Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, September 12, 2013

Tokoh Ilmuan Islam

1. Jabir Ibnu Hayyan, Bapa Kimia Moden (722-804).

Nama penuhnya Abu Musa Jabir ibn Hayyan al-Barqi al-Azdi. Dikenali sebagai Geber di dunia Barat. Gelaran lain bagi Jabir ibn Hayyan ialah al-Harrani dan al-Sufi. Beliau dilahirkan pada tahun 722 Masihi di Parsi. Beliau pernah mengarang buku berjudul Kitab al-Kimya. Kitab al-Kimya telah diterjemahkan oleh Robert of Chester (Robertus Castrensis) ke bahasa Inggeris pada tahun 1144 dengan judul The Book of the Composition of Alchemy. Jabir ibn Hayyan juga telah menemukan zat galian dan asid lain yang disediakan bagi ciptaannya yang diberi nama al-anbiq. Al-Anbiq ialah ciptaannya yang menjadikan proses penyulingan lebih mudah serta bersistematik.


2. Al-Khawarizmi, Ahli Matematik, Astronomi dan Geografi (780-850)

Nama penuhnya Abū ʿAbdallāh Muḥammad ibn Mūsā al-Khwārizmī, di kalangan cendikiawan Barat beliau dikenali sebagai Algoritmi atau Algaurizin. Dilahirkan pada tahun 780 Masihi. Digelar al-Khawarizmi sempena tempat kelahirannya di Khawarizm yang terletak di selatan Laut Aral berhampiran Kazakhstan dan Uzbekistan. Al-Khawarizmi dikenali sebagai bapa algebra kerana beliaulah orangnya yang memperkenalkan rumusan matematik tersebut. Algebra berasal dari bahasa Arab al-jabr yang membawa maksud gabungan, sambungan atau pelengkap. Al-Khawarizmi juga mengasaskan proses algoritma iaitu suatu proses langkah demi langkah (step by step) dalam pengiraan dan penyelesaian masalah. Proses algoritma terus digunakan sehingga sekarang terutama sekali dalam bidang pengaturcaraan komputer.


3. Al-Kindi, Pakar Matematik (801-873)

Nama penuhnya Abu Yūsuf Yaʻqūb ibn ʼIsḥāq aṣ-Ṣabbāḥ al-Kindī. Dikenali di kalangan cendikiawan Barat sebagai Alkindus. Dilahirkan di Kufa, Iraq sekitar tahun 801 Masihi. Al-Kindi adalah ahli farmasi pertama yang menentukan dan menggunakan dos ubat yang betul untuk kebanyakan ubat-ubatan yang terdapat pada masa itu. Al-Kindi telah menghasilkan sebanyak 241 buah buku dalam pelbagai bidang seperti astronomi, aritmetik, geometri, perubatan, fizik, falsafah, logik, psikologi dan muzik. Karya-karyanya telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Gherard of Cremona seperti Risalah dar Tanjim, Ikhtiyarat al-Ayyam, Ilahyat-e-Aristu, al-Mosiqa, Mad-o-Jazr dan Aduiyah Murakkaba. Seorang pemimpin Barat iaitu Cardano menganggap al-Kindi antara 12 orang pemikir yang terhebat.


4. Al-Zahrawi, Pakar Bedah (940-1013)

Nama penuhnya Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas Al-Zahrawi. Dikenali di kalangan cendikiawan Barat sebagai Abulcasis dan dianggap sebagai Bapa Bedah Moden. Al-Zahrawi telah mengarang sebuah buku berjudul at-Tasrif yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gherard of Cremona dan kemudian ia diterjemahkan pula kepada bahasa Yahudi, Perancis dan Inggeris. Gus de Ghauliac, seorang pakar bedah Perancis telah menjadikan tulisan al-Zahrawi sebagai rujukan.


5. Ibnu Haytham, Bapa Optik Moden (965-1040)

Nama penuhnya Abū ʿAlī al-Ḥasan ibn al-Ḥasan ibn al-Haytham. Dilahirkan di Basra, Iraq pada 1 Julai 965. Dikenali di kalangan cendikiawan Barat sebagai Alhacen atau Alhazen. Antara penemuannya ialah penyebaran cahaya dan warna, pantulan dan ilusi optik. Beliau merupakan tokoh pertama yang menjalankan kajian mengenai penyerakan cahaya kepada warna konstituen. Beliau juga hampir membuat penemuan mengenai teori lensa pembesar yang dibangunkan di Itali tiga abad kemudiannya. Hasil kerjanya telah mempengaruhi Leonardo da Vinci dan Johann Kepler. Roger Bacon, Vitellio dan penulis-penulis optik era pertengahan telah menggunakan Opticae Thesaurus tulisan Ibnu Haytham sebagai asas dan rujukan.


6. Ibnu Sina, Tokoh Perubatan (980-1037)

Nama penuhnya Abū ʿAlī al-Ḥusayn ibn ʿAbd Allāh ibn Sīnā. Dilahirkan pada tahun 980 Masihi di Afshana berhampiran Bukhara, Uzbekistan. Dikenali di kalangan cendikiawan Barat sebagai Avicenna. Beliau mendalami ilmu sastera, geometri, logik, matematik, sains, fiqah dan perubatan. Antara karyanya ialah buku Al-Qanun fi Al-Tibb yang telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593. Buku tersebut kemudian diterjemahkan kepada bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Karya lain beliau ialah al-Adwiyat al-Qalbiyyah (The Remedies of the Heart), sebuah buku perubatan yang ditulis dalam bentuk syair dan puisi. Karyanya yang berjudul Kitab al-Syifa pula berkaitan sains dan falsafah.


7. Ibnu Nafis, Doktor Ulung (1210-1288)

Nama penuhnya Ala-al-din abu Al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi. Dilahirkan pada tahun 1213 di Damsyik, Syria. Ibnu Nafis telah menulis sebuah buku berjudul Al-Shamil fi al-Tibb iaitu sebuah ensiklopedia sebanyak 300 jilid bagaimanapun buku tersebut tidak dapat disiapkan kerana kematian beliau. Bukunya yang lain ialah Mujaz al-Qanun, Kitab al-Mukhtar fi al-Aghdhiya dan Al-Risalah al-Kamiliyyah fil Siera al-Nabawiyyah yang diterjemahkan oleh cendikiawan Barat sebagai Theologus Autodidactus yang dianggap sebagai kisah sains fiksyen yang pertama.


8. Al-Jazari, Bapa Kejuruteraan (1213-1288)

Nama penuhnya Badi'al-Zaman Abū al-'Izz ibn Ismā'īl ibn al-Razāz al-Jazarī. Al-Jazari dikenali sebagai orang Arab yang mahir dalam ilmu kejuruteraan dan robotik. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul Kitáb fí ma'rifat al-hiyal al-handasiyya (Buku Pengetahuan Ilmu Mekanik) dan pernah mencipta sebuah kumpulan muzik robotik.


9. Ibnu Khaldun, Pakar Sejarah dan Sains Sosial Moden (1332-1406)

Nama penuhnya Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun. Dilahirkan pada 27 Mei 1332 di Tunis, Afrika Utara. Terkenal dengan bukunya yang berjudul Muqaddimah yang diterjemahkan oleh cendikiawan Barat sebagai Prolegomenon.

-Kosmo!, wikipedia, estidotmy.

No comments: