Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, October 25, 2013

Lelaki sebagai ketua keluarga


Oleh Suzana Ghazali

Dalam kepesatan pembangunan negara tatkala wanita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki, ada pendapat mengatakan carta organisasi sebuah rumah tangga tidak memerlukan si suami lagi sebagai ketua.

Alasan yang diberikan kerana rata-rata para isteri hari ini bekerja dan mampu membiayai diri sendiri. Malah, ada kes, suami pula dibiayai sebahagian keperluannya oleh si isteri. Lantaran itu, masih sesuaikah si suami menjadi ketua keluarga?

Jawapannya ialah ya, si suami masih dan tetap sesuai menjadi ketua keluarga hingga ke akhirat.

Tidak kiralah suami itu mempunyai latar belakang pendidikan dan pendapatan lebih rendah atau pekerja bawahan kepada isterinya, dia tetap menjadi ketua keluarga.

Suami wajib dihormati, ditaati dan si isteri perlu meminta izinnya untuk melakukan apa juga tindakan dalam kehidupan harian kecuali perkara berkaitan kewajipan melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya.

Perintah Allah dan Rasul

Dalam satu firman Allah yang bermaksud:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita." - Surah an-Nisa ayat 34.

Di dalam satu hadis yang lain pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya." - Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Hakim.

Dua dalil tersebut adalah antara beberapa dalil yang menunjukkan dan membuktikan keperluan seorang isteri mentaati suaminya selagi tidak melanggar hukum dan kehendak syarak.

Setiap perkara yang ditetapkan Allah mempunyai alasan tersendiri. Begitu juga pemilihan lelaki sebagai ketua keluarga dalam sebuah rumah tangga.

Penyumbang nafkah keluarga

Suami mempunyai tanggungjawab utama iaitu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Zaman sekarang sudah ramai isteri yang bekerja dan menanggung diri sendiri, malah ramai juga yang menanggung suami.

Saya akui kebenaran tersebut, namun hukum asal tetap mengatakan suami yang wajib memberikan nafkah.

Jika berbeza daripada ketetapan asal, anda diberikan jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Paling utama, syariat menetapkan suami wajib membiayai keperluan keluarga mengikut kemampuannya selepas berusaha tahap maksimum.

Firman Allah yang bermaksud:

"Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." - Surah al-Talaq ayat 7

Mendidik ke jalan diredai Allah

Suami juga berperanan dan bertanggungjawab memastikan setiap ahli keluarga berada di landasan betul sesuai dengan firman Allah bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada Allah dalam setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." - Surah at-Tahrim ayat 6.

Perintah Allah tersebut meletakkan peranan dan tugas berat suami sebagai ketua keluarga.

Suami yang gagal menjalankan peranan dan tanggungjawab itu, bukan saja membawa ahli keluarganya ke jalan yang tidak diredai Allah, malah dirinya turut terjebak sama.

Kenapa? Ini kerana suami yang gagal mendidik isteri dan anak-anak melaksanakan setiap perintah dan meninggalkan setiap larangan Allah dan Rasul-Nya, akan turut sama menerima dosa yang dibuat oleh mereka.

Jika isteri dan anak-anak tidak menutup aurat seperti kehendak syarak, dosa mendedahkan aurat itu turut ditanggung oleh suami.

Tidak cukup dengan dosa sendiri, kaum lelaki berstatus suami dan ayah turut membawa dosa isteri dan anak-anak mereka ke akhirat.

Lantaran itu, status sebagai ketua keluarga bukan satu kemegahan sebaliknya satu tanggungjawab dan amanah besar kepada seorang lelaki.

*Penulis ialah Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.

Dicuplik daripada akhbar Kosmo! bertarikh 12 April 2013

No comments: