Pengikut dan Ex-smgrian

Saturday, October 13, 2012

Insan terpilih

Firman Allah SWT di dalam surah Ali 'Imran ayat 97 yang bermaksud:

"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk."

Bagaimanakah seseorang itu mendapat haji mabrur?

Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT. Ini merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: " Satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa, dan haji mabrur (diterima) amalannya, tidak dibalas baginya melainkan dengan syurga." - Hadis Riwayat al-Bukhari.

Oleh itu ganjaran besar ini tidak memungkinkan seseorang itu mencapainya dengan begitu mudah bahkan akan menghadapi berbagai-bagai kesukaran, pengorbanan dan cabaran dengan berasaskan kekuatan iman dan taqwa.

Secara umumnya, seseorang yang ingin mencapai haji yang diterima dan mabrur di sisi Allah SWT hendaklah melaksanakan beberapa perkara seperti berikut:
  1. Sifat ikhlas.  Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Syarah Muslim bahawa haji yang mabrur adalah yang tidak bercampur dengan dosa dan tidak riak.
  2. Sumber yang halal.  Dalam sahih Muslim Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik." Justeru, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji meneliti dan bermuhasabah kembali segala sumber-sumber pendapatan, perbelanjaan, bekalan dan pakaiannya dari sumber-sumber yang halal.
  3. Mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah haji dan umrah.  Syeikh Mustafa az-Zarqa' dalam buku Fatwa Hukum Haji dan Kelebihannya ketika ditanya makna haji yang mabrur, menyatakan di antara ciri-ciri haji yang diterima ialah: "Hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau di dalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah." 
  4. Menjauhi amalan-amalan cela dan khurafat.  Perbuatan-perbuatan cela seperti mengumpat, maki hamun, hasad dengki kepada sesama Muslim merupakan perbuatan yang dikutuk oleh Allah SWT yang perlu dijauhi di mana kita tahu tujuan asal kita adalah untuk menyucikan diri dari segala dosa.  Manakala perkara-perkara khurafat perlu dijauhi seperti mengusap makam Nabi Ibrahim A.S., menanam batu di Arafah, memotong kelambu Kaabah, mencari tiang Jin dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud:

"(Musim) Haji adalah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang berniat mengerjakan ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah; dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa; dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal."

Banyak juga persoalan yang ditimbulkan bahawa mereka yang memperolehi haji mabrur itu dikatakan akan mengalami peristiwa yang pelik antaranya tersesat di dalam perjalanan, hilang harta-benda, mendapat mimpi dan sebagainya.

Sebenarnya ini adalah pandangan dan tanda-tanda yang tidak betul kerana ibadah haji seseorang itu diterima ataupun ditolak oleh Allah SWT dapat dilihat setelah beliau kembali dari menunaikan haji.

Menurut al-Khawwas dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin bahawa:

Setelah mereka kembali dari mengerjakan ibadah haji, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, mereka tidak akan mencebur diri di dalam dosa dan tidak memandang dirinya lebih tinggi daripada seorang hamba-hamba Allah SWT, tidak pula merebut-rebut untuk mendapat sesuatu daripada perkara dunia. Manakala tanda ibadah hajinya tidak di terima ialah bahawa mereka kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan haji.

Haji mabrur merupakan satu pengiktirafan kepada umat Islam yang telah berjaya melaksanakan amalan hajinya dengan sempurna.

Selain itu ia akan melahirkan insan yang berkualiti dari aspek akhlak, ibadah dan hubungan baik sesama manusia di dunia ini.

Manakala kehidupan di akhirat kelak menerima kurniaan iaitu ganjaran syurga oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 37 yang bermaksud:

"(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah; dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

-E-khutbah JAKIM

No comments: