Pengikut dan Ex-smgrian
Wednesday, June 22, 2011
Ujian Allah menguji keimanan
Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa ayat 79 yang bermaksud:
"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)".
Mulai tahun 2005, kerajaan Malaysia telah menetapkan 26 Disember setiap tahun sebagai Hari Kesedaran Bencana Negara. Tarikh ini diambil sebagai peringatan terhadap beberapa kejadian bencana besar yang telah melanda negara. Antaranya, kejadian ribut tropika Greg yang melanda pantai barat pedalaman Sabah pada 26 Disember 1996, gempa bumi dan tsunami yang dahsyat pada 26 Disember 2004.
Persoalan besar yang timbul dalam fikiran kita ialah apakah punca berlakunya bencana dan malapetaka ini? Menurut teori sains geologi, terdapat 3 faktor yang menyebabkan fenomena alam ini berlaku. Pertama, kejadian bencana ini boleh berlaku akibat faktor-faktor semulajadi seperti banjir, kemarau, jerebu, tanah runtuh, gempa bumi dan tsunami. Kedua, faktor biologi turut menyebabkan bencana ini berlaku seperti kejadian wabak penyakit yang menjangkiti haiwan dan manusia. Ketiga, bencana alam ini berlaku akibat daripada kelemahan manusia sendiri kerana aktiviti pembangunan yang tidak terancang dilakukan di kawasan berisiko, penjagaan alam sekitar yang tidak mampan, kurang penyelenggaraan infrastruktur, penggunaan pengangkutan berat dan sebagainya.
Ditinjau dari sudut Islam pula, fenomena bencana yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri iaitu pertama, untuk menguji ketaqwaan manusia kepada Allah SWT. Kedua, sebagai amaran kepada manusia dan yang ketiga, balasan atas kelalaian dan keingkaran manusia kepada peraturan dan ketetapan alam.
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan dan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Sebagai langkah dan ikhtiar kerajaan untuk mengurangkan penderitaan mangsa-mangsa bencana, maka pemimpin politik, agensi-agensi kerajaan dan ketua-ketua masyarakat perlu bijak mengurus dan mengambil langkah awal dalam mengumpul maklumat mengenai semua anak buah mereka di samping mengenal pasti tindakan yang perlu dibuat sekiranya berlaku sesuatu bencana dengan cara mengenal pasti pusat pemindahan, jabatan yang harus dihubungi, menjaga kebajikan serta mengingatkan anak-anak buah supaya bersedia menghadapi bencana.
Selain itu, kerajaan juga amat mengharapkan Pertubuhan Sukarela dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai contoh, perlu sentiasa bekerjasama dengan kerajaan dalam pengurusan bencana. Tidak kira sama ada kerjasama tersebut dari sudut bantuan kewangan, tenaga dan sebagainya. Namun apa-apa jua tindakan yang diberi perlulah merujuk kepada kerajaan terlebih dahulu.
Ini kerana, kadang kala sumbangan yang diberikan oleh Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) menimbulkan tanggapan yang salah oleh mengsa bencana kepada kerajaan. Mereka mengatakan bahawa kerajaan tidak berusaha menjaga kebajikan mangsa bencana. Ada juga di kalangan mangsa bencana ini mengatakan kerajaan tidak adil dalam mengagihkan sumbangan dengan memberikan sumbangan yang lebih kepada kawasan-kawasan tertentu.
Selari dengan dasar dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat jelata, maka kerajaan sedaya upaya dan sentiasa memberi bantuan dan pertolongan kepada mangsa bencana secara menyeluruh dan sama rata. Pengagihan sumber-sumber yang ada diagihkan dengan adil demi menjaga kepentingan rakyat.
Kita hendaklah ingat bahawa kita ini adalah hamba Allah SWT dan kita wujud di dunia ini kerana diciptakan oleh-Nya dan dibekalkan dengan pelbagai anugerah serta kemudahan dan nikmat.
Untuk membebaskan negara dan bangsa kita dari pelbagai bencana, kesulitan dan wabak penyakit, tidak cukup hanya dengan bekerja keras, gotong-royong dan menggunakan kemahiran ilmu pengetahuan sahaja tetapi seluruh masyarakat Islam dari pelbagai lapisan masyarakat mestilah sentiasa menghormati syariat Allah SWT dengan tidak melakukan kemungkaran dan kemusnahan di atas muka bumi dan banyak bertaubat kepada-Nya.
Kita hendaklah menjaga hubungan dengan Allah SWT. Ibnu Abbas, iaitu bapa saudara Rasulullah SAW ketika mengulas tentang isu bencana menyatakan:
"Bahawa sesungguhnya setiap kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh rakyat, pemimpin, cerdik pandai dan ulama’ yang terus menerus akan menyebabkan datangnya bala dan bencana. Dan sesungguhnya bala dan bencana itu tidak akan hilang jika orang yang bersalah dan berdosa itu tidak bertaubat".
Hakikatnya, segala fenomena bencana alam yang menimpa manusia secara tersiratnya mempunyai hikmah dan pengajaran tersendiri. Ia memberi pengajaran untuk melatih manusia bersabar dan menimbulkan keinsafan serta kesedaran. Penderitaan manusia juga mengingatkan mereka tentang kesilapan dan kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat.
Bala bencana dan malapetaka telah berlaku ke atas manusia sejak dahulu lagi. Umat Nabi Nuh a.s. telah ditenggelamkan oleh ombak yang tinggi seperti gunung, umat Nabi Musa a.s. pula telah diturunkan bala dalam bentuk taufan dan serangan kutu, katak dan air berdarah. Begitu juga kaum Nabi Hud a.s. iaitu kaum 'Ad dan kaum Nabi Saleh a.s. iaitu kaum Tsamud yang dihapuskan dari muka bumi kerana kesan bencana. Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan bertaubat kepada Allah SWT agar tidak mengikut jejak kaum-kaum yang ingkar kepada Allah SWT.
Justeru itu, sebagai individu Muslim, wajib ke atas kita menganggap setiap musibah yang menimpa adalah datangnya dari Allah SWT sebagai memberi peringatan bahawa kepada-Nyalah kita kembali, begitu juga dengan segala apa yang kita miliki.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud:
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment