Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 5, 2011

Integriti dalam kepimpinan Rasulullah SAW


Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan.

Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari "Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya".

Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraisy pernah memberi gelaran 'al-Amin' kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti Baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran al-Amin ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy kepada Rasulullah SAW.

Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Baginda juga cukup hebat. Misalnya Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraisy pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik dan harta kekayaan supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun berdasarkan kekuatan integriti dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu.

Selain Abu Jahal, al-Quran juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang tidak berintegriti sehingga merosakkan negara, memecah-belahkan masyarakat dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya. Watak itu ialah Fir'aun, Haman dan Qarun.

Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Fir'aun adalah pemerintah diktator, mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir'aun menjalankan tugas ampu-mengampu untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun, manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang mengambil manfaat daripada pemerintah. Dia membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa memperdulikan penderitaan orang lain.

Setiap kali kita solat, kita sering membaca al-Quran, takbir, tasbih, syahadah dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Semua ini adalah agenda Islam untuk mengukuhkan integriti umat Islam selari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang dilaksanakan dari masa ke semasa gagal membentuk kita menjadi pemimpin yang jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong daripada manusia yang rugi.

Integriti seorang pemimpin berkait rapat dengan imej agama Islam dan nasib keluarga serta umatnya di dunia hingga akhirat. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun Baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali Baginda menyebut umatku! Umatku! Umatku!

Apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah integriti kepimpinan Rasulullah SAW membawa sehingga terselamatnya umat Islam dari azab Allah SWT sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: "Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka".

Kepimpinan yang berintegriti dalam keluarga dan masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati".

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat tadi:
  1. Kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT.
  2. Kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Ketinggian akhlak dan integriti Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun Baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan fitnah kepada Rasulullah SAW dan umat Islam.

Semua pihak haruslah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan integriti yang telah dicontohi Rasulullah SAW dan para sahabat melalui langkah berikut:
  1. Memantapkan urus tadbir negara, masyarakat dan keluarga berpandukan syariat Islam.
  2. Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin yang korup.
  3. Mereka yang tiada integriti dan akauntabiliti walaupun terlepas hukuman di dunia tetapi tidak terlepas daripada hukuman Allah SWT pada hari akhirat
  4. Pemimpin yang berintegriti akan lebih dihormati, dikagumi dan disayangi oleh keluarga dan masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Saff ayat 2 -3 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya".

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: