Suasana tenang di pekan Tanjong Rambutan
Memang telah menjadi lumrah bahawa pekan kecil bernama Tanjong Rambutan yang terletak dalam mukim Ulu Kinta di Negeri Perak sering dikaitkan dengan Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, iaitu sebuah pusat rawatan mental yang dikenali umum di Malaysia selain sebuah lagi pusat rawatan mental yang terletak di Tampoi, Johor.
Akibatnya, Tanjong Rambutan telah menjadi seperti sesuatu yang memalukan sehinggakan mereka yang berasal dari kawasan ini akan mengaku berasal dari daerah Ulu Kinta (yang sinonim pula dengan kem PPH [Pasukan Polis Hutan] atau sekarang dipanggil PGA [Pasukan Gerakan Am]) kerana takut diejek sebagai pesakit mental.
Namun semua itu akan berubah tidak lama lagi apabila pekan Tanjong Rambutan akan dibangunkan dan nama Hospital Bahagia tidak lagi akan menjadi sinonim bagi Tanjong Rambutan. Ini disebabkan oleh program Projek Pembangunan Pekan Kecil yang dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Perak akan mengubah senario itu.
Pekan Tanjong Rambutan merupakan salah satu daripada 14 buah pekan kecil yang disenaraikan dalam program tersebut. Pekan Tanjong Rambutan mempunyai penduduk seramai 90,000 orang. Kegiatan yang dilakukan di sekitar pekan Tanjong Rambutan ialah industri kecil di sekitar kawasan Kanthan, kawasan perladangan di antara Chemor dan Tanjong Rambutan, kawasan petempatan awam di sekitar Tambun dan Taman Perpaduan dan kehidupan masyarakat Orang Asli di atas bukit-bukit di sepanjang barisan utama.
Walaupun campuran bersepadu aktiviti-aktiviti ekonomi yang dijalankan, secara kasarnya kira-kira 20% daripada jumlah penduduknya masih diletakkan dalam kategori kurang mampu (data menurut Rusnah Kassim, ADUN Kawasan Hulu Kinta).
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Dato' Samsudin Hashim, mengesahkan bahawa Tanjong Rambutan memang disertakan dalam program pembangunan tersebut. Menurut beliau, objektif utama projek itu adalah untuk membangunkan infrastruktur sebuah bandar kecil agar menjadi pemangkin kepada kawasan sekeliling dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
Bagaimanapun, untuk mencapai matlamat tersebut, isu tentang tanah dan petempatan perlu diselesaikan terlebih dahulu. Biasanya had masa yang ditentukan untuk melaksanakan projek pembangunan ialah tiga tahun, dua tahun untuk perancangan dan perlaksanaan dan setahun untuk penyerahan. Dato' Samsudin juga akur bahawa Tanjong Rambutan "tidak akan mengemukakan terlalu banyak cabaran seperti kebanyakan komponen, seperti infrastruktur dan penyertaan masyarakat, telah siap diatur".
Pendapat beliau disokong oleh encik Aminuddin Hashim, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan yang juga merupakan anggota jawatankuasa projek itu. Encik Aminuddin menyatakan walaupun mereka masih belum mempunyai data yang lengkap namun aktiviti ekonomi yang dijalankan di kawasan itu menunjukkan kedinamikan. Isu utama adalah bagaimana untuk menjadikan aktiviti-aktiviti tersebut menjadi berdaya maju dari segi ekonomi.
Beberapa pembangunan telah dilihat di kawasan tersebut beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya ialah pembangunan kawasan penternakan kuda National Stud Farm, Kem Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Maktab Perguruan. Beberapa projek pembangunan hartanah juga sedang pesat dibangunkan di kawasan itu. Antaranya adalah projek hartanah kelas tinggi seperti projek kondominium mewah The Haven, projek pembangunan perumahan kelas tinggi termasuk tempat peranginan pelancongan seperti Lost World of Tambun, Banjaran Spa dan Bukit Kinding Resort yang terletak di Chemor.
Sumber: Ipoh Echo
No comments:
Post a Comment