Pengikut dan Ex-smgrian
Monday, June 1, 2009
Kota Belanda Pulau Pangkor
Kota Belanda terletak di Kampung Teluk Gadong iaitu di selatan Pulau Pangkor yang mengambil masa selama 15 minit dari jeti Pangkor untuk tiba ke destinasi.
Kota ini dibina pada tahun 1680 dan kini berusia 329 tahun. Ia adalah sebuah kota batu binaan penjajah Belanda iaitu penjajahan pertama Eropah di Perak.
Tujuan pembinaannya adalah sebagai kubu pertahanan daripada serangan lanun dan penduduk tempatan lain yang memberontak terhadap pemerintahan penjajah. Juga untuk mengawal laluan barang dagangan di Perak terutamanya galian terpenting iaitu bijih timah.
Sejarah Kota Belanda adalah di mana Belanda mengekalkan kekuasaan mereka di Pulau Pangkor dengan kerjasama tenaga seramai 60 tentera semenjak tahun 1680 hingga ke tahun 1690an.
Seorang pahlawan Melayu bernama Panglima Kulup telah menyerang Kota Belanda beberapa kali tanpa putus asa sehingga berjaya menewaskan Belanda dan mengusir Belanda keluar daripada Pulau Pangkor.
Selepas tahun 1779, Kota Belanda tidak digunakan lagi kerana Belanda menumpukan kepada perdagangan rempah di Maluku, Indonesia.
Belanda pada ketika itu juga sedang berhadapan dengan Perang Napoleon di Eropah dan pada tahun 1824, Belanda dan Inggeris secara tidak rasmi telah membahagikan wilayah penguasaan masing-masing di Nusantara.
Selepas peninggalan Belanda dari Pulau Pangkor, kota ini telah dibina semula oleh Jabatan Muzium pada tahun 1973 dan telah diwartakan sebagai monumen lama dan tapak bersejarah di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam Seksyen No. 247, Warta Kerajaan Negeri Perak bertarikh 31 Mac 1970.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment