Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, September 11, 2013

Kanang Anak Langkau


Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dilahirkan di Julau, Sarawak pada 2 Mac 1945.

Beliau berasal daripada komuniti Dayak (Iban) dan bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Local Authority sebelum melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, penoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.

Beliau menjadi tentera secara kebetulan setelah dipelawa seorang anggota tentera British ketika menghantar 20 orang pemuda yang hendak menghadiri temu duga bagi menyertai Iban Tracker di sebuah sekolah berhampiran kampungnya.

Beliau diserap ke dalam Pasukan Renjer Malaysia setelah Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Pada awal 1962, beliau menyertai Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor sebelum berkhidmat dengan unit 42nd Royal Marine Commandos yang berpangkalan di Johor.

Pada 1963, apabila Presiden Sukarno melancarkan konfrontasi Ganyang Malaysia, beliau antara anggota pasukan pertama dihantar ke Kota Tinggi, Johor untuk menghalang kemasukan tentera Indonesia.

Beliau juga pernah bertugas dengan unit 1st Royal New Zealand Army di Sarawak ketika zaman konfrontasi, kemudian berkhidmat dengan Sarawak Rangers yang akhirnya menjadi kumpulan trackers (penjejak) profesional pertama dalam 1st Ranger Regiment Angkatan Tentera Malaysia.

Pada 19 Februari 1980, Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer diketuai Kapten Johnson Anak Meling dibantu oleh Kanang yang ketika itu berpangkat Sarjan, ditugaskan ke kawasan Tanah Hitam di Perak untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) beberapa hari sebelumnya.

Pada mula operasi itu, Kanang berjaya mengesan jerangkap samar, tetapi digempur musuh sehingga cedera parah di perut dan belakang. Namun dengan semangat waja demi mempertahankan negara, beliau tidak menyerah kalah, sebaliknya terus bersabung nyawa melawan musuh.

Kanang tidak sedarkan diri selama seminggu dan terlantar di hospital selama 14 bulan akibat ditembak sebanyak tiga kali dan hampir menemui ajal selepas peluru mengenai jantung, merosakkan satu buah pinggang selain usus terburai.

Mengenang jasanya membunuh musuh tanpa menghiraukan kecederaannya, Kanang dianugerahkan Pingat SP pada 3 Jun 1981 manakala pingat PGB pada 7 Jun 1987.

Kanang meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda dan pada 1 Mei 1981, beliau dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuartermaster Sarjan.

Pada 1 Oktober 1980, dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985.

Kanang bersara pada 30 Mei 1986 selepas berkhidmat selama 21 tahun.

Setelah bersara, beliau aktif memberikan ceramah kenegaraan di seluruh negara selain menjadi petani manakala isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Kanang Anak Langkau dilantik sebagai Temenggong Bahagian Sri Aman pada tahun 2009.

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau kemudian terlibat dengan operasi yang dikenali sebagai Ops Malai Pulai (Ops Bawa Balik).

Ops Malai Pulai ialah operasi untuk membawa balik ke Sarawak rangka 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung Malaysia dan Singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963.

Rangka-rangka anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers tersebut dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuching, Sarawak pada 27 Julai 2011.

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau terkenal dengan moto Agi idup agi ngelaban (Berjuang selagi masih hidup).

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau meninggal dunia pada 3 Januari 2013 di Hospital Umum Sarawak pada pukul 1.45 pagi akibat serangan jantung.

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau disemadikan dengan penuh penghormatan negara di Makam Pahlawan, Kuching, Sarawak.

sumber: Kosmo!

No comments: