Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, June 27, 2014

Batuk kokol


Batuk kokol ialah sejenis batuk yang lazimnya menyerang bayi dan kanak-kanak.

Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai whooping cough.

Batuk kokol boleh berjangkit dan membawa maut.

Ia berpunca daripada bakteria bordetella pertussis yang selalunya bermula dengan sindrom selsema biasa yang disertai batuk.

Bayi ataupun kanak-kanak yang diserang batuk kokol akan mengalami batuk teruk hingga sukar bernafas.

Ketika bayi atau kanak-kanak yang diserang batuk kokol menarik nafas, akan terdengar bunyi whoop disebabkan oleh lendiran atau kahak yang menyekat pernafasan ketika menyedut udara.

Keadaan ini berbahaya untuk bayi kerana bayi tidak tahu membuang lendiran atau kahak tersebut dan ia boleh membawa maut.

Adakalanya, selepas kerap batuk, bayi atau kanak-kanak akan muntah dan boleh berlarutan sehingga lebih dua bulan.

Untuk mengelakkan bayi atau kanak-kanak terkena jangkitan kedua selepas batuk kokol, pastikan bayi atau kanak-kanak tersebut mendapat suntikan imun daripada doktor untuk mencegahnya.

Batuk kokol juga sekiranya tidak dirawat boleh menyebabkan bayi dan kanak-kanak mendapat radang paru-paru atau pneumonia.

Sekiranya anda mengesyaki anak anda menghidap batuk kokol, jangan hantar anak anda ke sekolah atau taman asuhan sebelum membawanya mendapatkan rawatan daripada doktor.

Apabila bayi atau kanak-kanak mengalami serangan batuk yang berterusan, dudukkannya dan pegangnya supaya badannya menjengah sedikit ke hadapan.

Letakkan mangkuk atau bekas berdekatan dengan mulutnya untuk memudahkannya muntah dan mengelakkan jangkitan daripada berlaku kepada kanak-kanak lain.

Berikannya sedikit makanan dan minuman selepas muntah untuk mengembalikan semula tenaganya.

Jangan biarkan kanak-kanak tersebut untuk bergerak lebih aktif kerana ia mungkin akan memudaratkan kesihatannya.

Rawatan untuk jangkitan batuk kokol ialah dengan memberikan kanak-kanak yang menghidapnya antibiotik.

Diagnosis batuk kokol sukar dilakukan semasa peringkat permulaan jangkitan.

Jangan berikan bayi atau kanak-kanak sebarang ubat batuk tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

Doktor juga mungkin akan melakukan sapuan tekak untuk membuat diagnosis batuk kokol kerana bayi jarang sekali menghasilkan bunyi whoop.

Doktor juga akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan sekiranya penyakit itu masih teruk dan berterusan, pakar perubatan akan mengesyorkan bayi atau kanak-kanak tersebut dimasukkan ke hospital untuk mengelak berlakunya penyahhidratan.

sumber: Kosmo! 22 Januari 2010

No comments: