Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, May 16, 2013

Gambus


Menurut The Encyclopedia of Malaysia Performance Arts, alat muzik gambus yang dimainkan di Malaysia berasal dari Asia Barat yang lebih dikenali dengan panggilan oud.

Ia dibawa ke Tanah Melayu sekitar tahun 1800 dan paling popular di negeri Johor.

Gambus berbentuk seperti sebiji buah pear yang dibelah dua.

Ia sebenarnya dikatakan berasal dari Yemen sebelum tersebar ke seluruh Tanah Arab.

Orang Yemen yang bermigrasi telah membawa pengaruh oud di Lautan Hindi termasuk di Tanah Melayu.

Nama gambus dipercayai berasal dari Turki komuz.

Gambus terdapat dalam pelbagai jenis iaitu dari gambus tiga tali sehingga gambus yang mempunyai 12 tali.

Di Johor, gambus digunakan dalam persembahan ghazal dan zapin.

Di Malaysia, antara pemain gambus yang dikenali ramai ialah Allahyarham Fadzil Ahmad (gambar) yang mendapat jolokan Raja Gambus Malaysia.

Beliau dilahirkan pada 12 Jun 1941 di Parit Bakar, Muar dan mula jatuh cinta dengan gambus pada usia 17 tahun.

Pada tahun 1958 beliau menubuhkan sebuah kumpulan dikenali sebagai SHR Maharani Ghazal.

Allahyarham pernah menjadi duta kecil negara semasa mengadakan persembahan muzik di luar negara.

Allahyarham Fadzil Ahmad telah merakamkan 13 EP, malah pada tahun 1970, Allahyarham merakamkan LP pertama yang berjudul Terkenang Si Dia.

Allahyarham yang pernah menjadi Ketua Muzik Kompleks Budaya itu turut mencipta kira-kira 52 buah lagu. Antara yang popular ialah Dia Datang, Joget Empat Dara, Joget Secawan Kopi, Joget Memikat Janda, Terkenang Si Dia dan Si Cantik Manis.

Allahyarham Fadzil Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2006.

sumber: Artikel Petikan Tali Gambus oleh Nasri Jamaludin, Kosmo!, 31 Julai 2012.

No comments: