Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 11, 2014

Saiyidatina Khadijah Khuwailid dan Asma' Abu Bakar


Ali bin Abi Talib meriwayatkan, pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sebaik-baik wanita ialah Khadijah Khuwailid." - Hadis Sahih Muslim.

Khadijah binti Khuwailid ialah isteri Nabi Muhammad SAW yang pertama.

Beliau berasal dari kabilah Quraisy keluarga Abdul Uzza dan sepupu kepada Waraqah bin Naufal, seorang ahli agama peninggalan Nabi Ibrahim A.S.

Khadijah pernah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW.

Perkahwinan pertamanya ialah dengan seorang lelaki yang berasal dari keluarga Makhzun dan suami yang kedua pula berasal dari keluarga Tamim.

Khadijah binti Khuwailid mengahwini Nabi Muhammad SAW pada tahun 595 Masihi ketika Nabi Muhammad SAW berusia 25 tahun manakala usia Khadijah pula 40 tahun.

Khadijah bertindak sebagai pemberi semangat kepada Rasulullah ketika Baginda ketakutan saat menerima wahyu pertama, menjadi penyokong yang setia ketika orang lain menafikan kenabian Baginda Rasul, malah sebagai pendokong perjuangan Rasulullah hingga sanggup mengorbankan kekayaan yang ada bagi membantu perjuangan Islam.

Asma' bt Abu Bakar pula ialah puteri kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan kakak kepada Aisyah, isteri Rasulullah SAW selepas Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid.

Asma' diberi gelaran Daztun Nithaqain iaitu wanita yang mempunyai dua tali pinggang.

Ketika Rasulullah SAW dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur di luar kota Makkah, Asma' telah ditugaskan menghantar makanan dan minuman untuk mereka berdua.

Diriwayatkan, Asma' telah mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua bahagian untuk dijadikan tali pengikat bagi mengikat bekalan makanan dan minuman untuk diberikan kepada Rasulullah dan Abu Bakar sambil mengembala kambing.

Muslihat itu tidak berjaya dikesan oleh kafir Quraisy dan ia menjadi bukti kebijaksanaannya mengatur strategi, malah cukup sabar kerana tegar membantu perjuangan Islam ketika sarat hamil.

Asma' binti Abu Bakar berkahwin dengan sahabat Rasulullah, az-Zubir bin al-Awwam dan dikurniakan putera bernama Abdullah bin az-Zubir.

Berdasarkan kisah hidup dua pimpinan wanita Muslimah yang hebat itu, wanita Muslimah kini juga pasti mampu menjadi ketua dan pemimpin yang disegani dan dihormati jika mengaplikasikan hidup yang sama dalam diri.

sumber: Artikel Unggul sebagai ketua wanita oleh Suzana Ghazali, Kosmo! 4 Januari 2013, Kamus Pengetahuan Islam susunan Haji Dusuki Haji Ahmad, Utusan Publications Cetakan Pertama (Edisi Baharu) 2012.

No comments: