Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, May 12, 2014

Anoreksia Nervosa


Aneroksia nervosa ialah sindrom takut untuk makan kerana bimbang berat badan akan bertambah.

Penyakit ini melibatkan gangguan psikologi kerana penghidap percaya dirinya telah terlebih berat badan atau takut berat badannya mungkin naik.

Penghidap anoreksia nervosa sanggup menyeksa diri dengan diet yang ekstrem.

Mereka sering menipu atau menyembunyikan daripada orang lain mengenai kuantiti makanan yang diambil.

Menurut Pakar Pemakanan dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa, Prof. Dr. Fatimah Arshad, penghidap anoreksia nervosa kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi.

Golongan ini lebih terdedah kepada pelbagai maklumat mengenai bahaya berat badan berlebihan, tanpa disedari wujud stigma dalam diri mereka bahawa mereka perlu menghindari makanan kerana khuatir berat badan bertambah.

Wanita lebih ramai menghidap anoreksia berbanding lelaki kerana kaum wanita lebih menitikberatkan soal kecantikan dan mereka sentiasa menginginkan bentuk badan yang sempurna.

Namun, mereka tidak sedar bahawa diet yang mereka amalkan kononnya untuk kelihatan langsing itu sebenarnya tidak betul.

Ada antara wanita yang berdiet dengan cara tidak mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak kerana khuatir berat mereka bertambah dengan cepat manakala keluarga dan rakan-rakan sering merungut mengenai berat badan yang berlebihan.

Keadaan itulah yang menyebabkan golongan wanita mengalami masalah kekurangan zat yang seimbang sekali gus mengakibatkan tubuh mereka menjadi terlampau kurus.

Terdapat juga penghidap yang mengambil tindakan drastik iaitu dengan mengambil pil kurus, bersenam secara melampau dan yang lebih teruk lagi, sanggup memuntahkan kembali segala yang dimakan sebelum itu.

Penghidap anoreksia juga mempunyai amalan pemakanan yang pelik contohnya seperti enggan makan di hadapan orang lain serta mempunyai amalan tertentu ketika makan seperti memotong hanya sedikit makanan, mengunyah dan mengeluarkannya kembali tanpa menelannya.

Terdapat beberapa kaedah yang boleh diambil untuk membantu penghidap anoreksia mengatasi masalah itu antaranya seperti mengikuti sesi kaunseling dan mengambil pil suplemen tertentu.

Pendekatan seara psikologi perlu diutamakan kerana penghidap sebenarnya menghadapi masalah dari sudut psikologi.

Penghidap perlu berjumpa pakar psikiatri bagi mendapatkan bantuan untuk menyembuhkan penyakit anoreksia.

Penyelesaian terbaik pagi penghidap anoreksia nervosa ialah mereka sendiri perlu mengubah persepsi terhadap diri sendiri dan yakin bahawa mereka tidak akan gemuk jika mengikuti diet pemakanan yangn seimbang.

sumber: Artikel Jangan jadi mangsa anoreksia oleh Nor Syariza Muhd. Tahir, Kosmo! 16 Disember 2012.



No comments: