Sejarah Islam telah membuktikan walaupun tentera Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai kekuatan fizikal yang menggerunkan berbanding musuh namun, medan Badar yang berlaku di bulan Ramadan tentera Islam beroleh kemenangan besar.
Persoalannya di sini ialah apakah yang membuatkan tentera Islam begitu hebat? Tidak lain ialah kerana mereka mempunyai kekuatan rohani yang mantap dengan iman dan takwa yang melahirkan semangat juang yang tinggi dan tulus kerana Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 9 yang bermaksud:
"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan Tuhan kamu, lalu ia perkenankan bagimu (dengan firman-Nya): " Sesungguhnya aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut".
Tegasnya, generasi terdahulu walaupun kecil jumlahnya dan kurang peralatannya, namun telah berjaya menghancurkan banyak musuh terutamanya dua kuasa besar iaitu empayar Rom dan Parsi. Kesemuanya bertunjangkan kekuatan rohani melebihi daripada faktor fizikal dan teknologi semata-mata.
Enam rukun iman mestilah menjadi teras akidah dan lima rukun Islam mestilah dijadikan dasar dalam kehidupan seharian. Justeru tuntutan meneroka ilmu mengenainya hendaklah menjadi agenda Angkatan Tentera Malaysia dan umat Islam di negara ini. Semoga dengan ini ilmu, amal dan iman terus meningkat dari semasa ke semasa. Kelak keunggulan negara kita akan berada di mercu teratas dan terus disegani di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, dalam usaha memberi keyakinan kepada rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia, maka Angkatan Tentera Malaysia akan terus memastikan organisasinya diurus tadbir dengan cekap dan berkesan terutamanya aspek modal insan yang berkualiti.
Semua pihak di negara ini khususnya pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia hendaklah mengutamakan aspek modal insan yang memenuhi ciri-ciri berikut:
- Meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
- Mempunyai akhlak yang mulia.
- Mempunyai tubuh badan yang sihat dan cergas.
- Mempunyai kekuatan jiwa dan rohani.
- Mempunyai kepakaran dan kemahiran tertentu dalam bidang masing-masing.
Sehubungan dengan itu, marilah kita berganding bahu bersama Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan keselamatan negara dalam memastikan negara kita sentiasa selamat, sejahtera dan diampuni Allah menjadi Baldatun Tayyibah Wa Robbun Ghafur (negara yang mendapat keberkatan daripada Allah SWT).
Tunaikanlah amanah Allah dan laksanakan segala suruhanNya sebaik mungkin. Jangan pula kita lupa untuk memohon keampunanNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pemberi Rahmat.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 8 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai".
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment