Sebagai umat Islam kita mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT adalah pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya adalah di bawah kekuasaan Allah SWT Yang Maha Berkuasa menggerakkannya.
Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari dan bulan beredar di waktu siang dan malam adalah atas kudrat dan iradat Allah SWT dan ianya mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri.
Kita telah diperlihatkan dengan kuasa Allah SWT Yang Maha Agung iaitu kejadian gerhana bulan. Gerhana ini berlaku ketika bulan berada bertentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari, bermakna bulan boleh termasuk ke dalam bayang bumi dan menghilang. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu kuasa lain pun yang dapat menyekat Qada' dan Qadar.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 37 yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.".
Oleh itu, jika berlaku kejadian gerhana matahari dan bulan, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah SWT iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini.
Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah yang tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmat yang tertentu antaranya memberi peringatan agar hamba-Nya tidak melampaui batas.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
"Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu".
Gerhana bulan merupakan amaran Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh dan taat di atas perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan akan berlaku sepanjang zaman sebagai peringatan Allah SWT di atas segala ketelanjuran yang dilakukan oleh hamba-Nya. Kejadian ini akan berterusan sehingga matahari dan bulan dihimpunkan dan ketika itu berlakunya kiamat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 7 - 9 yang bermaksud:
"Maka apabila mata terbelalak(ketakutan), dan apabila bulan telah hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan".
Kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika berlaku gerhana supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.
Ummul mukminin Saidatina Aishah RH berkata dalam riwayat al-Nasai yang mafhumnya:
"Dan sesungguhnya telah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah dihadapan orang ramai sambil memuji Allah SWT dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: "Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis".
Semoga kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, menambah serta menguatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 190-191 yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-oang yang berakal Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka".
Marilah kita berdoa semoga gerhana yang berlaku tidak mengakibatkan berlakunya malapetaka alam seperti perubahan angin yang memungkinkan kesan kepada cuaca dan musim yang memberikan kesan kepada perubahan tabii tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman serta kehidupan di dunia.
Sebagai usaha untuk melahirkan keteguhan dan mengekalkan kekuatan iman yang ada dalam diri umat Islam, beberapa perkara boleh kita jadikan pedoman bersama:
- Berfikir dan bertafakur setiap kejadian fenomena alam.
- Memperingati tentang nikmat syurga dan azab neraka.
- Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah SWT.
- Menghitung, mempertingkatkan dan memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa.
- Bersegera memohon taubat kepada Allah SWT di atas kealpaan dan keingkaran mentaati perintah.
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment