Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, June 6, 2011

Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Pemacu Inovasi Ummah

Di Malaysia, menurut Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemimpin tertinggi dan juga ketua negara. Baginda juga adalah ketua agama Islam.

Di dalam Islam, kedudukan seorang pemimpin itu terlalu mulia dan agung. Golongan pemimpin disyariatkan untuk menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam.

Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas khalifah atau pemimpin itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia.

Pemimpin juga boleh disebut sebagai ketua khalifah Allah untuk melaksanakan tugas dan amanah di muka bumi ini. Antara amanah yang perlu dilaksanakan ialah menyebar dasar Islam dengan berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandang status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian daripada sigat ketakwaan.

Firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 26 yang bermaksud:

"Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu".


Keadilan meliputi hubungan manusia dengan dirinya, hubungan manusia sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan Allah SWT. Keadilan tidak hanya berkait tanggungjawab pemerintah dengan rakyat semata-mata tetapi juga antara rakyat terhadap pemerintah.

Sebagai umat Islam yang tinggal di Malaysia, kita merasa amat bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan Yang di Pertuan Agong sebagai ketua negara. Yang di Pertuan Agong, Sultan atau Raja juga sebagai ketua agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita. Baginda bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Baginda berperanan sebagai pemacu kepada pengukuhan warga bangsa.

Pemerintahan Baginda membantu berlakunya proses pengembangan intelek dengan memacu pemikiran rakyat agar dapat hidup selari dan senafas dengan peredaran zaman serta dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa.

Pemerintahan Baginda membantu berlakunya proses pengembangan intelek dengan memacu pemikiran rakyat agar dapat hidup selari dan senafas dengan peredaran zaman serta dapat hidup aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa.

Kepimpinan Baginda bukan sahaja dapat disaksikan menerusi kemesraan bersama rakyat bahkan sentiasa mengambil berat nasib yang melanda serta sentiasa membina kemajuan dan pembaharuan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Berdasarkan bukti sejarah, Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah memainkan peranan penting dalam menentukan perlaksanaan Islam dan memacu inovasi ummah di negara ini.

Inovasi ummah secara ringkasnya merujuk kepada membina kekuatan pemikiran manusia agar ianya boleh menemukan dan menciptakan inovasi atau perkara-perkara baru bagi memperbaiki taraf hidupnya.

Banyak ayat-ayat al-Quran memberi tumpuan utama kepada pembinaan akal manusia sebagai kunci kepada ilmu pengetahuan dan inovasi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 190 yang bermaksud:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal".

Umat Islam sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat bahawa dalam usaha membina kemajuan ianya memerlukan satu perubahan, transformasi atau inovasi baru.

Inovasi dalam kehidupan mestilah mampu membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Terdapat perkaitan yang kuat bahawa ummah yang berinovasi akan mendahului zaman dan maju ke depan meninggalkan ummah yang lain.

Kita berasa bangga sekiranya umat Islam hari ini diiktiraf sebagai ummah yang inovatif, kreatif dan produktif di mana atas usaha ini setiap inci bumi dan manusia kaan mendapat rahmat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanafaat kepada orang lain.”(Riwayat at-Tabarani)

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mengubah pandangan kita tentang pola kehidupan dengan menunjuk jalur arah yang lebih fitrah dan terarah. Walaupun proses Islamisasi di negara kita mengambil bentuknya yang amat unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama.

Namun atas kebijaksanaan pemerintah agama Islam dan kemajuan ummah dapat ditegak dan dilaksana dengan sebaiknya. Bagi mengekalkan keadaan ini marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi Raja berperlembagaan.

Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raj-Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktib dalam perlembagaan yang telah dipersetujui bersama sejak kemerdekaan lagi termasuklah kesucian agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Umat Islam dan rakyat sekalian juga dituntut menjaga hak-hak pemerintah yang antaranya ialah dengan menjaga kesucian masjid-masjid di bawah kuasa Sultan atau Yang Di Pertuan Agong. Sebarang pencerobohan, penghinaan atau mewujudkan suasana kacau bilau ke atas hak-hak pemerintah sangat dilarang dalam Islam.

Sebagai ketua agama sudah pasti Yang Di Pertuan Agong, Sultan atau Raja mahu menjaga kesucian rumah Allah ini, menentukan pengimarahannya mampu membentuk kesejahteraan rakyat, hidup bersatu padu dan tidak berpecah belah.

Seorang ulama iaitu Abu Abdullah menyatakan di dalam kitabnya berjudul Tahzib al-Risalah bahawa teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain.

Kedaulatan Islam dan kemajuan ummah bertunjang kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai ketua negara sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian umat Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata.

Rakyat menjunjung kasih dan merapak sembah atas keprihatinan Baginda dalam memartabatkan agama, memajukan negara dan menginovasikan pemikiran rakyat. Maka menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda sebagai pemerintah negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya".

sumber: e-Khutbah JAKIM

No comments: