Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, June 10, 2011

Kefardhuan memilih yang halal

Kehidupan kita hari ini yang dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan, minuman dan barang gunaan menuntut kita agar berwaspada dan berhati-hati apabila menggunakan barangan tersebut dengan peka dan mengambil berat akan kehalalannya dan selamat untuk digunakan.

Allah SWT menjelaskan mengenai perkara ini dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Kesedaran masyarakat berkaitan isu halal ini perlu dipertingkatkan kerana beberapa faktor iaitu:
  1. Bidang pengeluaran makanan dan barang gunaan serta perkhidmatan telah semakin maju.  Para pengeluar berlumba-lumba mengeluarkan barangan dan perkhidmatan masing-masing dengan pelbagai kaedah yang menarik untuk tujuan pemasaran.  Hakikatnya ramai di kalangan kita hanya mengetahui sebahagian sahaja daripada status halal, suci serta baik barang-barang makanan atau perkhidmatan yang dijual di pasaran.  Masih banyak makanan dan barang gunaan serta perkhidmatan di pasaran yang tidak diketahui status halalnya.  Sebagai contoh, berleluasanya ubat-ubatan yang dikaitkan dengan kekuatan tenaga batin dan rawatan kecantikan yang dijual di kaki-kaki lima.  Begitu juga kempen-kempen skim cepat kaya yang beroperasi melalui internet dan kaedah-kaedah biasa.  Semuanya ini menuntut kita agar berhati-hati dari terjerumus kepada yang haram dan membahayakan diri.
  2. Kebanyakan kita umat Islam hanya menjadi pengguna bukan menjadi pengeluar.  Inilah satu cabaran besar kepada kita dalam menghadapi isu makanan dan barang-barang gunaan.  Oleh itu, menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam untuk menghasil dan mengeluarkan bahan makanan dan gunaan serta perkhidmatan untuk kegunaan harian kerana ini akan lebih menjamin kehalalan dan kesuciannya.  Di samping berperanan memperkasa ekonomi umat Islam itu sendiri dan sekaligus mengelakkan pergantungan kepada masyarakat lain.  Sesungguhnya inilah tanggungjawab fardhu kifayah yang perlu diperjuangkan secara bersepadu, berterusan dan bersungguh-sungguh.
  3. Pentingnya kesedaran tentang isu halal ini ialah kerana ia mempengaruhi tingkah laku kita.  Adalah menjadi kebimbangan sekiranya makanan yang dimakan yang akan menjadi darah daging kita adalah dari sumber syubhah atau pun dari sumber yang haram yang akan menjadikan kita manusia yang keras hati, malas beribadah, sukar menerima kebenaran, sukakan maksiat dan sebagainya.  Maka kesudahannya akan menerima padah azab seksa daripada Allah SWT.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang menjelaskan hal ini:

"Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannya dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan masuk ia ke dalam perkara yang haram laksana seorang pengembala dipinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja ada sebuah kawasan larangan dan tempat larang Allah itu adalah segala yang diharamkan. Ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging jika ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati".

Demi menjamin makanan, minuman dan barang-barang gunaan yang kita gunakan adalah halal, suci dan selamat, beberapa langkah boleh digunakan seperti:
  1. Menginsafi betapa besarnya tuntutan syarak dalam memelihara halal dan haram.
  2. Wajib memastikan makanan, minuman, ubat-ubatan dan barang-barang gunaan mempunyai logo halal yang disahkan oleh JAKIM.
  3. Memastikan program-program yang diadakan di hotel yang mendapat sijil pengiktirafan halal daripada JAKIM.
  4. Memastikan makan minum hanya di restoran-restoran dan premis makanan yang dimiliki oleh umat Islam dan memiliki sijil pengiktirafan halal daripada JAKIM.
  5. Tidak melibatkan diri dalam sebarang perniagaan yang mengandungi unsur gharar (tipu) dan riba.

Akhir sekali, hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya".

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: