Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, February 23, 2011

Hipotiroidisme Kongenital


Apa itu Hipotiroidisme Kongenital?

Hipotiroidisme Kongenital adalah satu gangguan metabolik di kalangan bayi yang baru dilahirkan di mana ia menyebabkan masalah berkaitan dengan hormon tiroxin

Seorang bayi yang mengalami Hipotiroidisme Kongenital masih boleh hidup normal. Bayi ini perlu diberi rawatan hormon tiroxin seawal mungkin selepas kelahiran dan perlu diambil sepanjang hayat.

Kekurangan hormon tiroxin

Kelenjar tiroid terletak di bahagian leher dan ia menghasilkan hormon tiroxin. Hormon tiroxin amat diperlukan untuk pembentukan dan perkembangan otak serta tumbesaran kanak-kanak.

Di kalangan bayi, ada yang dilahirkan:
  • Tanpa kelenjar tiroid.
  • Kelenjar tiroid sebahagian sahaja.
  • Kelenjar tiroid yang tidak berfungsi.
  • Kelenjar tiroid berada di luar kedudukan yang normal.

Sekiranya mana-mana satu keadaan di atas berlaku akan menyebabkan ketiadaan atau kekurangan hormon tiroxin. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak mengalami terencat akal dan masalah tumbesaran fizikal.

Penyebab tidak diketahui

Punca Hipotiroidisme Kongenital tidak diketahui. Ia adalah satu keadaan kongenital yang berkaitan dengan masalah genetik. Ianya tiada kaitan dengan gaya hidup atau faktor-faktor risiko ibu sebelum atau semasa mengandung.

Saringan awal adalah penting

Hipotiroidisme Kongenital boleh dikesan melalui ujian saringan darah dari tali pusat bayi sebaik sahaja dilahirkan.

Ujian saringan ini akan dijalankan oleh hospital tempat bayi anda dilahirkan.

Jenis ujian saringan yang dijalankan ke atas sampel darah adalah Thyroid-Stimulating Hormone (TSH). Sekiranya keputusan ujian ini tidak normal ujian pengesahan akan dilakukan.

Tanda-tanda Hipotiroidisme Kongenital
  • Raut muka yang kasar (coarse facies).
  • Suara tangisan yang garau (hoarse cry).
  • Sembelit.
  • Perut yang buncit.
  • Jaundis neonatal yang berpanjangan.
  • Uluran umbilikal (umbilical hernia).
  • Lambat bertindak balas (slow responses).
  • Kulit kering, kasar dan kelihatan pucat.
  • Tidak aktif dan banyak tidur.
  • Lidah yang besar (macroglossia).
  • Terencat akal.
  • Tumbesaran terbantut.

Gejala-gejala ini kebiasaannya tidak ketara semasa bayi baru dilahirkan.

Peranan ibubapa

Ibubapa hendaklah memastikan bayi yang dilahirkan telah menjalani ujian saringan untuk mengenalpasti Hipotiroidisme Kongenital.

Jika bayi telah disahkan mengalami Hipotiroidisme Kongenital:
  • Rawatan Hipotiroidisme Kongenital adalah untuk seumur hidup.
  • Bawa anak anda untuk rawatan susulan mengikut temujanji yang diberikan.
  • Pemeriksaan dan penilaian dijalankan oleh doktor yang merawat adalah diperlukan untuk perkembangan yang normal.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi hospital/klinik berdekatan di mana bayi anda dilahirkan.

Untuk informasi terkini tentang kesihatan, sila layari www.infosihat.gov.my

No comments: