Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 17, 2009

Makanan organik



Penanaman dan penghasilan makanan organik adalah selari dengan konsep penggunaan lestari, di mana keseluruh proses penghasilan adalah secara semulajadi dan makanan yang dihasilkan adalah selamat, berkualiti, tidak mencemari alam sekitar, dan memulihara kepelbagaian
ekosistem.

Akan tetapi, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan makanan organik?

Makanan organik secara amnya adalah makanan (sayuran, buah-buahan, haiwan ternakan) yang dihasilkan TANPA PENGGUNAAN;

o baja kimia sintetik,
o racun serangga,
o sisa perkumuhan manusia,
o sisa pembentungan,
o penyinaran radiasi
o Bahan tambahan makanan,
o Antibiotik
o Hormon pertumbuhan, dan
o Pengubahsuaian genetik moden (untuk kebanyakkan negara)

Tanah tanaman juga adalah bebas dari penggunaan baja kimia atau racun serangga sekurang-kurangnya 3 tahun. Cara penanamanya adalah berunsurkan konsep semulajadi, termasuk membajak secara tradisional, penggunaan baja semula jadi atau atas tanah yang subur. Untuk haiwan ternakan organik, ia diberi makanan organik dan tidak diberi suntikan ubat antibiotik atau hormon pertumbuhan. Hasil dari haiwan organik seperti telur ayam juga akan dikelaskan sebagai produk organik.

Makanan organik terproses secara amnya hanya mengandungi bahan/ramuan organik dan tidak mempunyai sebarang bahan tambahan makanan (pengawet, pewarna, dsb) tetapi disebabkan proses pengeluaran makanan yang kompleks dalam kebanyakkan makanan terproses masa kini, terdapat juga campuran minima ramuan bukan organik. Oleh itu, pada perlabelannya, ia dikelaskan sebagai 90% atau 95% organik.

Antara kebaikan makanan organik termasuk;

o mengurangkan pendedahan kepada racun serangga, hormon dan antibiotik.
o tidak mencemarkan alam sekitar seperti sungai dan tanah sebab tiada penggunaan bahan kimia semasa aktiviti pertanian.
o nilai nutrisi lebih tinggi
o kualiti makanan yang lebih tinggi
o memupuk diet dan pemakanan yang sihat
o pemuliharaan alam sekitar dan Bumi- tanaman organik dapat menahan lebih banyak karbon di dalam tanah, mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera
o pertanian organik menggunakan tenaga yang lebih kurang daripada kaedah pertanian biasa, disebabkan tiada penggunaan baja nitrogen.
o tidak mengandungi toksin disebabkan tidak menggunakan bahan kimia dalam penanamannya dan ketiadaan racun serangga.

Bagaimana untuk membezakan makanan organik dengan bukan organik?

Terdapat banyak cara untuk mengenalpasti ketulenan makanan organik seperti menjalankan analisa kimia ataupun penyemakan proses penghasilan ladang-ladang organik, tetapi untuk para pengguna cara yang paling senang adalah untuk membaca label.

Kebanyakan makanan organik yang berada di pasaran sekarang adalah dibungkus secara berasingan dan dilabelkan.

Malaysian Organic Scheme (SOM) ialah satu program pensijilan kepada petani yang menguruskan ladang pertanian mereka dengan mematuhi syarat-syarat di bawah national organic standard MS 1529:2001. Piawai ini mempunyai garis panduan mengenai penghasilan, pembungkusan, pengangkutan, dan penjualan yang berkaitan dengan makanan organik. Produk-produk dari ladang organik yang bersijil boleh dilabelkan sebagai organik dengan menggunakan logo Organik Malaysia.


Logo Organik Malaysia

Dipetik dari laman web Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia

No comments: