Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 147 yang bermaksud:
"Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kamu beriman (kepada-Nya) dan (ingatlah) Allah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepadanya) lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)."
Dalam konteks hidup seseorang insan, usia 54 tahun sudah cukup untuk mematangkan dan mendewasakan seseorang. Umur yang sudah melangkau usia 50-an adalah satu jangka waktu yang memerlukan seseorang mempunyai pendirian teguh ke arah menentukan masa hadapan hidupnya di dunia dan di akhirat.
Menurut Kamus Dewan, perkataan MERDEKA didefinisikan sebagai bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Perkataan MERDEKA digunakan untuk menyatakan sebuah negara itu telah bebas daripada penjajahan dan penguasaan pihak yang menjajah.
Manakala kemerdekaan menurut perspektif Islam membawa maksud yang lebih luas iaitu bebas daripada penjajahan fizikal, fikiran, pegangan dan anutan yang bertentangan dengan syariat Islam yang sebelum ini membelenggu individu dan negara.
Harga yang terpaksa dibayar untuk mendapatkan kemerdekaan adalah terlalu mahal harganya. Nyawa, darah dan harta benda telah banyak dikorbankan demi kemerdekaan ini.
Wajiblah kita bersyukur kepada Allah di atas nikmatNya yang besar ini. Sesungguhnya segala pembangunan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini adalah hasil dari nikmat kemerdekaan yang telah dicapai.
Tanpa kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT maka sudah tentu segala yang ada pada hari ini tidak dapat kita nikmati. Maka kesyukuran itulah tandanya kita mengucapkannya kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya.
Sejarah telah menunjukkan kehidupan kita selepas merdeka telah jauh berubah jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya. Di antara perubahan besar yang dapat kita rasai ialah peningkatan taraf hidup yang lebih baik dan wujudnya peluang-peluang pendidikan yang lebih luas kepada segenap lapisan rakyat.
Peratus buta huruf telah menurun dengan begitu ketara sekali selepas kita mencapai kemerdekaan. Generasi yang lahir selepas merdeka mempunyai peluang yang luas untuk mendapat pendidikan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan generasi sebelum merdeka.
Nikmat kemerdekaan juga telah mewujudkan peluang-peluang ekonomi yang kukuh dan merangsangkan sehingga melahirkan ahli korporat yang berjaya dalam berbagai bidang perniagaan.
Wujudnya golongan profesional yang terdiri daripada doktor, jurutera, peguam, saintis dan lain-lain telah memberi gambaran kepada kita betapa banyaknya manfaat yang dapat dirasai oleh kita dengan nikmat kemerdekaan yang dilimpahkan oleh Allah SWT pada kita semua.
Di antara perubahan lain yang amat besar yang telah dilimpahkan oleh Allah SWT melalui kemerdekaan ialah pembangunan agama Islam. Kemerdekaan telah memberikan agama Islam diangkat menjadi agama rasmi negara.
Pembangunan masjid dan surau berkembang dengan pesat di Malaysia. Pendidikan agama melalui Kelas Fardhu Ain (KAFA) Sekolah Menengah Agama. Program (JQAF) iaitu Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain di sekolah rendah dan lain-lain adalah perkembangan yang tidak dapat dilihat semasa negara dijajah.
Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji, Bank Islam dan lain-lain juga telah menyemarakkan lagi suasana Islam yang tentunya tidak diizinkan di zaman kolonial dahulu.
Dari sudut yang lain pula, berbagai bentuk kemajuan yang dapat kita perhatikan berlaku setiap hari dalam negara kita. Kemudahahan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya, lapangan terbang, landasan keretapi dan sebagainya telah banyak memberikan kemudahan kepada kita untuk melaksanakan segala kegiatan hidup dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Begitu juga pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru negara dan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) telah meletakkan negara kita di antara negara-negara yang terkehadapan di kalangan negara-negara yang membangun.
Manakala dalam bidang teknologi maklumat pula, negara kita adalah antara negara yang berjaya membangunkan bidang ini melalui kewujudan Cyberjaya, Koridor Raya Multimedia (MSC) dan lain-lain termasuk peningkatan taraf hidup rakyat.
Hasil dari nikmat kemerdekaan ini mendorong kita untuk berusaha dengan lebih gigih bagi membangunkan negara ke arah yang lebih maju dalam berbagai bidang dan dapat menghindarkan diri kita daripada sikap-sikap negatif yang merugikan masyarakat, agama dan negara.
Firman Allah SWT dalam surah an-Naml ayat 40 yang bermaksud:
"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah "aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!". Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak tetap di sisinya, berkatalah ia "ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberiannya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur maka tidaklah menjadi hal kepada Allah kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Amat Pemurah."
Berdasarkan kepada ayat di atas, terdapat beberapa pengajaran yang dapat dijadikan panduan oleh kita antaranya:
- Hamba Allah yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menghayati kitab-kitab Allah mereka akan mendapat rahmat dan kelebihan di sisi Allah Taala berbanding dengan mereka yang memiliki kekuatan fizikal semata-mata.
- Allah SWT memberikan berbagai nikmat kepada hambaNya adalah bertujuan untuk menguji sejauh mana hambaNya bersyukur dan mentaatiNya.
- Faedah bersyukur kepada Allah SWT boleh menghasilkan manfaat dan faedah yang berguna untuk hambaNya dengan diberi ganjaran pahala di akhirat nanti.
- Mereka yang tidak bersyukur kepada Allah SWT akan menerima balasan azab daripada Allah pada hari akhirat kelak.
- Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah terhadap hamba-hambaNya.
Bersempena menyambut kemerdekaan negara kali ke-54 tahun ini marilah sama-sama kita menunjukkan rasa kesyukuran kita kepada Allah dengan beberapa perkara berikut:
- Kita hendaklah memberi penghargaan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah berkorban untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan. Sifat hormatnya kepada mereka yang berusaha untuk memajukan negara perlu ada pada diri setiap rakyat.
- Kita hendaklah berusaha memelihara hubungan baik sesama anggota masyarakat dari berbagai kaum yang ada di negara kita demi untuk mengukuh perpaduan dan kemakmuran negara yang kita cintai.
- Kita hendaklah mendidik anak-anak kita supaya berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan dalam berbagai bidang untuk menjadi rakyat yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
- Kita hendaklah sentiasa menjaga keharmonian dan keamanan negara dengan menanamkan sikap hormat menghormati, melahirkan sifat kasih sayang sesama Islam dan bukan Islam dalam kehidupan kita setiap masa dan ketika.
Kita juga hendaklah sentiasa bersedia untuk berkorban dalam apa jua keadaan demi untuk menjaga maruah agama, bangsa dan negara dari dikhianati dan dicerobohi oleh mana-mana pihak sama ada daripada dalam dan luar, dengan demikian nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi akan dapat dikekalkan dan dipertahankan sebagai warisan untuk generasi kita akan datang.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud:
"Oleh itu, ingatlah kamu kepada Aku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada Aku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment