Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, August 4, 2011

Ramadhan mengembalikan manusia kepada fitrah


Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jelas membuktikan keistimewaan dan kelebihan yang terkandung di dalam bulan Ramadhan, dimana terdapatnya puasa yang melambangkan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seterusnya puasa juga dapat mengembalikan manusia kepada fitrah iaitu dapat menghapuskan dosa-dosa maksiat yang dilakukan sebelumnya.

Bulan Ramadhan boleh diibaratkan sebagai medan latihan atau sebagai sekolah yang mendidik jiwa manusia dan ia juga berupaya membangun potensi manusia terutama menggilap tiga kekuatan yang ada pada diri manusia iaitu:
  1. Ramadhan memberi kekuatan kepada akal - iaitu akal dapat ditajamkan melalui pembacaan al-Quran dimana kita dapat gunakan untuk menambah nilai kemanusiaan dan menjana pembangunan yang bersifat menyeluruh.
  2. Ramadhan memberi kekuatan kepada jiwa - iaitu jiwa dapat dibangunkan dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat dan melakukan aktiviti-aktiviti membangunkan masyarakat serta menahan diri dari menurut kehendak hawa nafsu dan godaan syaitan dalam kehidupan harian.
  3. Ramadhan memberi kekuatan kepada fizikal - secara saintifik ibadah puasa telah dibuktikan mampu membantu meningkatkan kesihatan fizikal manusia seperti mana kebanyakan pakar-pakar perubatan mengatakan bahawa "Berpuasa adalah cara paling efektif (berkesan) untuk menyembuhkan sebarang penyakit."

Maka berdasarkan kepada tiga kekuatan di atas, iaitu keteguhan iman, ketangkasan mental dan kekuatan fizikal akan dapat membentuk jati diri Muslim yang mampu melaksanakan berbagai tuntutan sama ada terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam usaha membangunkan ummah agar ianya lebih sempurna dan diredhai oleh Allah SWT maka hendaklah kekuatan-kekuatan tersebut disandarkan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Oleh itu sebagai Muslim dan mukmin, sama sekali kita tidak boleh mengambil mudah mengenai soal keimanan dan ketaqwaan. Ini kerana ia menjadi pokok utama dalam menilai kehambaan (Ta'abudi) seseorang itu.

Taqwa adalah matlamat utama yang mesti dicapai oleh setiap orang yang berpuasa. Namun, sebenarnya perkataan taqwa mudah untuk diungkapkan tetapi pada hakikatnya adalah terlalu sukar untuk diperolehi.

Justeru itu, bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah kita sama-sama berusaha meningkatkan serta menghidupkan seberapa banyak amalan yang boleh mendekatkan diri kita dengan Allah SWT seperti bertadarus al-Quran, mendirikan solat Tarawih secara berjemaah, memperbanyakkan amalan bersedekah, berzakat dan sebagainya.

Dalam masa yang sama juga, kita menjauhi dari melakukan sebarang bentuk maksiat dan berusahalah agar kita tidak hanya berpuasa sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga sahaja.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Berapa ramai orang yang berpuasa, tatapi tidak mendapat sesuatupun dari puasanya selain dari lapar dan dahaga." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibadah puasa juga melatih kita untuk menjadi manusia yang sabar dengan ujian serta mampu menanam rasa kasih sayang sesama manusia. Apabila kita lapar dan dahaga maka kita akan menjiwai bagaimana orang lain yang kurang bernasib baik menanggung penderitaan menahan lapar dan hidup di dalam kebuluran.

Melalui tarbiah ibadat puasa dapat melahirkan sikap prihatin atau perasaan ingin membantu orang lain yang hidup susah dan menderita. Dengan kata lain, kita sama-sama jadikan Ramadhan sebagai medan untuk melahirkan diri sebagai mukmin yang sentiasa membantu saudara seagama dengan rasa penuh tanggungjawab dan kasih sayang kerana masyarakat yang hidup tanpa kasih sayang dan tolong menolong antara satu sama lain akan timbul masalah-masalah negatif dalam masyarakat.

Bersempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak ini kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan bersedekah. Ibnu Abbas meriwayatkan di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:

"Adalah nabi s.a.w. itu manusia yang paling baik (pemurah) dengan membuat kebajikan dan baginda paling pemurah di bulan Ramadan."

Kesimpulan yang dapat diambil ialah orang yang lulus ujian dalam menjalani latihan di bulan Ramadhan serta banyak melakukan amal ibadah mampu mengembalikan manusia kepada fitrah seterusnya dianugerahkan oleh Allah dengan ganjaran-ganjaran berikut:
  1. Keampunan dari Allah SWT terhadap dosa-dosanya yang terdahulu
  2. Dimakbulkan segala doanya oleh Allah SWT.
  3. Sentiasa mendapat rahmat yang berterusan dari Allah SWT
  4. Sentiasa mendapat pertolongan dan keredhaan dari Allah SWT sepanjang masa.
  5. Terlepas dari seksaan api neraka.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menunaikan kewajipan berpuasa dengan sebaik-baiknya agar impian kita untuk menjadi seorang insan yang bertaqwa dan menghampirkan diri dengan Allah SWT demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat menjadi kenyataan.

Diharapkan juga kehadiran Ramadhan pada kali ini mampu memberi perubahan yang besar kepada diri kita terutama menjadikan diri kita seorang pejuang yang mampu melawan godaan hawa nafsu dan segala pujukan dunia sehingga melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT.

Marilah kita bersama-sama ranungi dan menginsafi kesukaran umat Islam di beberapa negara yang menghadapi bencana alam, kebuluran, penindasan dan kemiskinan tetapi masih mampu melaksanakan ibadah puasa. Kita juga hendaklah bersyukur kerana kita masih lagi dikurniakan kemudahan makan minum dan keamanan yang membolehkan kita beribadat dalam keadaan tenang tanpa rasa takut dan terancam.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

"(masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan dan padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: