Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, August 13, 2012

Sejarah Bandaraya Ipoh

Ipoh ialah ibu kota negeri Perak. Ia terletak dalam daerah Kinta, 200 kilometer di utara Kuala Lumpur.

Ipoh dibangunkan pada tahun 1820-an daripada Kampung Paloh yang terletak di tebing Sungai Kinta. Aktiviti melombong bijih timah yang giat dilakukan pada waktu itu menyebabkan bandar Ipoh mula dikunjungi ramai. Berikutan kebakaran besar yang berlaku pada tahun 1892, bandar Ipoh telah dibina semula.

Menjelang awal abad ke-20, lebih banyak syarikat perlombongan British ditubuhkan di Ipoh dan ini telah menggalakkan lagi kepesatan pembangunan bandar Ipoh. Institusi-institusi besar dan berpengaruh seperti The Chartered Bank of India, Australia and China Limited (kini dikenali sebagai Standard Chartered) mula dibuka di Ipoh pada tahun 1902. Ia memberikan pinjaman kepada syarikat-syarikat perlombongan bijih timah seperti Straits Trading Company dan Eastern Smelting Company. Kemudian beberapa firma telah dibuka di Ipoh seperti broker saham Botly and Co., A.H Whittaker and Co., Chartered Accounts, Evatt and Co., dan Estate Visiting Agents Milne and Stevens.

Lokasinya di kawasan perlombongan bijih timah lembah Kinta menjadikannya membangun dengan begitu pesat sekali. Ia membangun sebagai sebuah bandar melombong pada tahun 1920-an dan 1930-an. Seorang pelombong dan juga jutawan bernama Yau-Tet Shin telah membangunkan sebuah kawasan di dalam bandar pada awal 1930-an yang mana kini ia dikenali sebagai Pekan Baru atau New Town.

Ipoh telah dijajah oleh tentera Jepun pada 15 Disember 1941. Sewaktu penjajahan Jepun, Ipoh telah dijadikan ibu negeri Perak menggantikan bandar Taiping. Pada bulan Mac 1942, Japanese Civil Administration atau Perak Shu Seicho telah ditubuhkan di Sekolah Menengah St. Michael. Ipoh kekal menjadi ibu negeri Perak sehingga kini.

Pada tahun 1950-an, beberapa buah pawagam, taman-taman hiburan dan kelab-kelab malam dibina di bandar Ipoh. Dua daripada syarikat pawagam terbesar ketika itu iaitu Cathay Organisation dan Shaw Brothers Company telah membina rangkaian pawagam di bandar Ipoh. Ipoh juga menjadi salah satu daripada empat tempat yang mempunyai lapangan terbang. Tiga tempat lain ialah Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura.

Dengan kejatuhan harga bijih timah dan penutupan lombong bijih timah pada akhir 1970-an, pertumbuhan bandar Ipoh terhenti dan menyebabkan penghijrahan ke kawasan lain di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu serta Singapura.

Bagaimanapun, Ipoh kembali membangun dengan menumpukan kepada kegiatan industri sebagai ganti kepada aktiviti perlombongan dan banyak kilang-kilang elektronik yang telah dibina terutama di kawasan Jelapang, Tasek dan Simpang Pulai.

Pada 12 Mei 1988 Ipoh telah diisytiharkan sebagai bandaraya dengan Datuk Bandar pertamanya iaitu Dato' Hj. Umar Bin Hj. Abu DPCM., PMP., KMN. Pada 21 Mac 1989 Majlis Perbandaran Ipoh telah menjalin hubungan di antara bandaraya Ipoh dengan bandaraya Fukuoka, Jepun sebagai Bandaraya Kembar. Ipoh juga menjadi Bandaraya Kembar kepada bandaraya Nanning di China pada tahun 2001.

sumber: wikipedia

No comments: