Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, August 24, 2012

Istana Negara lama

Istana Negara lama terletak di lereng bukit Jalan Istana dan berhadapan Jalan Syed Putra dan Sungai Klang di Kuala Lumpur. Istana tersebut pada asalnya dimiliki oleh seorang jutawan dari China bernama Chan Wing.

Istana tersebut telah dibina pada tahun 1928 dengan kos RM150,000 di kawasan seluas 11.34 hektar dan mendapat sentuhan daripada firma Swan & Mclaren.

Pada zaman pendudukan Jepun, Istana itu telah dijadikan pusat pemerintahan tentera dan sebaik sahaja tentera Jepun berundur dari Malaya, bangunan itu dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah yang kembali bertakhta.

Kerajaan Persekutuan pada tahun 1957 telah membelinya dengan nilai RM1.4 juta. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM328,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Bagi menyerlahkan prestij bangunan itu sebagai lokasi bersemayam pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM328,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian. E.K. Dinsdale iaitu arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa kontraktor tempatan hanya mengambil masa empat bulan sahaja untuk menyiapkannya tanpa menyentuh struktur utamanya.

Antara pengubahsuaian yang telah dibuat ialah dapur besar yang boleh memuatkan 100 orang, dewan mengadap, empat bilik tetamu yang luas, dua dewan masuk, sebuah dewan santapan, bilik istana yang ditambah dari 13 buah kepada 20 buah bilik.

Menjelang tahun 1980-an, Istana Negara mengalami pengubahsuaian berskala besar iaitu penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana. Ia adalah singgahsana pertama dibina dalam Istana Negara untuk majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Sebelum itu, acara pertabalan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang.

Arkitek kanan JKR, Kapten David Wee yang membina singgahsana baharu itu telah menggabungkan elemen lambang kebesaran raja-raja di negara ini.

Pertabalan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980, merupakan pertabalan pertama diadakan di Balairong Seri itu.

Peranan Istana Negara tidak hanya terbatas kepada tempat bersemayam pemerintah nombor satu negara sahaja malah turut diperuntukkan beberapa bilik bagi upacara tertentu seperti bilik Singgahsana Kecil, Dewan Mengadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri.

Bagi bilik Singgahsana Kecil, ia digunakan apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Watikah Perlantikan TYT Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara.

Bilik itu juga digunakan semasa Istiadat Menerima Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara.

Selain itu, ia menjadi tempat Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri.

Dewan Mengadap yang berada di tingkat bawah dijadikan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima menghadap tetamu kehormat seperti ketua-ketua negara dan tetamu kenamaan.

Fungsinya juga merangkumi ruang rehat untuk sultan-sultan, raja-raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Majlis Raja-Raja diadakan di Istana Negara.

Bilik Permaisuri merupakan tempat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima tetamu-tetamu kehormat.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Persekutuan, Hari Keputeraan dan acara berkaitan dengannya dijalankan di Balairong Seri.

Di bilik yang sama, ia turut dijadikan sebagai Dewan Santapan semasa Majlis Santapan Negara meraikan Ketua Asing yang membuat lawatan negara, Majlis Santapan Memuliakan Mesyuarat Raja-Raja dan sebagainya.

sumber: Kosmo!

No comments: