Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipat gandakan pahala khususnya bagi mereka yang diberi kelebihan harta dan wang ringgit. Beruntunglah orang yang diberi kelebihan oleh Allah SWT serta suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan. Justeru Islam menggesa umatnya supaya bermurah hati dan segera memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan bantuan.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud:
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".
Harta wakaf yang kita lihat pada hari ini ada sebahagiannya tidak dimajukan untuk pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada umat Islam khususnya tanah, ia tidak dimanfaatkan untuk mendapatkan untuk mendapatkan pulangan yang memuaskan. Begitu juga seringkali timbul pelbagai isu dan masalah apabila tanah wakaf yang ingin dibangunkan dihalang oleh pemegang amanah tanah wakaf dan sebagainya. Ini disebabkan kurang kefahaman tentang konsep wakaf itu sendiri dengan mempersoalkan bagaimana cara dan bentuk ia dibangunkan atau dimajukan.
Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya membangunkan atau menggunakan tanah wakaf untuk manfaat umat Islam yang lain khususnya membantu golongan yang miskin. Dalam konteks ini ulamak Fekah telah mentakrifkan harta wakaf sebagai suatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya ia digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaatnya. Oleh yang demikian, tidak salah sekiranya ada dikalangan umat Islam yang menawarkan diri untuk membangunkan tanah wakaf bagi manfaat umat Islam selagi mana ianya tidak bercampur dengan unsur-unsur riba, penipuan dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, umat Islam harus faham dan sedar bahawa ganjaran pahala harta wakaf akan bertambah dan pahalanya berkekalan selagi harta yang diwakafkan masih boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh umat Islam, selagi itulah pahala wakaf akan terus diterima selama-lamanya.
Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila mati seseorang anak adam itu, maka terputuslah amalanya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakan kepadanya". - Hadis Riwayat Muslim
Berdasarkan kepada hadis tersebut, Jumhur ulamak sepakat bahawa sedekah jariah tersebut adalah termasuk harta wakaf.
Antara kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang ikhlas mewakafkan harta sepertimana yang disebutkan di dalam surah al-Baqarah ayat 261 :
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikendakinya dan Allah Maha Luas (rahmatnya) kurniaannya lagi meliputi ilmu pengetahuan".
Selain itu, diantara hikmah dan tujuan syariat Islam mengharuskan wakaf untuk kepentingan dan faedah tertentu seperti:
- Membuka jalan ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT
- Mendorong minat orang yang beriman berlumba-lumba dalam mengerjakan amal kebajikan serta mengharapkan pahala yang berkekalan semasa hidup dan selepas pewakaf meninggal dunia.
- Untuk kebaikan umat Islam seperti membina masjid, sekolah dan tempat komersial yang mendatangkan keuntungan kepada umat Islam.
- Membantu dan mengurangkan beban penderitaan golongan fakir miskin dan anak yatim dari segi sosio ekonomi dan sebagainya.
- Salah satu cara untuk membina kekuatan ummah dan mengekalkan pemilikan harta secara perkongsian di kalangan umat Islam.
Menyedari kepentingan dan manfaat harta wakaf, maka umat Islam perlu sedar dan bangkit untuk sama-sama menangani isu pembangunan harta wakaf untuk kemajuan Umat Islam seperti berikut :
- Sama-sama membantu menyelesai dan mengurangkan masalah sosio ekonomi di kalangan umat Islam serta dapat membantu golongan fakir miskin seperti membina rumah kos rendah dan disewakan kepada mereka di samping melatih mereka untuk hidup berdikari.
- Mengurus dan memajukan harta-harta wakaf mengikut perkembangan semasa sesuai dengan syariat Islam.
- Umat Islam harus sedar dan faham bahawa harta wakaf boleh dibangunkan untuk mendatangkan keuntungan yang maksima seperti pembinaan kompleks bangunan pejabat dan sebagainya. Bukan berfahaman bahawa tanah wakaf hanya untuk dijadikan tanah kubur dan masjid sahaja.
Justeru, pada dasarnya pembangunan harta wakaf dapat menyumbang kepada pembentukan dan pembangunan modal insan dikalangan umat Islam jika ia diurus tadbir dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana ianya bukan sahaja dapat memacu pembangunan ekonomi ummah, malahan ianya mampu merubah sosio ekonomi umat Islam ke tahap yang lebih baik dan kelangsungan hidup yang sempurna.
Semoga dengan kesedaran dan kerjasama semua pihak, harta wakaf dapat dibangunkan dan dikembangkan sebagaimana yang dipraktikkan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Begitu juga bagaimana Universiti al-Azhar, Mesir boleh maju dan membiayai palajar-pelajar dari seluruh dunia hingga ke saat ini dengan bersumberkan sumbangan harta wakaf. Justeru itu, kejayaan pembangunan harta wakaf bergantung kepada kefahamanan yang jelas di kalangan Umat Islam tentang konsep, peranan dan matlamat wakat yang disyariatkan Allah SWT.
Selain itu, peranan dan tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama memajukan dan membangunkan serta mengembalikan fungsi dan peranan harta wakaf untuk kemajuan umat Islam, khususnya melalui sumbangan idea, bantuan kewangan dan kepakaran tertentu dalam menjayakan pembangunan harta wakaf.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 133 - 134 bermaksud:
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bandingannya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".
Sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment