Kita wajib bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih lagi dapat menghirup udara yang nyaman, dikurniakan kesihatan hidup dengan penuh kemewahan dalam negara yang sejahtera serta aman damai ini.
Lebih-lebih lagi kita dikurniakan oleh Allah SWT dengan nikmat yang terbesar iaitu nikmat Islam dan iman. Justeru, tiada sebab untuk kita lalai, kufur atau menderhaka kepada Allah SWT yang telah menciptakan kita sebagai manusia (iaitu sebaik-baik kejadian) di samping kita dikurniakan dengan begitu banyak nikmat yang tidak terhingga.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaan-Nya)".
Juga firman Allah SWT di dalam surah Sajadah ayat 4 yang bermaksud:
"Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada diantara keduanya dalam enam masa, kemudian ia bersemayan diatas Arasy, kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafa'at selain dari Allah, oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil ikhtibar (untuk mencapai keredhiaan-Nya)".
Kedua-dua ayat di atas menunjukkan kepada kita betapa kekuasaan Allah SWT bukan sahaja menciptakan manusia yang dijadikan sebaik-baik makhluk bahkan Allah Taala jugalah yang telah menciptakan makhluk yang lebih besar, iaitu cakerawala, langit dan bumi (serta semua makhluk yang ada di antara keduanya), semua ini bukti kekuasaan Allah SWT serta menuntut kita sebagai hamba supaya tunduk patuh kepada Tuhan Rabbul Jalil.
Manusia dan alam mempunyai kaitan dan hubungan yang sangat rapat. Kehidupan manusia di muka bumi ini memerlukan sumber alam untuk meneruskan kelangsungan hidup. Contohnya, keperluan manusia untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya, adalah bersumberkan tumbuh-tumbuhan, binatang ternakan, pokok-pokok kayu, hutan rimba belantara, hasil perut bumi, minyak, gas, segala bentuk logam dan sebagainya, kesemuanya memberi manfaat kepada kehidupan dan keperluan manusia dari dahulu sehingga sekarang. Subhana Allah, Maha Kaya dan Maha Agong kekuasaan Allah SWT.
Manusia yang dikurniakan dengan akal fikiran semenjak dari zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah ke hari ini telah melalui perubahan zaman, peradaban dan ketamadunan. Zaman yang telah mencapai era pemodenan sains dan teknologi telah membuktikan kecerdikan akal manusia melalui penerokaan ilmu serta penghasilan ciptaan-ciptaan atau rekaan-rekaan berbentuk material, kajian-kajian, penemuan-penemuan baru dan sebagainya.
Kesemua sumber alam ini telah memberi manfaat dan asas kepada kita dalam mengejar kemajuan, pembangunan dan kekayaan yang sedang kita nikmati pada hari ini.
Begitu panjang masa berlalu dan sumber alam telah dimanfaatkan ke tahap yang maksimum, maka berlakulah apa yang berlaku pada hari ini, bumi telah pun mengalami pencemaran dari segala aspek baik di udara, di darat mahupun di lautan akibat dari aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal.
Hutan yang menghijau diteroka dan ditebang, bukit-bukau diratakan dan digondol, pembangunan terus berlumba-lumba dan tanpa disedari ianya mengundang bencana dan malapetaka kepada manusia. Mungkin kita sebahagian diantara manusia yang mengejar kemajuan dan pembangunan yang telah melakukan kerosakan di atas muka bumi sama ada kita sedari atau pun sebaliknya.
Kesedaran orang ramai terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar masih di tahap rendah, terutama sikap TAK APA terhadap menjaga kebersihan. Apabila berlaku sesuatu musibah seperti penularan wabak seperti taun, denggi atau sebagainya di satu-satu kawasan, puncanya kerana pengabaian terhadap aspek kebersihan atau berlakunya bencana alam apabila hujan lebat melanda menyebabkan berlakunya tanah runtuh atau banjir kilat, begitu juga berlaku pembuangan sisa-sisa toksik atau air tercemar yang tidak dirawat oleh kilang-kilang industri, melakukan pembakaran secara terbuka dan sebagainya, yang mana gambaran-gambaran ini menyebabkan berlakunya pencemaran, maka baharulah kita sedar bahawa alam sekitar yang dikurniakan kepada kita ini perlu dipelihara.
Allah SWT menjelaskan di dalam surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Oleh itu, kita harus rasional dan menerima kenyataan ini secara terbuka, tanpa sikap menunding jari dan tuduh menuduh, bukanlah alasan kita untuk duduk berdiam diri atau berpeluk tubuh sahaja.
Berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lalu, seharusnya ia menjadi panduan serta pengajaran berguna dalam mengatur dan merancang sesuatu pelan pembangunan. Diantara faktor yang perlu diperhalusi ialah:
- Pelan pembangunan yang dirancang hendaklah tidak hanya memikirkan nilai-nilai komersial semata-mata, tetapi perlu mengambil kira faktor-faktor keselamatan, pencemaran atau taksiran kerosakan alam sekitar dan sistem ekologi yang mungkin berlaku pada masa akan datang.
- Sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa dalam melaksanakan sesuatu pelan pembangunan.
- Sentiasa merujuk kepada pakar-pakar yang dapat memberi khidmat nasihat dalam bidang-bidang berkaitan seperti jurutera-jurutera berpengalaman, pakar geologi iaitu berkaitan kaji bumi dan batuan, pakar ekologi iaitu berkaitan kaji hayat dan alam sekitar serta sebagainya.
- Pemantauan berterusan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap sesiapa sahaja atau mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan menyebabkan kerosakan atau terjejasnya alam sekitar.
- Menghentikan pembangunan yang berisiko tinggi serta membawa kerosakan sekiranya pembangunan tersebut diteruskan.
Pembangunan yang kita kejar tiada ertinya sekiranya kita hanya memberi keuntungan di sebelah pihak sahaja, sedangkan di sebelah pihak yang lain terpaksa menanggung derita dan kesusahan ataupun kerugian.
Demikianlah Islam mengajar kita bukan sekadar memikirkan kepentingan, keuntungan dan faedah diri sendiri sahaja, bahkan kita dituntut menjaga dan memelihara kepentingan orang lain. Sesungguhnya penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar ini menuntut kita menjalankan usaha yang bersepadu kerana kita semuanya yang bertanggungjawab memakmur dan memelihara anugerah Allah ini.
Sekiranya baik dan betul cara kita dalam melakukan satu-satu tindakan, maka eloklah hasilnya yang kita perolehi. Jika berlaku sebaliknya, maka amat malang sekali bagi diri kita dan juga anak-anak cucu generasi kita yang akan datang.
Di sebalik apa yang telah berlaku sewajarnya dijadikan iktibar dan mendorong kita mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kita hendaklah membuktikan sikap dengan menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan segala nikmat yang dikurniakan seharusnya disyukuri agar ia terus dipelihara.
Sebagai penutup, hayatilah firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 56 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan dibumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap-harap (supaya makbul) sesungguhnya rahmat Allah itu dekat pada orang-orang yang sentiasa memperbaiki amalannya".
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment