Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 18, 2013

Bolehkah vegetarian dapat semua nutrien yang diperlukan?


Berdasarkan Piramid Makanan Malaysia, diet yang pelbagai dan seimbang harus merangkumi sumber makanan daripada semua kumpulan makanan. Namun begitu, dalam kes-kes tertentu, terdapat keluarga yang mengamalkan diet vegetarian kerana mengikuti agama atau budaya.

Diet vegetarian dapat membekalkan nutrien yang diperlukan jika mereka mengambil pelbagai jenis makanan yang betul dalam jumlah yang betul.

Diet vegetarian biasanya terbahagi kepada tiga kategori iaitu:
  1. Vegetarian lakto-ovo yang mengambil telur, produk tenusu dan sumber tumbuhan.
  2. Vegetarian lakto yang mengambil produk tenusu dan hasil tumbuh-tumbuhan.
  3. Vegetarian vegans yang hanya mengambil makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan.

Ketiga-tiga kategori vegetarian tersebut boleh mengamalkan pemakanan yang baik. Untuk mencapai matlamat ini, adalah penting untuk anda mengambil gabungan makanan daripada setiap jenis kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.

Kanak-kanak yang mengamalkan diet vegan dimana mereka hanya mengambil makanan daripada hasil tumbuh-tumbuhan mungkin kekurangan sesetengah nutrien.

Walau bagaimanapun, ini boleh ditangani dengan nasihat yang sesuai daripada pakar pemakanan atau pakar diet dan doktor.

Berikut adalah masalah-masalah kekurangan nutrien yang mungkin berlaku dan boleh dielakkan:
  • Kekurangan pengambilan zat besi.
  • Kekurangan kalsium dan vitamin D jika susu dan produk tenusu dikecualikan daripada diet mereka.
  • Kekurangan vitamin B12, zink.
  • Kekurangan sumber protein yang berkualiti.

Mereka yang mengamalkan diet vegetarian perlu mengambil perhatian terhadap diet mereka untuk memastikan semua nutrien yang diperlukan didapati daripada makanan mereka.

Contohnya, mereka harus mengambil makanan gabungan daripada produk bijirin (misalnya gandum, nasi) dan kekacang (misalnya kacang dal, kacang lentil, kacang soya, snow peas) untuk mendapatkan protein yang mencukupi dalam diet mereka.

Terdapat juga makanan yang telah diperkayakan dengan vitamin dan mineral (contoh produk bijirin, jus buah-buahan) yang boleh memenuhi keperluan mikronutrien seperti vitamin B12 dan D, kalsium dan zat besi.

Diet vegans yang mempunyai pilihan makanan yang terhad mungkin memerlukan satu pelan diet yang khas.

Jika pengambilan makanan terlalu terhad, dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan atau pakar diet berkenaan dengan keperluan suplemen.

sumber: Tip Gaya Hidup Sihat, Panduan Pemakanan Praktikal Untuk Keluarga, Bulan Pemakanan Malaysia diterbitkan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, 1Klassifieds Berita Harian.

No comments: