Firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras."
Imam Al-Ghazali menggariskan bahawa untuk mensyukuri nikmat Allah itu perlulah ada tiga perkara berikut iaitu:
- Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat tersebut datangnya daripada Allah SWT walaupun pada zahirnya ia datang melalui pelbagai sebab dan sumber.
- Hendaklah tidak mensia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.
- Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai oleh Allah SWT.
Sekiranya kita mengurangkan salah satu daripada tiga syarat bersyukur seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali sebentar tadi, maka kita akan menjadi orang yang kufur terhadap nikmat Allah SWT dan akibatnya ialah; Allah akan kurangkan atau menarik balik nikmat yang telah dikurniakan kepada kita.
Itulah yang disebutkan oleh Allah sebagai azab yang dahsyat. Oleh itu, sekiranya kita kufur dengan nikmat kemerdekaan maka Allah akan menarik semula erti kebebasan dan keamanan.
Akibatnya, kehormatan negara kita akan dihina, nyawa kita akan terancam, akal kita akan dipermainkan, maruah dan kehormatan diri serta keturunan akan dicemar seterusnya harta kita akan diceroboh dengan sewenang-wenangnya seperti apa yang berlaku pada saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan, Dafrur dan Somalia.
Sekiranya kita ingin mengekalkan kemerdekaan maka jawapannya ialah dengan mengisi kemerdekaan yang kita kecapi dengan program-program yang diredhai oleh Allah SWT selaras dengan konsep syukur seperti mana yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali.
Persoalannya, adakah kita telah mentadbir dan mengurus diri kita dengan ketaatan kepada Allah?
Adakah kita mentadbir dan mengurus keluarga kita dengan ketaatan kepada Allah?
Kita perlu meneliti hubungan diri kita dengan Allah dan melakukan muhasabah dan seterusnya kembali kepada jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
Ketahuilah bahawa musuh-musuh Islam memang sentiasa merancang dan melakukan serangan-serangan sama ada ia berbentuk fizikal demi merampas kemerdekaan yang kita kecapi.
Namun persoalannya adakah kita mempunyai pertahanan yang ampuh dalam menghadapi segala cabaran ini?
Dalam konteks ini, Islam telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga yang tiada alasan untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran.
Lima kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:
- Menjaga Agama
- Menjaga Nyawa
- Menjaga Akal
- Menjaga Maruah dan Keturunan
- Menjaga Harta
Menjaga Agama
Umat Islam wajib meletakkan kepentingan agama di tempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Semua program pembangunan hendaklah mengambil kira kemuliaan agama Islam. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Seorang tentera yang beragama akan sanggup menggadaikan nyawanya demi mempertahankan agama, bangsa dan negaranya. Orang yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.
Menjaga Nyawa
Umat Islam wajib memelihara nyawanya, tidak boleh membunuh dirinya atau orang lain dengan jalan yang tidak benar atau membiarkan nyawa terancam. Oleh itu Islam mengharamkan pertumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Islam juga mewajibkan pertahanan negara dengan menyediakan segala sumber kekuatan untuk menangkis segala serangan musuh yang akan mengancam nyawa kita. Undang-undang jalanraya wajib dipatuhi walaupun ianya adalah ciptaan manusia kerana matlamatnya adalah untuk memelihara nyawa. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Keselamatan makanan sebuah negara juga wajib dijaga, terutamanya makanan ruji seperti beras kerana ia berkaitan dengan hidup ataupun mati. Adalah menjadi fardhu kifayah kepada semua umat Islam untuk menghasilkan keperluan makanan mereka demi menjamin kebebasannya di arena antarabangsa seperti kata pujangga Arab: "Barang siapa memiliki makanannya dia akan memiliki kebebasannya."
Menjaga Akal
Umat Islam wajib menjaga akal yang dikurniakan oleh Allah. Segala benda yang meghilangkan akal adalah diharamkan sama ada dadah ataupun arak. Islam mengharamkan arak dan dadah kerana ia melalaikan manusia daripada menunaikan tanggungjawab. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan bersih. Kehilangan akal amat ditegah dalam Islam. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal wajib dan patut dibanteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mampu mempertahankan kemerdekaan negara.
Menjaga Maruah dan Keturunan
Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab penzinaan, maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya sebagaimana yang berlaku dalam sistem komunis di Kesatuan Soviet yang telah runtuh dalam tempoh masa lebih kurang 73 tahun sahaja dan akhirnya mereka mengiktiraf semula sistem perkahwinan. Demi menjaga keturunan, Islam mengharamkan zina dan segala unsur yang membawa kepada zina seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, mendedahkan aurat, gambar-gambar lucah dan sebagainya. Mereka yang menyebarkan dan mempromosi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, meyebarkan kelucahan perlu diambil tindakan kerana ia mencemarkan maruah bangsa dan agama, mereka bukannya idola yang harus disanjung dan diagung-agungkan selain ianya tidak selari dengan pendekatan Islam dan falsafah pendidikan negara yang menjurus untuk melahirkan modal insan yang seimbang, cemerlang dan terbilang.
Menjaga Harta
Sifat ingin memiliki harta adalah suatu fitrah yang diiktiraf oleh Islam, namun Islam meletakkan garis panduan kepada pemilikan harta. Harta tidak boleh dimiliki kecuali dengan sebab-sebab pemilikan yang sah di sisi Islam seperti jual beli, hadiah atau pemberian, diwarisi, zakat dan wasiat. Pemilikan yang tidak sah adalah diharamkan seperti mencuri, rasuah, penipuan dan sebagainya kerana ia adalah suatu kezaliman yang akan mencetuskan permusuhan dan pergolakan dalam masyarakat. Apabila berlaku pergolakan maka negara akan kucar-kacir yang akhirnya akan memberi peluang kepada musuh merampas kemerdekaan negara negara tersebut. Krisis makanan yang melanda dunia adalah contoh yang terbaik apabila peniaga menyorokkan bahan makanan kerana ingin mengaut keuntungan haram. Adalah tidak mustahil bahawa masyarakat sesebuah negara boleh huru hara kerana krisis seperti ini. Namun yang pastinya ia mengancam kestabilan dan kedaulatan sebuah negara yang merdeka.
Satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah melaksanakan amar makrif nahi mungkar dalam negara. Semua lapisan masyarakat hendaklah bekerjasama mempromosikan makruf dan dalam masa yang sama mencegah dan menolak kemungkaran.
Persoalannya, apa yang berlaku sekarang ialah terdapat satu pihak yang mencanangkan kebaikan namun di satu pihak yang lain pula mempromosikan kemungkaran. Satu pihak menggalakkan budi bahasa dan sopan santun, di satu pihak lagi mengiklankan budaya kurang ajar dan tidak bermoral.
Sementara kerajaan menganjurkan keamanan, ada pihak yang lain pula mempromosikan budaya demonstrasi jalanan dan mencetuskan huru hara. Jadi, ke manakah sebenarnya hala tuju pengisian kemerdekaan kita?
Apakah sebenarnya bentuk budaya bangsa yang kita ingin bina? Apabila berlaku kecelaruan seperti ini, semua pihak masing-masing menunding jari ke pihak yang lain.
Ada yang menuduh ulama atau masjid tidak berperanan, ada yang menuduh sistem pendidikan telah gagal, ada yang menuduh pihak berkuasa tidak berperanan dan lain-lain lagi.
Sebenarnya, kita semua bertanggungjawab ke arah membentuk kemuliaan mempertahankan kemerdekaan ini.
Sebagai kesimpulan, untuk mengekalkan kemerdekaan negara kita yang tercinta ini maka wajiblah kita melaksanakan perkara berikut:
- Hendaklah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali.
- Hendaklah kita menjaga dan mempertahankan kepentingan yang lima iaitu agama, nyawa, akal, maruah atau keturunan dan harta.
- Melaksanakan konsep amar makruf dan nahi mungkar dalam erti kata yang sebenarnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:
"Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami) lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment