaduan antara kita.
Sorang ulama sufi bernama Ahmad bin Khadrawiyah pernah berkata: "Di dalam Ramadhan terdapat penghambaan yang sempurna. Ramadhan dapat mencegah si pelakunya dari akhlak yang tercela, perkataan dan perbuatan yang tercela. Adakah yang lebih indah dari kemerdekaan ini?"
Kewajipan menunaikan zakat fitrah di dalam bulan Ramadhan merupakan pelengkap ibadat puasa dan sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang terdapat sewaktu kita mengerjakan ibadat puasa.
Tanpa mengeluarkan zakat fitrah pahala ibadat puasa akan tergantung dan tidak dapat menjadi bekalan ke akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-A'laa ayat 14 - 15 yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang salih). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang."
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment