Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, June 30, 2014

Bencana Alam Uji kesabaran dan Ketakwaan Ummah


Musibah

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."

Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji dan ujian Allah itu akan berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan,

"Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya."

Ini adalah untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa jua keadaan yang ditempuhinya.

Jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah yang amat berat.

Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa takut akan azab-Nya.

Inilah masanya untuk kita sama-sama belajar dari setiap musibah dan bencana yang berlaku.

Yakinlah bahawa takdir Allah ini mengandungi banyak hikmah dan kebaikan.

Pada waktu-waktu beginilah kita boleh merasakan suburnya kasih sayang, mekarnya nilai kemanusiaan, masyarakat saling bantu-membantu dengan bekerjasama sama ada dari pihak mangsa, agensi kerajaan mahupun NGO.

Namun apa yang menyedihkan, ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan dan memanipulasi fakta yang berlaku sehingga memburukkan pihak-pihak yang lain demi peribadi mereka.


Bencana

Dalam al-Quran, Allah Azzawajalla menceritakan banyak tamadun manusia dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam.

Antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir besar, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan selama tujuh hari tujuh malam.

Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka.

Dalam surah al-Ankabut ayat 40 Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."

Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pengajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan ketidakpatuhan kita kepada perintah Allah SWT akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah.

Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai pengajaran yang tersendiri.

Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya.

Sedangkan bagi mereka yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.

Dengan bencana juga, Allah hendak menunjukkan kepada manusia siapa yang beriman atau sebaliknya.

Bencana yang menimpa kepada semua manusia tidak kira sama ada baik atau pun jahat.

Apa yang penting adalah bagaimana keadaan kita menghadapi bencana tersebut dan bagaimana tahap kesabaran dan keredhaannya dalam menerima bencana tersebut menentukan darjatnya di sisi Allah SWT.

Jadi reaksi seseorang yang ditimpa bencana akan menentukan nilainya di sisi Allah.

Justeru itu pastilah berbeza reaksi atau tindakbalas, sikap, perbuatan dan perkataan seseorang yang hampir dengan Allah berbanding seseorang yang memang jauh dari Allah.

Sememangnya kita tidak boleh mengelak dari bencana yang ditakdirkan kepada kita, tetapi kita boleh menerima musibah serta mengubahnya menjadi hikmah dari sudut positif dan kebaikan.


Keseimbangan

Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia dalam melaksanakan tanggungjawab di dunia.

Demi mengejar sesuatu sistem ekologi dan keseimbangan alam dimusnahkan.

Kita dapat melihat bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana.

Akibatnya keseimbangan alam semesta tergugat.

Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam.

Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan.

Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali.

Oleh yang demikian, pastikanlah kita sentiasa peka, memerhati dan menjaga segala apa yang berlaku di sekeliling kita, aktiviti-aktiviti yang diragui seperti pembalakan haram, pengambilan pasir sungai dan lain-lain perlu dilaporkan kepada pihak berwajib, maka jadilah kita warganegara yang bertanggungjawab dan prihatin untuk bersama-sama mempertahankan kemakmuran, kebaikan dan keharmonian negara yang kita cintai.


Ujian

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka dapatlah disimpulkan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya dengan pelbagai musibah.

Oleh itu, bagi mereka yang berjaya menempuhinya dengan penuh kesabaran dan ketakwaan, akan dianugerah balasan oleh Allah SWT dengan pahala.

Ingatlah bahawa hamba yang beriman ialah mereka yang redha dengan setiap ketentuan Ilahi.

Apabila diduga dengan sesuatu perkara maka dicari apakah hikmah Ilahi di sebalik ujian itu.

Tidak mudah melatah dengan ujian kesedihan malah tidak mudah mendabik dada dengan ujian kesenangan di dunia.

Malah setiap ujian mampu mempertingkatkan keimanan dan keyakinan kepada ke-Esaan Allah SWT. Inilah sifat mukmin yang beriman.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya mengagumkan urusan seseorang mukmin itu kerana segala urusan hidupnya itu dirasakan baik darinya. Perkara ini tidak akan berlaku kecuali dalam kehidupan seseorang mukmin. Apabila dia diberikan sesuatu perkara yang menggembirakan, maka dia akan bersyukur kerana dia yakin bahawa itu adalah yang terbaik baginya dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia akan bersabar kerana itu juga adalah yang terbaik untuk hidupnya." - Hadis Riwayat Muslim

Anugerah Allah SWT akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab yang tersiksa.

Setiap ujian Allah itu ada hikmah di sebaliknya. Sesungguhnya bencana dan musibah yang melanda negara ini lebih ringan berbanding dengan umat-umat terdahulu akan tetapi mesejnya tetap sama yakni peringatan, amaran dan sesuatu perlu dibuat ke arah kebaikan.

Dengarlah 'bisikan teguran' Allah ini, jangan sampai pula datang 'jeritan kemurkaan-Nya' iaitu bencana yang lebih besar.

Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 97-98 yang bermaksud:

"Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?"

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: