Ilustrasi menunjukkan Muhammad Zakari al-Razi atau dikenali sebagai al-Razi sedang merawat pesakit.
Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada manusia serta membawa rahmat bagi seluruh alam. Allah SWT menjadikan langit, bumi dan di antara keduanya untuk kemudahan manusia menjalani kehidupan di samping beribadat kepada-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 32 bermaksud:
"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan ia memberi kemudahan bagi kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu ( mengambil manfaat darinya)".
Dalam masa yang sama juga Allah SWT menyeru agar manusia mengkaji, meneroka dan menyelidik rahsia alam ciptaan-Nya secara sistematik. Sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ghasiyyah ayat 17 - 20 yang bermaksud:
"( mengapa mereka yang kafir masih mengingkari ), tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?. Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya ?. Dan keadaan gunung ganang bagaimana ia ditegakkan?. Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan ?".
Berdasarkan ayat tersebut sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab manusia mengkaji rahsia alam ciptaan Allah selaras dengan matlamat-Nya menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Allah SWT juga telah memuliakan golongan mukmin yang suka mengkaji ciptaan-Nya dengan menggelarkan mereka sebagai ulul albab.
Jika kita meneliti isi kandungan al-Quran, kita dapati bilangan ayat-ayat yang membicarakan tentang sains dan teknologi melebihi 750 ayat, manakala ayat-ayat yang berkaitan hukum-hakam tidak melebihi 150 ayat. Tetapi alangkah ruginya umat Islam di akhir zaman ini kerana mereka tidak lagi mengambil berat tentang kepentingan menguasai sains dan teknologi. Di mana silapnya?
Sedangkan para ulama Islam terawal merupakan tokoh-tokoh terbilang dalam menguasai ilmu sains dan teknologi. Contohnya nama-nama seperti al-Asma'i, al-Jahiz dan al-Jawaqili merupakan pakar dalam bidang Zoologi dan Biologi. Manakala dalam bidang Botani pula dipelopori oleh al-Nabati, seterusnya dalam bidang Mineralogi tokohnya ialah Muhammad Zakari al-Razi, bidang Kimia pula tokohnya Khalid ibnu Yazid dan Jabir ibnu Haiyan serta dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tokohnya seperti Ibnu Musa, Ibnu al-Razaz al-Jazari, Taqiyuddin dan lain-lain.
Malangnya apa yang berlaku kepada umat Islam masa kini ialah mereka ketinggalan jauh dalam semua bidang keilmuan, tidak berkemampuan dalam penguasaan kepakaran teknologi, sebaliknya umat Islam dijajah, ditindas, dihina malah dilabel sebagai pengganas dan pelbagai tohmahan negatif.
Justeru, selaku sebuah negara merdeka marilah kita mendidik serta melatih generasi muda agar menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah kepakaran dalam bidang sains dan teknologi kerana kita tidak mahu semata-mata bergantung kepada kuasa asing yang sudah tentu mempunyai agenda dan kepentingan tersendiri seperti menjajah pemikiran umat Islam dan lain-lain. Hal ini sesuai dengan kata-kata pujangga Muslim, "Kebijaksanaan ( hikmah ) itu, adalah barang kehilangan kaum muslim. Justeru di mana sahaja kamu jumpa berusahalah mengambilnya kembali".
Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita melihat al-Quran dari sudut ilmu sains iaitu satu bidang ilmu yang sangat penting untuk kejayaan manusia di dunia dan di akhirat.
Perlu diingatkan di sini bahawa negara-negara maju seperti Jerman, Perancis, Amerika Syarikat, Jepun, China, Rusia dan sebagainya mempunyai saintis yang ramai. Mereka ini berperanan membuat pelbagai kajian dan penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat umum.
Justeru, sekiranya kita mahu masyarakat khususnya umat Islam menjadi maju, maka kita perlulah melipat gandakan usaha untuk menambahkan lagi bilangan para saintis di negara ini.
Kaum Muslimin khususnya ibu bapa dan para guru perlulah mengambil berat dengan memberi kafahaman dan memupuk minat anak-anak mempelajari ilmu sains dan teknologi kerana mereka adalah aset negara di masa hadapan. Ini adalah selaras dengan gesaan Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 20 yang bermaksud:
"Katakanlah : Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya, kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
Pada masa ini kerajaan amat menekankan soal pembangunan modal insan supaya rakyat di negara kita memiliki minda kelas pertama serta berdaya saing di peringkat global.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan prasarana pendidikan berupa universiti-universiti dan pusat penyelidikan dengan kelengkapan secukupnya.
Di samping itu, kerajaan telah menubuhkan Pusat Sains, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta mengadakan kempen-kempen ke arah memupuk minat generasi muda mencintai sains dan teknologi.
Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi amat diperlukan untuk maju dalam kehidupan pada masa kini dan akan datang. Bangsa Melayu khususnya umat Islam perlulah mengubah cara berfikir terhadap konsep ilmu sains dan teknologi kerana ia adalah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Menguasainya merupakan satu kefardhuan kerana ia dilihat berfungsi sebagai alat yang mampu berperanan memelihara Maqasid Syariah.
Menyedari kepentingan penguasaan sains dan teknologi dalam kehidupan masa kini, maka dapatlah dirumuskan seperti berikut:
- Penguasaan terhadap ilmu sains dan teknologi adalah suatu kefardhuan bagi umat Islam supaya umat Islam menjadi umat contoh dan teladan serta pemimpin kepada umat lain di dunia.
- Kita hendaklah menguasai ilmu sains dan teknologi kerana asalnya ia adalah harta intelek umat Islam yang perlu dimiliki dan diambil kembali.
- Penguasaan terhadap ilmu sains dan teknologi akan menjadikan kita lebih mengagongkan Allah serta meningkatkan pengabdian kepada-Nya.
- Penguasaan terhadap ilmu sains dan teknologi juga dapat menjadikan kita bangsa yang bermaruah, dihormati, mampu berdikari dan berdaya saing dalam semua bidang.
- Sains dan teknologi berperanan sebagai pemudah cara kepada sebarang aktiviti dan kegiatan hidup serta penyelesai kepada sebarang permasalahan dari semasa ke semasa.
Sebagai penamat, hayatilah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 190 yang bermaksud:
"sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan sing ada tanda-tanda ( kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah ) bagi orang-orang yang berakal".
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment