Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 1, 2013

Tanggungjawab mempertahankan negara


Berdasarkan kepada sejarah, negara kita telah berdepan dengan beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman pengganas komunis semasa darurat dan kemunculan beberapa kumpulan militan seperti kumpulan Nasir Ismail, al-Maunah dan lain-lain lagi.

Kesemua ancaman tersebut menuntut berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa.

Alhamdulillah, semua ancaman keselamatan itu telah berjaya diatasi oleh pihak pemerintah dan pasukan keselamatan negara hasil perancangan yang tepat dan strategik demi mempertahankan maruah negara.

Berdasarkan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa mempertahankan negara adalah fardhu kepada setiap orang Islam manakala menderhaka dan mengkhianati negara merupakan satu dosa besar.

Pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara termasuklah cubaan menjatuhkan negara dengan bersekongkol bersama pihak musuh.

Menurut pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah bahawa:

"Mempertahankan negara adalah wajib keatas setiap muslim."

Hukum ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab-kitab fiqh bahawa ianya sama ada fardhu kifayah atau fardhu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman yang dihadapi oleh sesebuah negara itu.

Prof. Dr. Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh al-Siasah menjelaskan bahawa:

Mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak peranda seterusnya mengundang kepada mudharat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

Dalam menangani pelbagai ancaman yang dihadapi oleh negara, pendekatan yang bersepadu wajar dilaksanakan antaranya ialah dengan perlunya kesedaran semua pihak bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan adalah tanggungjawab bersama.


Perlu difahami bahawa ruang lingkup ancaman keselamatan negara amat luas dan musuh wujud di mana-mana.

Justeru, tidak mungkin tanggungjawab ini berada di kalangan anggota-anggota pertahanan dan keselamatan sahaja tanpa didokong oleh setiap individu yang bergelar sebagai rakyat di negara ini.

Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad kita di jalan Allah SWT.

Inilah masanya, semua umat Islam dalam negara mesti bersatu demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama berdasarkan segala kemampuan yang ada dan wajib menolak sebarang usaha dari mana-mana pihak yang cuba menghancurkan keamanan negara ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anaam ayat 82 yang bermaksud:

"Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk."

Agama Islam mengutuk peperangan kerana ianya melibatkan pembunuhan sesama manusia dan dijadikan sebagai alat oleh pengacau, pengkhianat atau penjajah untuk merampas sesebuah negara, merampas kekayaan negara atau memperluaskan wilayah.


Namun, Islam juga mengharuskan umatnya untuk menjadikan peperangan sebagai satu cara untuk mempertahankan diri demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara sekiranya diancam dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 39 yang bermaksud:

"Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka."

Peperangan di jalan Allah itu ialah peperangan mempertahankan agama, bangsa dan negara dari sebarang pencerobohan musuh. Kerana itu mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika mereka mati pun dianggap mati syahid kerana mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Muaz bin Jabal meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

"Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang bermohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sedera darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’ faran dan baunya bagaikan kasturi." - Hadis Riwayat Abu Daud.

Negara Malaysia adalah tanah air kita yang perlu dipertahankan. Di sinilah tempat kita membiakkan keturunan, membesarkan generasi Islam, menyuburkan syiar Islam dan menjaga kemaslahatan ummah yang kita warisi daripada asal usul keluarga Islam kita.


Oleh itu marilah kita berusaha mempertahankan kedaulatan negara yang telah dirintis oleh perjuangan datuk nenek kita selama ini.

Usahlah menggadaikan masa depan negara ini dan terpengaruh dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Janganlah terjebak dan terikut-ikut dengan mereka yang tidak menyedari asal usul serta tidak memahami adat istiadat latar belakang penduduk dan agama di negara ini dan mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu demi kepentingan peribadi dan politik mereka.

Hayatilah semangat perjuangan pahlawan yang terdahulu seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut sehinggalah perwira yang terkorban di Lahad Datu baru-baru ini sebagai pembakar semangat agar kita sentiasa bersedia untuk berjuang dan berkorban demi mempertahankan negara dan agama tercinta.

Marilah kita bersama-sama berusaha mempertahankan setiap inci tanah air kita ini dari dicerobohi mereka yang tidak bertanggungjawab.


Marilah kita berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, menjauhi perpecahan dan mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan.

Hanya dengan bersatu kita akan menjadi kuat dan mampu mengalahkan pihak musuh.

Sedarlah, permusuhan sesama sendiri pasti merugikan dan melemahkan kita.

Marilah sama-sama kita perkukuhkan cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah, syariat Allah dan memperbanyakkan amal soleh supaya kita terus berjuang di jalan Allah dan dimasukkan golongan yang berjuang fi-sabilillah.

Merujuk kepada pendirian Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada 6 Mac 2013, anggota keselamatan beragama Islam yang terkorban dalam isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah adalah tergolong di dalam Syahid Akhirat kerana terkorban dalam mempertahankan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 160 yang bermaksud:

"Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri."

Sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: