Pengikut dan Ex-smgrian
Wednesday, November 18, 2009
Congkak
Congkak dipercayai berasal daripada dunia Afrika atau Arab.
Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai ahli arkeologi yang dibiayai oleh Peratuan National Geographic mempunyai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh 5000 hingga 7000 Sebelum Masehi di Jordan.
Dari Timur Tengah, permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang Arab.
Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini adalah pusat perdagangan pada waktu dahulu.
Kanak-kanak di kepulauan Caribbean juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai ke sana melalui perdagangan hamba.
Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia, congkak dikenali dengan nama congklak manakala di Filipina pula ia dikenali sebagai sungka.
Pada zaman dahulu, golongan istana bermain congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara dalam kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang pada tanah.
Pada hari ini, congkak dimainkan di seluruh dunia.
Congkak begitu popular dan diminati sehingga peminatnya mencipta pelbagai laman web di internet.
Dalam laman web ini disenaraikan pelbagai maklumat mengenai congkak dalam budaya dan bangsa di seluruh dunia. Terdapat juga permainan congkak dalam talian.
Permainan congkak melibatkan pengiraan. Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan.
Dalam permainan congkak, terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak.
Papan congkak boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'.
Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 sentimeter dan lebarnya 18 sentimeter. Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak.
Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah congkak itu ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing mengikut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment