Pada zaman Sultan Mukaddam Shah ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, Sultan negeri Perak yang keenam, permainan sabung ayam amat terkenal dalam kalangan rakyat jelata dan permainan ini menjadi tontonan orang ramai dan berjudi.
Ini termasuklah Tok Tua Sakti iaitu salah seorang peneroka awal pekan Tapah. Dia menyabung ayam sehingga kalah teruk dan tergadai kampung halaman.
Setelah kalah, Tok Tua Sakti amat menyesal dan bertaubat. Kemudian pada malam berikutnya, dia bermimpi dan disuruh ke kuala sungai Batang Padang yang terdapat seekor ikan tapah sebesar manusia akan terdampar di situ.
Dalam perut ikan itu, terdapat beberapa kepingan emas yang boleh membantu Tok Tua Sakti untuk menebus kampungnya. Setelah berjaya mendapat emas berkenaan, perut ikan tapah dijahit semula dengan menggunakan buluh.
Sejak kejadian itu, kaum keluarga Tok Tua Sakti disumpah dan tidak boleh memakan atau menganiaya ikan tapah.
*Ada juga hikayat menyatakan bahawa orang yang kalah berjudi tersebut ialah Pak Kadok. Pak Kadok mempunyai seekor ayam yang handal bersabung dan telah mendapat perhatian Sultan. Sultan membuat perjanjian dengan Pak Kadok untuk bertukar ayam sabung dan apabila ayam sabung Pak Kadok telah memenangi perlawanan tersebut, kampung Pak Kadok telah tergadai (dengan ini juga tercipta peribahasa Melayu "Alangkah malang nasib Pak Kadok, ayam menang kampung tergadai" yang membawa maksud kemenangan yang sia-sia).
Setelah kehilangan harta benda, kampung halaman termasuk isterinya sendiri kepada Sultan, Pak Kadok membawa dirinya sehingga bertemu seekor kucing. Kucing tersebut mengiau-ngiau dan menggigit jari kakinya seolah-olah ingin memberitahu sesuatu. Lalu Pak Kadok mengikut kucing tersebut sehingga ke sebatang sungai. Pak Kaduk ternampak seekor ikan tapah yang besar. Disebabkan atas rasa lapar maka tanpa berlengah Pak Kadok menangkap ikan tersebut dan membelah perutnya. Setelah dibelah keluarlah emas dari perut ikan tersebut. Pak Kadok bersyukur kepada Allah SWT atas rezeki yang diterimanya dan bertaubat atas perbuatannya menyabung ayam selama ini.
Setelah menjahit semula perut ikan tapah tersebut menggunakan jarum patah dan benang daripada urat batang pisang, Pak Kadok melepaskan semula ikan tersebut ke sungai. Dengan kuasa Allah SWT juga ikan tapah itu hidup dan berenang. Ikan tapah itu menyelam dan timbul sekali seolah mengucapkan selamat tinggal seterusnya menghilangkan diri di dalam air.
Pak Kadok melafazkan sumpahnya yang berbunyi:
" Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya. "
Pak Kadok menebus kembali kampung halamannya menggunakan emas yang ditemui dalam perut ikan tapah tersebut.
Sumber: Sinar Harian, kgtua.tripod.com
No comments:
Post a Comment