Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, August 8, 2011

Ramadhan pahala diganda keampunan terbuka


Kehidupan kita di dunia ini tidak bererti sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah SWT dan lebih tidak bererti lagi jika segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa-dosa yang kita lakukan tidak mendapat keampunan dari Allah SWT.

Maka sebagai orang yang beriman kita dituntut agar sentiasa memohon keampunan kepada Allah di atas segala dosa yang telah kita lakukan sama ada dosa kecil mahupun dosa besar.

Sesungguhnya bagi orang yang tidak memohon keampunan kepada Allah dengan menangguh-nangguhkannya atau melambat-lambatkan tindakan tersebut, mereka dianggap sebagai orang yang angkuh dan sombong dengan Allah SWT.

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keampunan dan sebagai orang yang beriman kita sentiasa mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah SWT. Kerana itulah kita dituntut agar mempertingkatkan amal bagi memperolehi keredhaan tersebut, terutama dengan memperbanyakkan amal ibadah di samping dikerjakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Hari ini merupakan hari kelapan kita umat Islam menunaikan ibadah puasa, kita berpuasa dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah semata-mata mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah SWT. Begitu juga bersamanya kita mengharapkan agar digandakan pahala, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan hidup kita dijauhi dari godaan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW:

"Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: apabila telah tiba bulan Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai." - (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mencari keredhaan dan keampunan Allah adalah merupakan amalan harian hamba-hambaNya yang beriman dan bertaqwa, mereka tidak jemu dan berputus asa melakukannya kerana mereka yakin bahawa Allah akan mengurniakan kepada mereka keredhaan dan keampunan di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan selagi mana mereka terus memohon.

Justeru, Allah SWT yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun tidak akan keberatan memberi keredhaan dan keampunan kepada hamba-hambaNya yang meminta dan memohon dirinya.

Salah satu hikmah diwajibkan kita berpuasa adalah untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."

Berdasarkan firman Allah tersebut membawa maksud kepada kita bahawa kesan dari ibadah puasa bagi orang yang beriman ialah bertambah ketaqwaan mereka kepada Allah. Justeru, setelah kita melaksanakan ibadah puasa, adakah bertambah ketaqwaan kita atau semakin berkurang? Atau adakah jiwa kita semakin bersemangat untuk memperbanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringan-ringankan tuntutan ibadah?

Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala peluang yang Allah sediakan pada bulan Ramadhan ini daripada mensia-siakannya kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

Sesungguhnya Allah telah menyediakan dalam bulan Ramadhan ini satu malam yang nilai keberkatan dan ganjaran pahalanya pada malam tersebut lebih baik dari seribu bulan.

Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?, malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!."

Asbabun Nuzul ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid Rahimahullah dikatakan Rasulullah SAW telah menyebut tentang kisah seorang lelaki dari Bani Israel yang telah menggunakan kekuatan senjatanya dan kemahirannya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas kehebatannya lalu Allah menurunkan ayat tersebut.

Dalam riwayat yang lain pula, dari Ali bin Aurah pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyebut tentang kisah empat orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalau para sahabat kagum dengan perbuatan mereka lalu Jibril A.S. datang memberitahu kepada Rasulullah SAW bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka.

Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril A.S. berkata kepada Rasulullah SAW ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan, ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira dengan perkhabaran Jibril tersebut.

Dari surah al-Qadar tersebut dapatlah kita fahami bahawa besar kelebihannya bagi orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar. Amalan yang dikerjakan pada malam tersebut digandakan. Sama ada solat yang kita kerjakan, bacaan al-Quran atau zikrullah yang kita ucapkan serta amalan-amalan lain digandakan oleh Allah SWT. Kerana itulah, bagi mendapatkan malam tersebut Rasulullah SAW mempertingkatkan dengan melakukan ibadah pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan dan bukan hanya setakat bagi dirinya sahaja malahan Baginda menyuruh ahli keluarganya bangun bersama-sama untuk beribadah.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidukan malam dan mengejutkan ahli keluarga." - (Hadis Riwayat Bukhari)

Orang yang tekun beribadah semata-mata untuk menemui malam Lailatul Qadar pasti akan mendapat rahmat yang telah dijanjikan Allah SWT terutama dengan melakukan amalan seperti berikut:
  1. Menghayati malam tersebut dengan memperbanyakkan beribadah seperti mengerjakan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, beriktikaf, berdoa dan sebagainya.
  2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan beribadah serta dikerjakan semata-mata kerana Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.
  3. Perbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.A: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku." - (Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Akhir sekali, hayati dan renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 9 yang bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: