Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, March 25, 2014

Bahaya ajaran sesat


Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sehingga tahun 2008 terdapat sebanyak 55 jenis ajaran sesat telah diwartakan haram di Malaysia.

Dengan kerjasama Polis diRaja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Keselamatan Negeri (MKN), orang awam dan beberapa agensi kerajaan yang lain, maka Jabatan Agama Islam berjaya mengawal perkembangan aajaran sesat.

Usaha berterusan masih dilakukan untuk menyelamatkan akidah ummah dan menjamin keselamatan negara. Tindakan penyebar dan pengikut ajaran sesat ini sangat membimbangkan dan mendatangkan kesan yang sangat buruk.

Persoalan besar timbul ialah mengapa umat Islam masih keliru dengan ajaran Islam dan ajaran sesat itu?

Tidak lain ialah kerana mereka terlalu mengikut kehendak hawa nafsu supaya segala hajat diperolehi dengan jalan yang lebih mudah.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fatihah ayat 7 yang bermaksud:

"Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat."

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menjelaskan tentang ciri-ciri orang yang sesat iaitu mereka yang tidak betul kepercayaannya atau amal ibadahnya rosak akhlaknya.

Ini bermakna sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam tetapi berlawanan dengan akidah dan syariah Islam adalah dihukumkan sesat.

Fahaman atau ajaran itu dikatakan sesat apabila ia memenuhi salah satu dari sepuluh ciri-ciri yang hanya boleh diputuskan oleh pakar agama atau Jawatankuasa Fatwa bagi menentukan suatu ajaran itu sesat dan menyesatkan atau tidak.

Ciri-ciri tersebut ialah:
  1. Mengingkari rukun iman dan rukun Islam.
  2. Meyakini atau mengikuti akidah yang tidak sesuai dengan syarak.
  3. Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran.
  4. Mengingkari kandungan atau kebenaran al-Quran.
  5. Melakukan pentafsiran al-Quran tanpa kaedah yang tepat.
  6. Mengingkari kedudukan hadis Nabi sebagai sumber ajaran Islam.
  7. Memperlekeh atau merendahkan para Nabi dan Rasul.
  8. Mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul terakhir.
  9. Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak.
  10. Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syarie.

Berdasarkan sepuluh ciri-ciri di atas, ajaran sesat ini akan terus berkembang dengan adanya faktor-faktor pendukung seperti berikut:

1. Perbalahan terbuka di kalangan ahli agama.
Organisasi Islam sama ada kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), perlu menerima bahawa usaha dakwah dalam membina akidah umat Islam masih perlu diperbaiki lagi. Jangan kita bersikap mementingkan diri sehingga berpecah-belah dalam mencapai matlamat atau agenda sendiri. Kita perlu bersatu padu kerana realitinya umat Islam masih ketandusan iman. Sekarang bukan masanya untuk bercakaran sesama sendiri tetapi masa untuk menggandakan usaha dakwah dan memantapkan akidah supaya Islam menjadi agama diyakini oleh penganut agama lain.

2. Kelemahan penguatkuasaan undang-undang.
Ajaran sesat adalah satu ancaman besar dalam negara. Justeru, jika disabitkan bersalah undang-undang yang tegas perlu diambil. Jangan sekadar tangkap tetapi ajarannya masih bebas kerana kesesatan akidah bukan sekadar jenayah dan kejahatan, ia juga boleh menjadi penyebab kes bunuh diri. Pihak penguatkuasa dan undang-undang perlu tegas, agar tidak timbul alasan tidak tahu, tiada kuasa dan sebagainya dalam menangani ajaran sesat.

3. Wujud pembela ajaran sesat.
Perkembangan ajaran sesat ini diburukkan lagi dengan kelompok liberal yang taklid secara membuta-tuli dengan pelbagai alasan. Mereka sering menggunakan isu kebebasan beragama dan kebebasan mentafsirkan ajaran agama sesuka hati. Di sebalik kebijaksanaan akal yang cetek iman, mereka menghina Islam.

Marilah kita sama-sama memelihara pegangan akidah kita dengan langkah-langkah berikut:
  1. Memantapkan kefahaman agama Islam secara istiqamah dari sumber yang benar dan tepat.
  2. Memberi maklumat kepada pihak berkuasa.
  3. Mendidik anak dan beramal dengan ilmu syariat yang sahih.
  4. Merujuk kepada Jabatan Agama Islam untuk memastikan guru dan ajaran yang diajar terutama ajaran Tariqat/Tasawwuf tidak bercanggah dengan Islam.
  5. Menguatkuasa undang-undang dengan tegas hingga ke akar umbi.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 9 yang bermaksud:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: