Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 17, 2009

Pembelian kosmetik



Barangan kosmetik telah menjadi satu kemestian bagi golongan wanita terutamanya wanita yang bekerja. Kebanyakan barangan kosmetik digunakan dengan kerap dan mereka akan berhenti dari menggunakannya apabila barangan tersebut bertukar warna atau rasa. Ini adalah disebabkan kebanyakan barangan kosmetik tidak mempunyai tarikh luput tetapi hanya melabelkan tarikh pembuatan sahaja.

Menurut Dr. Patrick Bowler, pengasas Persatuan Doktor Kosmetik Britain, apabila sesuatu barang kosmetik telah tamat tarikh luputnya, ia akan lebih terdedah kepada pencemaran. Jika anda menggunakan barangan kosmetik yang tercemar, anda mungkin akan dijangkiti penyakit kulit seperti ruam kulit.

Kosmetik terdiri daripada bahan kimia dan bahan pengawet yang mempunyai jangka hayat. Selepas satu jangka masa tertentu, tindak balas kimia mungkin berlaku dalam barangan kosmetik tersebut. Bahan pengawet pula boleh rosak atau hilang kuasa pengawetannya apabila terdedah atau dicampur dengan elemen lain seperti air. Oleh kerana barangan kosmetik ini kebiasaannya berada di dalam keadaan lembap, ia amat terdedah kepada pertumbuhan bakteria.

Secara umumnya, semua barangan kosmetik tidak harus digunakan selepas 3 tahun dari tarikh pembuatannya. Namun, jangka hayat sebenar barangan kosmetik bergantung kepada kandungan bahan kimia dan bahan pengawetnya. Apabila anda membeli barangan kosmetik, jangan lupa untuk melihat tarikh pembuatannya, terutamanya sewaktu jualan murah.

Berikut adalah senarai barangan kosmetik dan jangka hayatnya (dengan anggapan ia digunakan dan disimpan dalam keadaan yang disyorkan) :


1. Pelentik mata (mascara)

Jangka hayat: 3 - 6 bulan. Pelentik mata harus digunakan 3 hingga 6 bulan selepas ia dibuka. Ini kerana berus pelentik mata yang dicelup dengan berkali-kali ke dalam bekasnya boleh meningkatkan risiko pencemaran. Ia membenarkan bakteria masuk ke dasar bekas tersebut yang keadaannya lebih lembap dan menggalakkan pertumbuhan bakteria.


2. Pelembap kulit (moisturizer)

Jangka hayat: 3 - 12 bulan. Secara umumnya, pelembap kulit perlu digunakan mengikut jangkamasa yang dicadangkan, terutamanya pelembap yang mengandungi minyak atau ekstrak tumbuhan. Ini kerana bahan organik seperti ekstrak tumbuhan akan hilang fungsinya secara beransur-ansur.


3. Bedak asas (base powder)

Jangka hayat: Bedak asas tanpa minyak (12 bulan) ; Pelembap, krim atau bedak asas padat/kompak (18 bulan). Bedak asas juga perlu digunakan sebaiknya. Bedak asas tanpa minyak mempunyai jangka hayat yang sangat pendek kerana ia lebih cepat kering daripada jenis bedak asas yang lain. Bedak kompak pula mungkin akan mengalami kekeringan lebih awal kerana bercampur dengan minyak semula jadi daripada kulit yang tertinggal pada span yang digunakan.


4. Bedak (loose powder)

Jangka hayat: 2 tahun. Kebanyakan bedak boleh disimpan sehingga tiga tahun dari tarikh pembuatannya. Namun selepas dua tahun bedak mungkin akan 'kering' dan tidak selembut dahulu.


5. Penutup cela (concealer)

Jangka hayat: 12 - 18 bulan. Penutup cela jenis batang adalah jenis penutup cela yang tahan paling lama. Anda boleh mengetahui keadaan tamat jangka hayatnya apabila ia menjadi kering dan tidak lembut lagi sewaktu digunakan. Penutup cela jenis cecair pula akan mula terpisah dan berketul-ketul apabila tamat tarikh luputnya.


6. Pemerah pipi (blusher)

Jangka hayat: Pemerah pipi (2 tahun) ; Krim pemerah pipi (12 - 18 bulan). Selepas dua tahun, pemerah pipi mungkin akan menjadi lebih kering dan seakan-akan licin kerana campuran minyak daripada kulit. Warnanya juga akan berubah menjadikannya tidak sesuai untuk digunakan. Krim pemerah pipi mempunyai jangka hayat yang lebih pendek daripada jenis bedak kerana ia mengandungi emulsi yang tidak stabil.


7. Pembayang mata (eye shadow)

Jangka hayat: Pembayang mata (2 tahun) ; Krim pembayang mata (12 - 18 bulan). Pembayang mata boleh tahan untuk jangka masa yang lama kerana ia adalah dari jenis yang berpigmen. Seperti juga krim pipi, pembayang mata jenis krim mempunyai emulsi yang tidak stabil.


8. Penggaris mata dan penggaris bibir (eyeliner dan lip liner)

Jangka hayat: 2 tahun. Penggaris mata dan penggaris bibir tahan lama kerana ia kerap ditajamkan. Maka pertumbuhan bakteria adalah terhad dan tidak lama.


9. Gincu bibir (lipstick)

Jangka hayat: 2 tahun. Gincu secara umumnya tahan lama kerana ia adalah formula campuran pigmen dan lemak. Buih-buih yang mungkin terdapat di atas gincu tidak bermakna ia telah rosak tetapi merupakan titisan kelembapan yang boleh dilap.


10. Pengilat bibir (lip gloss)

Jangka hayat: 18 bulan - 2 tahun. Pengilat bibir tidak tahan lama seperti mana gincu bibir kerana formula pembuatannya adalah berbeza. Ia juga sangat terdedah kepada pencemaran bakteria kerana mempunyai kelembapan yang tinggi.

Dicuplik daripada Buletin Pengguna edisi Mac 2009

No comments: