Menurut agama Islam, perlakuan jenayah seperti pembunuhan, peras ugut, ragut, rogol, merompak dan seumpamanya diklasifikasikan sebagai perbuatan zalim dan kejam.
Perbuatan jenayah ini jelas melanggar hukum Allah SWT dan menggugat keselamatan orang lain. Allah SWT sangat membenci mereka yang melakukan kezaliman.
Firman ALLH SWT dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan".
Suasana aman yang kita nikmati pada hari ini sebahagian besarnya datang daripada usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan polis. Mereka telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pasukan polis kepada rakyat, beberapa langkah utama diambil. Antaranya memperkukuhkan penerapan nilai-nilai Islam dan akhlak mulia dalam pasukan polis supaya sifat-sifat murni ini menguatkan keimanan dan integriti semasa memberikan perkhidmatan kepada rakyat jelata. Malah unit-unit agama dalam pasukan Polis Diraja Malaysia sedang diperbesarkan.
Selain daripada itu Polis Diraja Malaysia amat berharap rakyat jelata dan masyarakat sekeliling turut sama bertanggungjawab dan bekerjasama dalam memerangi kejadian jenayah. Berdasarkan pemerhatian, terdapat kecenderungan rakyat terutamanya masyarakat di bandar-bandar bersifat lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pihak polis untuk menangani gejala jenayah. Keadaan ini merugikan kita sendiri dan menguntungkan penjenayah. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama menjaga, menyelamat dan menghapuskan jenayah.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa di antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman".(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis di atas menjelaskan bahawa dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan terus terjamin, setiap rakyat bertanggungjawab mencegah atau sekurang-kurangnya membantu mencegah jenayah dari terus berleluasa. Sekiranya masyarakat mengambil tindakan pencegahan awal secara bersama dan berkesan, kemungkinan kejahatan atau jenayah berjaya disekat dengan lebih cepat.
Bagi membendung jenayah dari terus berkembang, rakyat jelata juga digalakkan tampil menjadi saksi perbicaraan. Ini berikutan terdapat banyak kes-kes siasatan menghadapi masalah dengan ketiadaan saksi yang berani dan jujur dalam memberi keterangan. Islam sangat menitikberatkan saksi sebelum menjatuhkan sebarang bentuk hukuman yang sesuai.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:
"Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi".
Sayid Qutub Rahmatullah Alaih mentafsirkan ayat ini bahawa: "Memenuhi permintaan menjadi saksi adalah satu tugas yang wajib, bukan tugas sukarela kerana menjadi saksi itu adalah wasilah atau jalan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran”. Allah SWT telah mewajibkan tugas ini supaya disempurnakan oleh saksi-saksi dengan semangat sukarela tanpa mereka berkeberatan atau teraga-agak dan tanpa menganggapnya sebagai suatu jasa atau budi".
Semua pihak perlulah bersama-sama mencegah jenayah dan membantu pasukan keselamatan dalam usaha mengekalkan keamanan negara dengan beberapa cadangan seperti berikut:
- Meningkatkan semangat kerjasama bersama pasukan keselamatan dalam mencegah jenayah.
- Jauhi jenayah dengan mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
- Memberikan pendidikan pencegahan jenayah kepada anak-anak.
- Memberikan nasihat dengan ikhlas dan penuh kasih sayang.
- Sentiasa berdoa memohon rahmat dari Allah SWT.
Akhir sekali, hayatilah firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 46 yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengerjakan amal salih maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya".
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment