Pengikut dan Ex-smgrian
Tuesday, November 17, 2009
Ebola
Ebola, adalah sejenis penyakit demam berdarah yang disebabkan oleh jangkitan virus iaitu Ebolavirus dan amat mudah berjangkit.
50-90 peratus kes penyakit Ebola menyebabkan kematian.
Pesakit Ebola yang sampai ke tahap kritikal akan mengalami pendarahan di seluruh tubuh melalui liang-liang terbuka seperti mata, hidung dan mulut.
Pesakit akan menemui ajal akibat kejutan disebabkan penyakit ini dan kehilangan banyak darah.
Sejarah Ebola.
Kes Ebola yang pertama ditemui di Yambuku, sebuah pekan di utara Zaire pada 26 Ogos 1976. Pada waktu itu tiada kaedah rawatan yang sesuai untuk merawat pesakit yang diserang Ebola. Pesakit Ebola pula dibiarkan bebas bergaul dengan orang awam dan menyebabkan penyakit ini mudah merebak.
Nama Ebola dikatakan berasal daripada nama sebatang sungai di Republik Kongo dan merupakan tempat pertama penyakit ini dikesan. Mangsa pertama yang menghidap Ebola adalah seorang guru sekolah berusia 44 tahun, Mabalo Lokela. Pada mulanya dia disyaki menghidap malaria disebabkan suhu badannya yang amat tinggi dan demam yang berterusan. Dia telah diberikan kuinin namun tidak dapat meredakan demamnya. Seminggu kemudian, Lokela mula mengalami muntah-muntah, cirit-birit yang bercampur dengan darah, pening kepala dan kesukaran bernafas. Darah mula keluar daripada hidung, mulut dan kemaluannya. Lokela akhirnya meninggal dunia pada 8 September 1974, 14 hari selepas mendapat simptom pertama.
Tidak lama selepas kejadian itu, ramai lagi pesakit di hospital berkenaan mengalami simptom yang sama iaitu demam kuat, sakit dan pening kepala, sakit di seluruh sendi dan anggota badan, kelesuan dan muntah-muntah. Pesakit juga akan mengalami pendarahan setiap kali membuang air besar, muntah-muntah yang berterusan dan pendarahan pada hidung, mulut dan kemaluan. Jumlah kematian mula meningkat. Jangkitan ini mungkin disebabkan oleh penyuntik yang digunakan untuk menyuntik Lokela tidak dibasmikan dan digunakan untuk pesakit yang lain. Lokela yang tidak dikuarantin sewaktu rawatan juga membolehkan jangkitan merebak melalui udara. Dua jururawat warga Belgium yang berkhidmat di hospital berkenaan turut menjadi korban Ebola.
Mereka yang berisiko menghidap penyakit ini.
1. Mereka yang bekerja dan memelihara haiwan seperti monyet yang telah dijangkiti virus Ebola.
2. Mereka yang berdekatan, berhampiran atau bersentuhan dengan pesakit Ebola.
3. Mereka yang mengendalikan peralatan atau pakaian pesakit Ebola tanpa menggunakan sarung tangan atau uniform kalis radiasi seperti pakaian hazmat.
Cara merebak dan berjangkit.
1. Melalui sentuhan, darah atau organ dalaman pesakit.
2. Melalui monyet yang telah dijangkiti virus Ebola. Monyet merupakan pembawa utama wabak penyakit ini.
3. Pesakit yang berada di tahap kritikal dan mengalami pendarahan seluruh tubuh.
4. Mereka yang berada berhampiran dengan pesakit tanpa menggunakan pelindung akan dijangkiti dengan mudah melalui udara dan sentuhan.
5. Melalui udara apabila pesakit bersin atau batuk.
Simptom awal diserang Ebola.
1. Demam kuat yang mengejut, suhu badan meningkat ke 38.8°C atau 102°F.
2. Lesu/lemah seluruh anggota badan.
3. Sakit otot.
4. Pening kepala.
5. Sakit tekak, rasa perit di bahagian tekak.
6. Batuk berdarah.
7. Mata merah.
8. Ruam.
9. Sakit perut.
Tanda-tanda ini akan disusuli pula dengan
1. Kegatalan
2. Cirit-birit
3. Hati dan buah pinggang tidak berfungsi dengan normal.
4. Pendarahan melalui setiap liang pada tubuh seperti mata, mulut, hidung dan kemaluan yang akhirnya akan membawa maut.
Rawatan
Setakat ini belum ada rawatan khusus ataupun vaksin untuk mencegah dan merawat Ebola. Pesakit yang menghidap Ebola perlu dikuarantin dan tidak sepatutnya dibiarkan dalam keadaan terdedah kepada udara. Apabila ingin berkomunikasi dengan pesakit Ebola perlu memakai pakaian kalis radiasi seperti pakaian hazmat untuk mengelak jangkitan. Semua pakaian dan peralatan yang telah digunakan oleh pesakit Ebola hendaklah dibasmi dengan bahan pembasmi kuman ataupun dimusnahkan serta-merta.
Sumber : Majalah Harmoni/Wkipedia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment