Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, May 9, 2014

Iktibar daripada Perang Uhud


Bukit Uhud ialah sebuah bukit yang terletak empat kilometer ke barat laut kota Madinah.

Perang Uhud merupakan peperangan kedua yang berlaku dalam sejarah penyebaran agama Islam.

Peperangan tersebut berlaku dalam bulan Syawal tahun ketiga Hijrah di antara orang Islam Madinah di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW dengan orang Quraisy Mekah di bawah pimpinan Abu Sufyan dan dibantu oleh Khalid bin al-Walid yang ketika itu masih belum memeluk Islam.

Peperangan ini merupakan peperangan balas dendam dan menuntut bela orang Quraisy terhadap orang Islam kerana kekalahan mereka dalam Perang Badar.

Dalam Perang Uhud ini tentera Islam telah menerima kekalahan yang teruk dan 70 orang sahabat Nabi telah gugur syahid termasuk bapa saudara Nabi iaitu Hamzah.

Di Bukit Uhud, 50 orang yang terdiri daripada pasukan memanah telah diperintahkan untuk mengadakan kubu pertahanan di atas bukit dan diperintahkan agar tidak meninggalkan bukit itu dalam keadaan apa sekali pun sama ada kalah atau menang sehingga diberitahu.

Apabila tentera Muslim mula melihat kejayaan mereka, tentera yang bertahan di atas bukit beransur-ansur meninggalkan bukit itu untuk memungut harta tinggalan perang dan menguasai medan kemenangan. Sebaik mereka meninggalkan bukit tersebut, Khalid al-Walid bersama tentera berkudanya serta beberapa pimpinan perang mula menyerang dari belakang iaitu menerusi bukit tersebut. Akhirnya serangan itu memecah-belahkan tentera Muslim dan melemahkan pertahanan mereka.

Ketika itulah muncul pelbagai dakwaan dan propaganda yang turut mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah terkorban. Keadaan itu menyebabkan kebanyakan tentera Muslim menjadi lemah dan tidak bersemangat sehingga berpecah kepada kumpulan yang ingin meneruskan perang dan melarikan diri.

Perang Uhud telah memberi pengajaran berguna yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua iaitu kita hendaklah patuh kepada arahan pemimpin.

Kita juga tidak seharusnya mementingkan soal-soal kebendaan setiap kali terlibat dalam peperangan atau perjuangan.


sumber: Artikel Jangan main-main dua pilihan raya kecil oleh Hassan Mohd Noor, Utusan Malaysia 16 Februari 2009, Haji Dusuki Haji Ahmad, Kamus Pengetahuan Islam Utusan.

No comments: