Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, August 2, 2012

Solat Tarawih

Hukum solat tarawih ialah sunat muakad iaitu ibadah sunat yang dituntut untuk dikerjakan sepanjang malam bulan Ramadan.

Ia dilakukan selepas solat Isyak dan sebelum mengerjakan solat witir secara berjemaah.

Ibadah tarawih merupakan satu solat eksklusif yang hanya dilaksanakan pada bulan Ramadan.

Dalam istilah bahasa Arab, ia dinamakan solat qiam Ramadan yang bermaksud solat yang banyak berdiri berbanding solat biasa pada hari-hari lain.

Selain itu, ia dinamakan solat tarawih kerana solat ini panjang dan jumlah rakaatnya yang banyak.

Ibnu Manzur ada menyebut di dalam kitabnya, Lisan al-Arab bahawa tarawih bermaksud sekali istirehat kerana ia berlaku pada bulan Ramadan.

Ia juga disebut solat istirehat selepas empat rakaat iaitu dengan membaca salawat dan berdoa.

Ibnu Manzur ialah seorang ulama dari Asia Barat.

Menyentuh tentang permasalahan bilangan rakaat dalam solat tarawih, menurut pendapat jumhur mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali, solat tarawih seafdalnya dilakukan 20 rakaat selain solat witir tiga rakaat.

Menurut Dr. Abdul Aziz al-Khatib al-Hasani al-Syafie, ini berdasarkan ijtihad Saidina Umar ibn al-Khattab r.a. yang bertanggungjawab menganjurkan solat tarawih 20 rakaat secara berjemaah pada zaman pemerintahannya tanpa sebarang bantahan daripada para sahabat r.a. lantaran menghormati keilmuan beliau.

Bagaimanapun, pendapat ulama mengenai bilangan rakaat terbahagi kepada dua iaitu lapan rakaat dan lebih daripada lapan rakaat, sama ada 20 atau 36 rakaat.

Tip solat tarawih
  • Elak makan terlalu banyak ketika berbuka agar badan ringan dan mudah untuk bersolat.
  • Lakukan solat secara berjemaah di masjid atau di surau.
  • Elakkan solat secara tergesa-gesa.  Cuba hayati setiap bacaan dengan sepenuh hati.
  • Sebaik-baiknya solat di saf hadapan.
  • Ketika menunggu azan Isyak seeloknya sudah berniat iktikaf di masjid.
  • Selepas selesai solat, jangan terus pulang sebaliknya diam seketika dengan niat beriktikaf di masjid sambil membaca al-Quran atau berwirid.
  • Pakai pakaian yang bersih dan kemas sewaktu menghadap Allah.
  • Jangan lupa membawa sedikit wang untuk diinfaq ke tabung masjid mengikut kemampuan.

-Kosmo!, Khadijah Mohamad Nor, Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab.

No comments: