Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, August 5, 2011

Ramadhan bulan memerangi nafsu dan menguji keimanan


Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia di sisi Allah SWT. Di dalam bulan inilah telah difardhukan ibadah puasa ke atas seluruh umat Islam atas para Nabi dan Rasul sebelum ia difardhukan ke atas kita umat Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah kerana dengan menjalani ibadah puasa seseorang Muslim itu akan terdidik jiwanya, menjadi lebih bertaqwa kepada Allah dan mampu menjadi benteng dari godaan syaitan dan hawa nafsu yang sukar dikawal, dimana syaitan tidak pernah jemu-jemu menghasut manusia untuk melakukan kejahatan dan perbuatan mungkar.

Namun begitu berapa ramaikah di kalangan kita yang benar-benar mampu dan berjaya mengawal diri dari godaan syaitan, godaan hawa nafsu, godaan terhadap keseronokan dan kelazatan duniawi.


DUA JALAN

Kehidupan manusia tidak dapat lari daripada dua persimpangan jalan. Dua persimpangan tersebut ialah runtunan hawa nafsu yang sentiasa menggila dan keimanan yang mantap terhadap Allah SWT. Untuk memilih dua jalan ini manusia dibekalkan Allah akal untuk menilai mana yang lebih baik di antara keduanya.

Adapun manusia yang memilih beriman kepada Allah, merekalah orang yang mendapat kejayaan. Sebaliknya bagi mereka yang memilih jalan menurut hawa nafsu, maka akibatnya amat buruk dengan balasan azab yang telah disediakan oleh Allah SWT.

Justeru, dengan kedatangan bulan Ramadhan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang beriman untuk beribadah kepada Allah, dengan ganjaran pahala yang besar dan berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah, maka seharusnya kita semua merebut peluang ini untuk mendapatkan kelebihan atau ganjaran pahala tersebut.

Namun demikian, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi, kerana di hadapan kita sentiasa ada halangan dan cabaran yang perlu kita tempohi dan harungi sebagai satu jihad, terutamanya jihad melawan hawa nafsu yang sememangnya sentiasa mendorong manusia supaya melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji. Di sinilah letaknya cabaran sebenar bagi kita dalam menunaikan ibadah puasa.

Jika kita mampu memerangi dan melawan kehendak hawa nafsu, bererti ibadah puasa yang kita kerjakan berjaya mendidik dan membimbing diri kita menuju ke arah jalan yang benar dan mendapat keredhaan Allah SWT dengan kata lain kita bolehlah disifatkan sebagai orang yang berjaya melepasi ujian dalam menilai tahap mana kedudukan keimanan kita tetapi jika sebaliknya yang berlaku bermakna kita telah gagal dan kecundang dalam ujian dan sekaligus menjadikan diri kita ini sebagai orang yang bukan sahaja rugi di dunia, bahkan juga rugi di akhirat.

Ini bertepatan sekali dengan Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 35 yang bermaksud:

"Dan tiadalah aku bebaskan diriku, sesungguhnya nafsu itu suka menyuruh kepada yang buruk, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku, sesungguhnya Tuhanku amat pengampun lagi amat penyayang."


MEMPERBANYAKKAN AMALAN

Kita semua yakin bahawa setiap Muslim sentiasa mengharapkan kehidupan yang sejahtera di akhirat kelak dan memohon dijauhkan dari kehidupan yang sengsara. Kita juga seharusnya sedar bahawa hanya dengan ibadah dan amalan-amalan yang baik semasa di dunia akan menjadi bekalan semasa di akhirat kelak.

Manakala mereka yang melakukan kesalahan dan dosa, Allah SWT telah menjanjikan balasan yang setimpal sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan. Demikianlah halnya betapa mulianya bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini.

Setelah mana kita bersungguh-sungguh dan bermuhajadah melawan hawa nafsu pada bulan mulia ini, marilah kita memperbanyakkan lagi amal ibadah kita dengan mengisi ruang-ruang yang ada seperti bersolat Tarawih, bertadarus, bersedekah, beriktiqaf, menuntut ilmu dan sebagainya untuk meningkatkan keimanan kita sebelum bertawakal kepada Allah di dalam usaha mencari keredhaannya.


PELUANG UNTUK BERHENTI MEROKOK

Selain dari itu, kita juga hendaklah berazam untuk meneruskan amalan-amalan yang baik, umpamanya mungkin selama ini ada di kalangan kita tercari-cari atau memikirkan cara terbaik untuk berhenti merokok. Ada yang telah cuba berhenti merokok tetapi sering kali gagal. Maka inilah peluang keemasan yang perlu diambil mudah-mudahan dengan azam yang kuat diiringi pendirian yang teguh serta berkat bulan Ramadhan, insya Allah usaha untuk berhenti merokok dapat dikekalkan sehingga penghujung bulan Ramadhan dan bulan-bulan seterusnya.

Berhenti merokok bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh seorang perokok. Bukannya mereka tidak sedar akan akibat buruk yang akan memusnahkan diri sendiri dan mereka yang berada di sekelilingnya tetapi kerana disebabkan mereka telah diikat, dijerat dan dibelenggu oleh pengaruh nikotin yang sekian lama bersarang dalam diri mereka dan ditambah lagi dengan lebih 4000 bahan-bahan kimia yang lain.

Berdasarkan hasil kajian mendapati bahawa 95% di kalangan perokok-perokok yang beragama Islam menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadhan dengan berpuasa hampir 14 jam sehari dan selama itulah mereka dapat mengawal diri dari tidak merokok.

Jika tindakan seumpama ini dapat dilakukan serta diamalkan untuk hari-hari seterusnya insya Allah tabiat buruk merokok dapat dihentikan di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.


BULAN PENJANA KEKUATAN DAN JATI DIRI

Jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan yang menjana kekuatan dan jati diri, bulan yang mampu mendidik kita menjadi insan yang lebih dekat dan bertaqwa kepada Allah. Sebelum Ramadhan pergi meninggalkan kita cubalah bertanya pada diri sendiri, adakah kita merasa dekat dengan Allah SWT atau apakah Ramadhan tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada kita setelah kita berpuasa?

Perlu diingat bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat begitu sedih sehingga menangis di saat-saat akhir Ramadhan yang akan pergi meninggalkan mereka kerana tidak sanggup berpisah dengan bulan Ramadhan.

Di dalam satu Hadis Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah tentu mereka bercita-cita sepaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun."(Hadis Riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Oleh itu, dengan kesempatan hadirnya Ramadhan yang mulia ini, marilah sama-sama kita memerangi nafsu yang boleh membawa kehancuran dan merugikan hidup kita. Sesungguhnya Ramadhan merupakan medan terbaik untuk kita mempertingkatkan keimanan kepada Allah.

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: