Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, May 3, 2013

Pendingin hawa kenderaan kotor undang penyakit


Mengapa pendingin hawa kenderaan perlu diselenggarakan?

Pendingin hawa kenderaan juga sebenarnya perlu menjalani proses penyelenggaraan mengikut jadual berdasarkan spesifikasi kenderaan yang telah pun ditetapkan oleh pengilang sebagaimana kebiasaan yang dilakukan pada enjin serta komponen kenderaan yang lain.

Tindakan itu bertujuan untuk memastikan keselesaan dan kesihatan pemandu serta penumpang selain menjamin kesempurnaannya beroperasi dengan baik dan lancar tanpa mendatangkan sebarang masalah kepada pemilik kenderaan.

Pendingin hawa kenderaan yang kotor akan menghasilkan habuk serta bakteria tidak sihat dan keadaan ini akan mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan pemandu dan penumpang terutamanya golongan yang menghidap penyakit asma serta kanak-kanak dan warga tua.

Penyedutan udara berhabuk yang mengandungi pelbagai jenis bakteria ini turut memberi kesan kepada mereka yang sensitif atau mempunyai alahan dan keadaan ini mampu mengakibatkan kerengasangan pada kulit muda.

Selain itu, berada terlalu lama di dalam kenderaan yang kotor disebabkan penyebaran habuk melalui sistem pendingin hawa ini juga dapat mengundang penyakit seperti selsema terutamanya di kalangan penyakit resdung.

Bagaimana ia terjadi?

Ketika ia kotor dan berhabuk itu melalui celah-celah gelung penyejukan, kotoran terbabit akan terlekat pada permukaan dinding serta liang gelung penyejuk berdasarkan pada permukaan gelung berkenaan yang berada dalam keadaan lembap disebabkan aktiviti gas pendingin hawa di dalamnya.

Kotoran yang terlekat pada dinding dan liang gelung penyejukan itu, lama-kelamaan menyebabkan hakisan pada komponen terbabit dan fenomena ini mampu menjadi punca kebocoran gas pada sistem pendingin hawa dalam kenderaan.

Sehubungan itu, penyelenggaraan sistem pendingin hawa mengikut jadual dan menepati nasihat pengeluar adalah sangat penting dalam memastikan keselesaan perjalanan yang lebih selamat dan menyihatkan.

Mengapa cepat kotor?

Mengapa sistem pendingin hawa kenderaan dilihat lebih cepat kotor dan memerlukan lebih banyak penyelenggaraan berbanding alat pendingin hawa di rumah atau pejabat? Rasionalnya, alat pendingin hawa di rumah atau pejabat terletak pada satu ruang kawasan yang lebih luas dan secara kebiasaannya peralatan elektronik terbabit dipasang di bahagian atas sudut pejabat.

Manakala, komponen penyejukan pada sistem pendingin hawa kereta bukan sahaja dipasang berhampiran dengan alas lantai kereta, malah ruang dalaman kenderaan yang lebih kecil menyebabkan aliran udara menjadi lebih terhad.

Keadaan ini menyebabkan debu, habuk serta kotoran ringan dari pelapik kaki dan tempat duduk akan disedut masuk terus ke gelung penyejukan (cooling coil) melalui kipas (blower motor).

-Utusan Malaysia

No comments: