Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, December 26, 2013

Peranan pengguna memperkasa ekonomi


Secara umumnya, penciptaan alam ini adalah bertujuan untuk manusia bekerja dan mencari rezeki.

Namun, perlu diingat bahawa menggunakan alam sebagai tempat mencari rezeki dan kemudahan hidup adalah tidak mutlak, bahkan kita sebagai umat Islam perlu menyedari beberapa perkara antaranya ialah:
  1. Manusia hanya sekadar wakil yang mengurus isi alam, pemilikan hanya bersifat sementara.
  2. Harta kekayaan adalah wasilah untuk melakukan kebajikan dan ianya bukanlah matlamat kehidupan.
  3. Harta yang dikurniakan bukannya untuk dibangga-banggakan tetapi ianya perlu diedar dalam kitaran manusia bagi memastikan kemakmuran sesebuah negara.
  4. Manusia akan pasti dipersoalkan di akhirat atas apa yang mereka gunakan dan belanjakan di dunia ini.

Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa penghalang antara manusia dengan Tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki, di mana tidak sempurna urusannya dengan Allah SWT disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki.

Antara cabang rezeki yang dianjurkan oleh Islam ialah dengan berniaga. Perniagaan sangat berkaitan dengan kehidupan manusia dan merupakan sebahagian usaha dakwah sekiranya dilaksanakan dengan ikhlas, jujur dan menepati etika Islam.

Rasulullah SAW pernah berpesan di dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Abi Said RA yang bermaksud:

"Peniaga yang benar dan amanah akan bersama dengan nabi, golongan yang benar dan golongan mati syahid."

Dalam mencari rezeki, Islam mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi, penipuan dan penindasan sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah al-Mutaffifin ayat 1 - 5 yang bermaksud:

"Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya)."

Dalam konteks ilmu ekonomi, urusan perniagaan menentukan hubungan antara peniaga dan pengguna.


Pengguna merujuk kepada setiap orang yang mendapatkan barangan mahupun perkhidmatan sama ada untuk dirinya atau keluarganya.

Berdasarkan kepada prinsip Islam telah menetapkan kaedah dan cara bagi mempastikan kita sebagai pengguna dapat dilindungi.

Antara perkara yang dititikberatkan oleh agama kita ialah meyakini bahawa pengawasan Allah SWT dalam setiap gerak geri di dalam melaksanakan urusan jual beli dan merasa takut terhadap azab-Nya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfaal ayat 27 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."

Berdasarkan kepada ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT telah memberi peringatan barangsiapa yang takutkan Allah SWT dengan berusaha dalam pekerjaannya dengan apa yang diredhai-Nya, maka ia beroleh kebaikan di sisi Allah dan barangsiapa yang mengkhianati amanah, menipu, berbohong, mengurangi timbangan dan sukatan dan sebagainya, maka ianya akan menerima azab yang berat.

Bayangkan jika beginilah penglibatan kita, maka pasti rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram.


Sesungguhnya perbuatan ini akan mengundang kemurkaan Allah SWT sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:

"Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang selayaknya." - Hadis riwayat at-Tarmizi

Sebagai pengguna kita juga perlulah bijak dan berhati-hati di dalam membuat pilihan barangan dan perkhidmatan.

Kita hendaklah bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, halal dan berkualiti.

Sikap berhati-hati, prihatin dan berhemah dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan nescaya memberi manfaat yang baik terjaminlah kehidupan kita.

Tindakan bijak pengguna akan dapat menjaga pengguna daripada kerakusan peniaga dan cengkaman mereka demi memenuhi keinginan yang tidak terbatas.


Para pengusaha dan peniaga juga dinasihatkan supaya sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik kerana setiap apa yang dilakukan, perkhidmatan yang disediakan akan dinilai oleh Allah SWT.

Muhasabahlah, saban hari dari pagi sampai ke malam berapa banyakkah produk umat Islam dengan barangan halal yang termasuk dalam senarai perbelanjaan kita?

Berapa ramaikah antara kita yang menjadikan peroduk umat Islam dan barangan halal sebagai pilihan yang paling utama?

Kelemahan dalam bidang ekonomi boleh menjadi faktor yang membuat sesuatu bangsa itu makin lemah, mudah ditindas dan sering dimanipulasi.

Gunakanlah kuasa membeli kita sebagai kekuatan dan ibadah untuk menyumbang ke arah pengukuhan dan jihad ekonomi umat Islam.


Ekonomi umat Islam pasti lebih kukuh dan terjaminnya survival ummah jika semua pengguna menyokong dan mengutamakan produk umat Islam terutamanya yang halal serta menjadikan ia sebagai kriteria utama dalam setiap perbelanjaan.

Sebagai pengguna yang sedar akan haknya, kita juga perlu prihatin dan mengambil berat tentang sumber yang halal dan memilih permis serta makanan yang halal kerana ia akan mempengaruhi kehidupan dan tingkah laku kita.

Mengikut laporan bahagian Hab Halal JAKIM sehingga Jun 2013 hanya 10,543 produk dan 1,657 premis yang telah disahkan halal oleh JAKIM.

Adalah dibimbangi jika sumber rezeki dan makanan yang dimakan tidak halal kerana ia akan bertukar menjadi darah daging yang menyebabkan kita keras hati, malas beribadat, sukar menerima kebenaran, sukakan maksiat dan sebagainya. Kita juga akan menerima padah azab seksa daripada Allah SWT.

Sebagai umat Islam kita perlu mengambil berat tentang jaminan keselamatan dan kesihatan dengan menghindarkan diri dari memilih makanan dan minuman yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri atau dengan kata lain boleh membawa kepada penyakit.


Jadilah pengguna dan peniaga yang bertakwa serta bijak iaitu tidak mementingkan keuntungan dunia semata-mata bahkan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT di akhirat.

Perlindungan hak pengguna merupakan satu tuntutan syarak yang sekian lama telah dibicarakan oleh cendikiawan Islam.

Tanggungjawab ini perlulah diambil berat oleh semua pihak bagi memastikan hak-hak pengguna sentiasa terjaga dan terpelihara kerana di era globalisasi ini pelbagai ragam dan cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi melemahkan umat Islam.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 29 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: