Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, June 15, 2011

Budaya berhutang

 Majlis Amanah Rakyat atau MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Tabung Pinjaman Pelajaran Kementerian Pengajian Tinggi sebagai contoh telah berulang kali mengeluarkan surat-surat amaran kepada peminjam supaya membayar hutang. Apabila surat amaran tersebut tidak diendahkan maka senarai si berhutang akan disiarkan di dalam akhbar utama. Terdapat di kalangan mereka yang berhutang ini telah hidup mewah bagaimanapun tidak amanah dan enggan membayar hutang kepada pihak yang pernah membantunya. Apa yang memalukan sekali ialah senarai orang yeng terlibat dalam berhutang itu adalah orang Islam.

Kita juga biasa mendengar kisah-kisah penghuni pangsapuri, flat-flat dan kondominium yang berbulan-bulan memanjat tangga bertingkat-tingkat kerana lif yang ada rosak dan tidak dibaiki. Syarikat pemaju kediaman yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membuat selenggaraan dan membaiki lif tersebut enggan berbuat demikian dengan alasan penghuni tidak membayar hutang penyelenggaraan.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia misalnya pada tahun 2006 terdapat sebanyak 13,590 kes bankrap dicatat. Terdapat empat sebab utama berlakunya kebankrapan iaitu kegagalan membayar pinjaman sewa beli kenderaan (23 peratus), kegagalan membayar pinjaman pendidikan (16 peratus), tunggakan hutang bank (15 peratus) dan hutang kad kredit (11 peratus).

Adalah amat dibimbangkan sekiranya budaya berhutang menjadi gaya hidup masyarakt Islam. Ia mungkin tidak pelik jika dilakukan dalam keadaan darurat. Oleh itu, sikap mudah terpengaruh dengan iklan jualan murah, tidak puas dengan apa yang ada, mudah membuat pinjaman dan gagal mengawal nafsu berbelanja dikenalpasti punca budaya ini menular.

Dalam suasana kegawatan ekonomi pada masa ini, maka kita hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak dengan budaya berhutang. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada manusia seperti tekanan emosi, muflis, kehilangan semangat untuk bekerja, kecelaruan fikiran, merompak, melacur, kehidupan keluarga yang tidak bahagia dan tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT. Ini selari dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan:

"Sesungguhnya Allah s.w.t mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya".

Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan kehidupan. Walau bagaimanapun Islam sangat teliti dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut.

Pada dasarnya isu hutang dan pinjam meminjam berkait rapat dengan sikap amanah pemiutang dan penghutang. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang berada dalam kesusahan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud:

"Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya".

Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap yang berhutang wajib melaksanakan amanah dan bersifat jujur membayar hutang mereka setelah berkemampuan. Bagi sesiapa yang suka melewat-lewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang ini maka maruah mereka menjadi hina, hidup hilang keberkatan dan tidak diredhai oleh Allah SWT, amalan kebajikan tertolak dan tergolong dalam golongan orang yang zalim.

Kepada pihak yang berhutang tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut, bersegeralah untuk melunaskan hutang piutang kita. Akhir-akhir ini bukan sahaja yang berhutang menjadi korban, bahkan nyawa dan keselamatan ahli keluarga mereka turut terbabit sama seperti diugut, dipukul, disamun dan dibunuh. Apa yang lebih membimbangkan ialah azab daripada Allaj SWT kepada yang berhutang tetapi tidak melunaskan hutangnya sewaktu di akhirat kelak.

Tunaikanlah amanah berhutang agar mendapat keredhaan Allah SWT dengan langkah-langkah berikut:
  1. Wajib membayar hutang bagi memelihara hak manusia dan hak Allah SWT.
  2. Bersegera membayar hutang jika sudah berkemampuan.
  3. Jangan mudah terpengaruh dengan budaya hidup mewah tetapi tidak mampu membayar.
  4. Pada prinsipnya mereka yang berhutang kerana memenuhi keperluan asasi keluarga seperti berhutang membeli beras, ikan, membayar bil air, elektrik dan sebagainya yang digolongkan sebagai asnaf al-Gharimin yang berhak mendapat bantuan zakat.

Hayatilah dan fahami firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 33 yang bermaksud:

"Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan barang sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah sesudah paksaan mereka itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: