Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, August 2, 2011

Ramadan waktu yang sesuai untuk merubah akhlak


Allah SWT telah mengurniakan pelbagai bentuk nikmat dan anugerah yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Antara anugerah yang paling berharga ialah bulan Ramadan yang sedang kita lalui sekarang ini.

Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan sempurna selama sebulan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Berdasarkan kelebihan puasa ini, maka Allah SWT turut mewajibkan umat Islam yang terdahulu untuk berpuasa.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."

Ayat tersebut menjelaskan bahawa puasa boleh mendidik seseorang menjadi mukmin yang patuh kepada semua perintah Allah SWT serta menjadi mukmin yang takut dan gentar kepada Allah dengan meninggalkan segala bentuk maksiat sama ada zahir atau pun batin.

Selain itu, puasa bukan sahaja menaham diri daripada makan dan minum, malah seluruh anggota seperti telinga, mulut, mata, kaki, tangan dan hati juga hendaklah turut berpuasa. Seseorang itu tidak dinilai sempurna ibadah puasa selagi tidak menahan diri daripada melakukan segala tegahan Allah.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu melafazkan perkataan yang tidak baik, dan yang tidak berhikmah atau kurang elok daripada perkataan mahu pun perbuatan. Apabila seseorang mencercanya atau hendak berkelahi dengannya. Maka dia hendaklah mengatakan: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!"

Bulan Ramadan dikurniakan dengan banyak keistimewaan yang luar biasa antaranya ialah pintu syurga akan terbuka dengan luasnya. Manakala pintu neraka akan tertutup serapat-rapatnya dan para syaitan akan diikat dan dirantai.

Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka. Ini menunjukkan bahawa punca-punca amal kebaikan di bulan Ramadan adalah terlalu banyak. Manakala rangsangan maksiat dan kejahatan adalah kurang dan terbatas.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila datang bulan Ramadan maka pintu-pintu syurga akan dibuka dan pintu-pintu neraka akan ditutup serta syaitan-syaitan akan dirantai."

Gambaran ini menunjukkan betapa luasnya ruang yang disediakan oleh Allah SWT melalui bulan Ramadan untuk mendidik nafsu manusia agar tunduk di bawah pengaruh iman dan taqwa. Alangkah bahagianya orang yang mengambil faedah dari kesempatan yang Allah sediakan ini.

Sempena Ramadan yang sedang dilalui ini, marilah kita menghidupkan Ramadan dengan solat Tarawih, bertadarus al-Quran, memperbanyakkan istighfar dan bermunajat kepada Allah SWT di setiap malam sebelum bersahur.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Musllim daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW mengingatkan kita betapa besarnya fadilat menghidupkan Ramadan, Sabdanya:

"Sesiapa yang bangun mengerjakan solat sunat di dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu."

Perlu kita insafi bahawa hikmah daripada kewajipan berpuasa dengan berlapar dan dahaga sebulan Ramadan adalah untuk mendidik hati dan perasaan kita agar simpati dan prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya mereka adalah saudara seagama kita yang telah diuji oleh Allah azza wajalla dengan kemiskinan dan kefakiran. Dalam masa yang sama ini juga merupakan ujian Allah kepada golongan yang berada.

Persoalan besar di sini ialah sejauh manakah golongan yang berada dapat melawan runtunan nafsu serta pujukan syaitan yang sentiasa membisikkan hati agar kasihkan harta benda, bencikan amalan bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang lemah? Sikap sebegini adalah bertentangan dengan prinsip bahawa harta benda ialah amanah Allah untuk menyelamat dan membela golongan lemah tersebut.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 186 yang bermaksud:

"Sungguh, kamu akan diuji pada hartamu dan diri kamu. Dan sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang yang telah diberikan kitab dahulu daripadamu dan orang musyrik yang banyak menyakitkan hati. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat."

Di dalam bulan Ramadan juga kita dituntut untuk mengeluarkan zakat sebagai tuntutan syarak dan kewajipan sosial kepada masyarakat dan negara. Mudah-mudahan amalan yang mulia ini akan digandakan ganjarannya di sisi Allah SWT.

Bulan Ramadan juga memberi peluang kepada umat Islam untuk mendidik nafsu dan membersihkan jiwa daripada kekotoran dan dosa agar keluarga dan anak-anak istiqamah melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan tegahanNya.

Bersamalah kita meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai medan mempertingkatkan kualiti modal insan dan kuantiti ibadah kita kepada Allah SWT.

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: