Antara faktor utama yang menyebabkan sakit tumit ialah plantar fasciitis yang membabitkan kesakitan dan radang pada tisu yang dikenali plantar fascia.
Plantar fascia merangkumi sejenis tisu panjang yang ada di bawah tapak kaki bermula dari ibu jari kaki hingga ke tumit.
Fungsi utama tisu ini adalah untuk menyerap hentakan pada kaki dan juga untuk mengekalkan bentuk gerbang atau arch di kaki.
Dalam kes-kes tertentu tisu ini mengalami keradangan namun tidak diketahui apakah punca sebenar keradangan ini.
Kemungkinan besar keradangan berlaku berkait rapat dengan proses penuaan selain trauma mikro yang berlaku berulang kali.
Tanda-tanda sakit tumit dirasai pada waktu pagi sejurus menjejakkan kaki ke lantai ketika turun dari katil.
Sakit tumit juga dirasai selepas lama berjalan.
Terdapat beberapa cara mudah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya:
- Memakai kasut yang sesuai seperti mempunyai tapak lembut yang diperbuat daripada getah atau foam seperti kasut sukan.
- Menggunakan insole atau pelapik tambahan di bahagian tumit yang diperbuat daripada silikon bertujuan untuk mengurangkan tekanan pada tumit dan melegakan kesakitan.
- Meletakkan ketulan ais yang dibungkus dengan plastik dan kain ke atas tumit yang sakit.
Pesakit juga boleh membuat senaman untuk meregangkan tisu plantar sebanyak tiga kali sehari.
Menurut kajian, senaman lebih berkesan sekiranya dimulakan enam minggu bermulanya sakit tumit.
Seeloknya senaman dibuat pada waktu pagi sebelum berdiri dan juga setelah duduk pada waktu yang lama.
Teknik senaman boleh dipelajari daripada ahli fisiologi yang berpengalaman.
Sebelum memulakan rawatan, kemungkinan anda akan dinasihati oleh doktor untuk menjalani imbasan x-ray.
Imbasan ini adalah untuk melihat tanda-tanda ketumbuhan tulang di tumit.
X-ray dapat menunjukkan kesan klasifikasi tisu plantar tersebut.
Doktor pakar juga mungkin akan membuat imbasan MRI untuk melihat kesan inflamasi di tumit.
Doktor akan memberi ubat antiradang selama beberapa hari untuk mengurangkan proses keradangan pada tisu plantar fascia.
Sesi fisioterapi dengan ultrasound juga mampu mengurangkan proses keradangan ini.
Sejenis terapi lagi yang bukan invasif adalah penggunaan Extracorporeal Shockwave Therapy (ESWT).
ESWT hampir sama dengan ultrasound dan gelombang ditujukan kepada tisu plantar fascia untuk merangsang proses pemulihan.
Suntikan steroid juga mungkin dapat mengurangkan proses keradangan dengan lebih cepat.
Walaupun begitu, pesakit dinasihatkan agar tidak terlalu kerap mendapatkan suntikan kerana ia mungkin akan menyebabkan komplikasi.
Pembedahan juga merupakan satu alternatif seandainya pesakit tidak sembuh setelah menjalani rawatan biasa.
Juga terdapat rawatan baru yang dipanggil Radiofrequency Microtetonomy yang dapat mempercepatkan proses penyembuhan.
Dalam rawatan ini, keratan akan dibuat di tumit pesakit manakala plantar fascia akan ditebuk agar proses penyembuhan dapat dilakukan.
Golongan berisiko mendapat sakit tumit:
- Lazimnya ia membabitkan pesakit di lingkungan pertengahan umur
- Obesiti
- Ahli sukan seperti pelari
- Golongan pekerja yang memerlukan banyak pergerakan seperti jururawat
- Kaki dengan bentuk gerbang tinggi
- Tapak kaki yang leper
- Mereka yang alami masalah otot betis yang tegang
Sumber: Artikel Sakit Tumit tulisan Suzan Ahmad yang disediakan oleh Dr. Saiful Akhtar Shamsuddin, Berita Minggu 23 Januari 2011.
No comments:
Post a Comment