Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, June 9, 2011

Jadikan amalan membaca satu budaya


Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu kerana ianya merupakan asas pemikiran dan pembuka minda.

Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW dalam surah al-'Alaq ayat 1 - 5 yang bermaksud:

"(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".

Intisari ayat ini merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Mengikut ahli mufassirin (tafsir), mereka mengatakan surah al-'Alaq ini mengandungi 3 perkara besar:
  1. Mengenal Allah Rabbul'alamin Yang Maha Esa dan Maha Kuasa yang mencipta dan menghidupkan manusia.
  2. Ilmu tentang manusia dan kemanusiaan yang telah diciptakan oleh Allah SWT dalam sebaik-baik keadaan dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan berbanding makhluk-makhluk yang lain.
  3. Nikmat ilmu pengetahuan yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada manusia melalui pena dan tulisan.

Imam al-Qurtubi turut mengutarakan bahawa permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakannya. Ia merupakan dasar utama yang diperjuangkan oleh Islam bagi membangunkan diri insan.

Islam yang di dalamnya tersingkap keindahan ajarannya menggesa umatnya mencari dan mendapatkan ilmu sama ada secara formal atau tidak formal di mana membaca adalah salah satu cara untuk memilikinya.

Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda sama ada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti komputer dan sebagainya.

Deria dan minda yang dicerna dengan ilmu pengetahuan hasil pembacaan akan menjana kehidupan manusia yang sentiasa inginkan perubahan. Sedikit ilmu yang diperolehi akan merangsang minat dan naluri dalam diri untuk menambah ilmu pengetahuan yang lain seterusnya akan terbentuk satu budaya membaca di kalangan masyarakat.

Melahirkan masyarakat yang berilmu dan mewujudkan budaya membaca bukanlah sesuatu yang mudah. Berdasarkan laporan tabiat membaca yang dibuat oleh UNESCO pada tahun 1999 menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku dalam setahun, berbanding hanya dua muka surat setahun. Mengikut laporan yang dibuat pada tahun 1997 walaupun terdapat peningkatan minat yang agak tinggi, namun nilai ini masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju.

Ini jelas menunjukkan bahawa tahap pembacaan masyarakat Malaysia masih rendah dan perlu dijana dengan lebih sepadu agar dapat melahirkan masyarakat berilmu dan bermaklumat. Sehubungan dengan itu pada bulan Julai setiap tahun kerajaan melancarkan kempen bulan membaca bagi menggerakkan dan menyedarkan masyarakat agar menjadikan amalan membaca sebagai budaya dan terus sebati pada setiap masa dan keadaan.

Budaya membaca adalah titik tolak kepada kemajuan sesuatu bangsa. Oleh itu budaya membaca menjadikan kita masyarakat yang berilmu.

Sejarah kegemilangan Islam telah memperlihatkan bahawa tamadun keilmuan telah bertapak dalam sejarah keagungannya. Perkembangan ilmu pengetahuan telah melahirkan tokoh-tokoh cendikiawan terulung seperti Imam Syafi'e, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Ghazali, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan ramai lagi.

Tokoh-tokoh tersebut telah mewariskan kepada kita dengan pelbagai bidang keilmuan sebagai bukti dan motivasi bahawa tamadun keilmuan boleh muncul kembali. Suatu usaha harus digerakkan iaitu membudayakan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Bagi melahirkan budaya membaca dalam masyarakat, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan antaranya:

Usaha menyedarkan masyarakat dan memperbetulkan sikap pengabaian minat membaca, wajar digerakkan

Usaha utama yang perlu dilakukan ialah dengan mengubah sikap masyarakat yang malas membaca kepada cintakan ilmu pengetahuan dan minat membaca. Kempen untuk menyedarkan masyarakat Malaysia tentang faedah tabiat membaca perlu diadakan secara lebih sistematik dan meluas termasuk mengadakannya di tempat awam seperti di pusat membeli belah, stesyen bas dan di tempat-tempat lain. Para pentadbir sekolah atau institusi pendidikan tinggi pula, perlu mengadakan minggu membaca atau program yang boleh mencerna diri pelajar antuk membudayakan tabiat membaca.

Penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam aspek ini. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku samaada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita. Berdasarkan kajian, 80 hingga 88 % ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Disamping itu, ibu bapa perlu juga memperuntukkan perbelanjaan keluaga dengan membeli buku-buku ilmiah.


Mewujudkan suasana yang boleh mendorong tabiat membaca

Bagi mewujudkan suasana yang terarah kepada budaya membaca, institusi keluaga perlu mewujudkan perpustakaan mini di rumah selain menitikberatkan lebih banyak aktiviti pembacaan secara bersama dalam kehidupan seharian serta perlu dijadikan aktiviti bersama seperti makan dan solat berjemaah.


Menggerakkan penulisan buku-buku ilmiah yang bermutu dan berkualiti

Para ulama’, cendekiawan dan ilmuan perlu memainkan peranan penting dalam menghasilkan buku-buku ilmiah yang bermutu dan menterjemahkan buku-buku dari bahasa Arab, bahasa inggeris dan lain-lain bahasa yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi ke dalam bahasa ibunda agar ianya dapat menjadi rujukan masyarakat. Secara tidak langsung ianya akan merancakkan aktiviti dakwah Islamiah. Saidina Ali R.A. pernah mengatakan:

"Berbicaralah dengan manusia dengan apa yang mereka dapat mengetahuinya dan tinggalkanlah apa yang tidak mereka ketahui. Apakah kamu semua mahukan Allah dan Rasul-Nya didustakan?".

Buku-buku yang ditulis atau yang diterjemah akan memberi kesan secara langsung dalam menggandakan semangat membaca di kalangan masyarakat seperti yang berlaku di Negara-negara barat atau Negara-negara maju yang lain. Penulisan atau penterjemahan buku-buku ilmiah akan membolehkan masyarakat mempelajari agama dan keduniaan dengan lebih baik dan dapat diwarisi sepanjang zaman. Imam Syafi’e mengungkapkan:

"Ilmu itu (umpama) binatang buruan, tulisan itu (laksana) ikatan, ikatlah binatang buruan itu dengan kuat (agar ia tidak dapat lari)."


Penerbit-Penerbit Buku Perlu Lipatganda Promosi Buku-Buku Ilmiah

Usaha ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan, malah penerbit-penerbit buku juga bertanggungjawab mengenengahkan buku-buku mereka dengan potongan dan tawaran harga yang menarik. Ini secara tidak langsung, pasti akan merancakkan lapangan ekonomi. Penerbit buku juga perlu memastikan bahan-bahan atau buku-buku yang dijual atau dipamerkan tidak merosakkan minda masyarakat kerana tujuan pembaca adalah untuk menambah ilmu dan kemahiran seseorang.

Terus menjadikan membaca sebagai satu budaya samaada kepada diri, ahli keluaga dan masyarakat sekeliling kita. Imam al-Ghazali mengungkapkan:

"Sekiranya aku berhajat dengan orang jahil nescaya aku tertewas dan jika aku berhajat dengan orang yang alim pasti aku menemui kemenangan".

Sebagai penamat hayatilah Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 85 - 87 yang bermaksud:

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakan: roh itu dari perkara urusan tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang kami wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap kami antuk mengembalikannya. (Tetapi kekalnya Al-Quran itu) hanyalah sebagai rahmat dari Tuhanmu, sesungguhnya limpah kurniaan-Nya kepadamu (wahai Muhammad) amatlah besar".

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: