Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, March 21, 2013

Cameron Highlands

Cameron Highlands merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia.

Ia terletak setinggi 1,829 meter dari paras laut dan mempunyai suhu antara 18 hingga 24 darjah Celsius.

Meskipun Cameron Highlands adalah sebahagian dari negeri Pahang, namun ia lebih sinonim dengan negeri Perak kerana lokasinya yang berhampiran dengan pekan Tapah, Perak dan ramai peniaga yang berniaga di Cameron Highlands menetap di Tapah, Perak.

Tambahan pula kod kawasan untuk telefon di Cameron Highlands ialah 05 iaitu kod kawasan negeri Perak.

Cameron Highlands mendapat nama daripada seorang pegawai Inggeris, William Maxwell William Cameron yang menjalankan kerja-kerja ukur dan membuat peta di kawasan itu pada tahun 1885.

Beliau mendapati kawasan berkenaan mempunyai sebahagian besar tanah yang sedikit rata dan bercerun serta sesuai dijadikan penempatan.

Malangnya, idea itu dipandang sepi sehinggalah dua dekad kemudian seorang pegawai Inggeris, Sir George Maxwell membangunkan dua buah kawasan yang dikenali sebagai Brinchang dan Tanah Rata iaitu kawasan yang menempatkan pentadbiran dan perumahan pegawai Inggeris.

Lewat 1940-an, tiada banyak perubahan berlaku di Tanah Rata kecuali kewujudan bank Hong Kong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) pada tahun 1945. Ia merupakan bank pertama di Cameron Highlands yang masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Pembukaan bank ini bertujuan untuk kemudahan residen Eropah yang bekerja dan bercuti di Cameron Highlands melakukan transaksi kewangan.

Selain HSBC, pada tahun yang sama, Tanah Rata juga mempunyai sebuah hospital iaitu Hospital Militari British.

Tanah Rata Cameron Highlands mendapat namanya kerana bentuk muka bumi yang lebih rata dan mendatar berbanding kawasan lain yang terdapat di Cameron Highlands.

Tanah Rata merupakan pekan pertama di Cameron Highlands mempunyai populasi seramai 5,000 dan terletak 1,400 meter dari aras laut.

Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanah Rata adalah kira-kira 201 kilometer bersamaan 2 jam 30 minit.

Pekan Tanah Rata ialah ibu daerah Cameron Highlands. Di sini terletaknya pejabat pentadbiran awam, Perpustakaan Awam Daerah Tanah Rata, Hospital Daerah Cameron Highlands dan Pusat Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

The Smokehouse Hotel & Restaurant, salah satu hotel yang popular di Tanah Rata. Hotel yang dibina pada tahun 1939 itu menawarkan seni bina dan dekorasi yang berkonsepkan ala Inggeris.

Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil cukup sinonim dengan Tanah Rata.

Tanah Rata boleh diakses menggunakan empat laluan utama iaitu dari Tapah, Perak (56.6 km), Simpang Pulai, Perak (80.5 km), Gua Musang, Kelantan (121 km) atau Sungai Koyan, Raub, Pahang (95.9 km).

-Kosmo!

No comments: