Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, August 3, 2011

Ramadan menjana penghayatan berzakat


Manusia diciptakan semata-mata untuk menyembah Allah Azza Wajalla. Bagi memastikan manusia menyembah dan beribadah kepada Allah, maka Allah SWT telah menurunkan agama atau syariatNya yang menerang dan menjelaskan tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah.

Namun demikian sebahagian daripada kita telah mengabaikan perintah Allah sekalipun panduan, pengajaran dan amaran diberitahu melalui al-Quran dan As-Sunnah. Sifat sesetengah daripada kita yang mengingkari dan mengabaikan perintah-perintah agama ini antaranya dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Ma'un ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin."

Demi menyedarkan hambaNya, Allah telah mensyariatkan bulan Ramadan sebagai bulan yang dikhususkan untuk mendidik manusia agar menjadi muslimin dan muslimat yang tekun beribadah, banyak beristighfar, giat membaca dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran serta menghayati akhlak dan peribadi mulia.

Sesungguhnya kewajipan berpuasa adalah merupakan latihan praktikal kepada setiap Muslim agar memiliki hati dan perasaan yang penuh insaf dan simpati akan nasib golongan-golongan fakir dan miskin yang berada dalam masyarakat.

Perasaan teramat lapar dan dahaga oleh setiap orang yang berpuasa diharapkan agar timbulnya perasaan simpati dan belas kasihan kepada golongan susah yang ketiadaan makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Sesungguhnya semua umat Islam bertanggungjawab membela dan menyelamatkan kesempitan hidup golongan yang kurang bernasib baik ini. Kealpaan kita membela golongan-golongan yang memerlukan ini dicerca oleh Allah SWT seperti mana firman Allah dalam surah al-Ma'un ayat 1 hingga 3 di atas.

Islam tidak menyenangi umatnya keterlaluan dalam menikmati kemewahan. Ini dibuktikan daripada keperibadian Rasulullah SAW yang diriwayatkan selepas kewafatan Baginda hanya meninggalkan seekor keldai putih, sebilah senjata dan sebidang kecil tanah sahaja. Allah menyukai hambaNya yang 'berada' agar dapat membela dan membantu golongan fakir miskin.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Pengajaran Ramadan secara langsung agar kita prihatin dan membela golongan lemah juga sering dengan kewajipan kita menunaikan zakat fitrah. Tanpa mengeluarkan zakat fitrah, pahala ibadah puasa Ramadan akan tergantung dan tidak dapat menjadi bekalan ke akhirat.

Kewajipan ibadah ini terletak di atas bahu setiap Muslim yang mempunyai lebihan makanan atau harta daripada keperluan dirinya dan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. Ini termasuk kanak-kanak yang dilahirkan sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari. Begitu juga orang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan dan orang yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.

Sesungguhnya zakat fitrah adalah salah satu daripada beberapa jenis zakat yang diwajipkan seperti zakat emas dan perak, zakat perniagaan, zakat binatang ternakan, zakat pertanian, zakat wang simpanan, zakat pendapatan dan saham, zakat galian, kunuz dan rikaz (harta galian). Sehubungan itu Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada mereka yang menunaikan zakat dan memberi amaran keras kepada golongan yang meninggalkan ibadah berzakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."

Marilah kita berazam membela golongan fakir miskin dengan menunaikan zakat dan memperbanyakkan sedekah dan menjadikan bulan Ramadan sebagai penjana diri khususnya dalam melaksanakan kewajipan menunaikan zakat dengan membayarnya di pusat-pusat pungutan zakat di seluruh negara di samping memperbanyakkan amalan menderma dan bersedekah terutama di sepuluh terakhir Ramadan yang dijanjikan Allah dengan Lailatul Qadar. Lailatul Qadar satu malam yang pahalanya melebihi 1,000 bulan.

Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Qadar ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Qur’an) ini pada malam al-Qadar. Dan apa jalanya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu?. Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: