Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 30, 2013

Ramadan bulan perjuangan


Kehidupan umat Islam tidak dapat lari daripada perjuangan untuk menegakkan syiar Islam dan kehidupan yang diredai justeru, bulan Ramadan yang kita lalui merupakan medan pertempuran dalam mendidik dan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengharap keampunannya.

Mereka yang berjuang sepanjang bulan yang mulia ini dianggap berperang di jalan Allah dan dijanjikan oleh Allah SWT untuk mendapat ganjarannya.

Firman Allah SWT di dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud:

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Berdasarkan kepada sirah Rasulullah SAW mengajak kita untuk meninggalkan suatu peperangan, suatu perjuangan atau suatu jihad yang kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu.

Menurut Saidina Ali RA bahawa:

"Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran."

Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi amatlah sukar kerana ianya berada di dalam tubuh badan dan hati kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh badan kita serta ianya dipengaruhi oleh syaitan laknatullah.

Namun, berdasarkan hadis dan jaminan oleh Rasulullah SAW bahawa pada bulan Ramadan yang mulia inilah segala musuh manusia telah dirantai oleh Allah SWT dan kita sebagai umat Islam diberi peluang seluas-luasnya untuk beribadah kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Menurut pendapat Imam Nawawi RA bahawa proses perantaian syaitan di dalam bulan Ramadan hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa kerana puasa yang dilakukan akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini.

Seluruh kemaksiatan berpunca disebabkan mendahulukan hawa nafsu daripada kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Nafsu jahat dan liar akan menjurus manusia ke arah kehinaan dan kerosakan sama ada di dunia ataupun akhirat.

Jika kita tidak mengikis dan membuangnya pastinya ia semakin menebal dan sebati dengan kehidupan.

Untuk membuangnya perlulah diperangi habis-habisan serta memerlukan kekuatan pada diri seseorang.

Justeru, sebagai seorang Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadan.

Puasa adalah ibadah yang berjuang secara senyap melawan hawa nafsu.


Perjuangan ini juga adalah rahsia antara seseorang hamba dengan Tuhannya kerana segala amalan puasa tidak dapat dinilai oleh orang lain.

Ketika berpuasa kita menahan diri dari keinginan hawa nafsu seperti makan dan minum, hubungan seks dan segala sifat yang boleh membatalkan dan mengurangkan ibadah puasa.

Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadan memberi tumpuan latih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman, mendisiplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah penyakit.

Tubuh badan kita diibaratkan seperti bekas yang kosong. Jika kita tidak memenuhi bekas itu dengan amal soleh maka ianya akan dipenuhi nafsu syaitan yang akan menguasai diri kita dan mendorong kita melupai Allah SWT.

Oleh sebab itu terdapat dua penanda aras atau pengukuran nilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadan kita semata-mata menahan lapar atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek pembersihan jiwa dan akhlak kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - Hadis Riwayat Bukhari.

Bermuhasabahlah sebagai seorang insan yang lemah kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian.

Kita tidak boleh menafikan kita ada melakukan pelbagai dosa, maka dalam bulan yang mulia ini ambillah kesempatan untuk menyempitkan ruang hawa nafsu serta bermuhasabah dan bertaubat agar segala tindakan kita selama ini tidak lagi dinaungi oleh nafsu yang boleh menjerumus ke lembah yang hina.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Semua anak adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat." - Hadis Riwayat Ahmad

Bulan Ramadan yang mulia tidak menghalang umatnya untuk berjuang di jalan Allah. Sejarah telah membuktikan bulan suci ini penuh dengan kemenangan yang besar yang mampu diraih, bukannya bulan untuk malas dan lemah tetapi bulan untuk berjihad dan kemenangan.

Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadan merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan musuh.

Begitu juga dengan peristiwa fathul Makkah yang mana Rasulullah keluar dari Madinah pada 10 Ramadan untuk menakluki Mekah tanpa pertumpahan darah.

Kemenangan umat Islam dalam Perang Tabuk menjadi medan terakhir yang diikuti oleh Rasulullah SAW yang berakhir dengan kemenangan umat Islam pada 8 Ramadan tahun 9 Hijrah.

Imej Tariq bin Ziyad pada matawang United Kingdom untuk wilayah Gibraltar yang bernilai £5

Peristiwa pembebasan Sepanyol yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad juga berlaku dalam bulan Ramadan. Pada peperangan ini, Tariq bin Ziyad telah membakar kapal-kapal mereka sebelum bertempur dengan Raja Frederick dan berkata:

"Sesungguhnya syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan di belakang kita terbentang laut, kamu semua ada dua pilihan, apakah mati tenggelam atau mati syahid." Tujuannya berbuat demikian adalah untuk menambah semangat pasukannya.

Perjuangan para pahlawan kita bukan sekadar bingkisan sejarah semata-mata tetapi sebagai inspirasi dan dorongan yang kuat untuk kita lebih bersungguh-sungguh, lebih bersemangat untuk menghadapi apa jua cabaran yang akan datang.

Perjuangan yang paling besar ialah jihad di medan perang dan perjuangan bagi memerangi hawa nafsu sendiri.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya."

Ayat ini memberikan pengajaran sekaligus perintah agar umat Islam sentiasa bersiap sedia dengan kekuatan dalam apa jua keadaan bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dari mereka yang bernama musuh.

Tanpa kekuatan masakan pejuang dan pahlawan silam mampu meraih kejayaan dan kemenangan.

Tuntutan ayat 60 surah al-Anfal ini dimengertikan oleh Pahlawan Negara seiring hadis Qudsi yang bermaksud:

"mana-mana hambaku yang menunaikan jihad pada jalanKu kerana mengharap dan mencari keredhaanKu, Aku jamin untuk mengembalikannya (jika Aku kembalikannya) dengan segala apa yang didapatinya berupa pahala atau harta rampasan. dan jika Aku mematikannya, dia akan Aku ampuni, Ku berikan rahmah dan akan Ku masukkan ke dalam syurga."

Renungi juga firman Allah SWT dalam surah Faatir ayat 10 yang bermaksud:

"Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa"

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: